Tonton versi video di sini
Kita biasa dengar sejarah kegemilangan Melayu pada waktu empayar Melayu Melaka, tapi mungkin sebab kejatuhan dan penjajahan selama 500 tahun, pencapaian dunia Melayu terutama dalam lapangan saintifik jarang didengari.
Iyalah, Barat kan alami revolusi industri, cipta mentol, temui elektrik, buat kereta, kembangkan falfasah sains. Dunia Melayu apa ada? Jadi ramai yang ingat bangsa Melayu lekeh dengan sains.
Betul ke? Atau ia sejarah yang cuba disembunyikan? Artikel ini akan menceritakan beberapa pencapaian saintifik dunia Melayu yang kita mungkin tak tahu, kiraan ke bawah!
3) Gobek Api – Asal Usul Enjin Diesel
Rupa – rupanya orang Melayu dah cipta teknologi piston api 200 tahun sebelum Barat, iaitu melalui penciptaan gobek api.
Menurut Prof Muati, gobek api adalah sejenis alat untuk menyalakan api. Ia diperbuat daripada kayu dan tanduk.

Ia sudah dicipta di Nusantara sejak abad ke 17 lagi dan mengguna pakai prinsip pemampatan. Prinsip gobek api adalah memampatkan piston sehingga mencapai kepanasan 430 darjah selsius.
Bermakna, saintis Melayu dulu sudahpun memahami ilmu kimia, fizik dan biologi untuk menghasilkan inovasi ini.
Sejarahnya, menurut jurnal kejuruteraan universiti Kansai, Jepun, Profesor Linde pernah memberi kuliah di Pulau Pinang pada pertengahan abad ke 18. Beliau kemudian diberi gobek api sebagai buah tangan.
Apabila Prof Linde menyalakan rokok menggunakan alat tersebut, kawannya Rudolf Diesel lantas merasa kagum dan tercetus idea untuk menghasilkan sistem enjin diesel.
Lalu setelah dipatenkan, terciptalah enjin pembakaran dalam (internal combustion engine) pertama di dunia.

Mungkin agak kelakar apabila Barat menciplak idea Nusantara, menyatakan milik mereka dan memanggil pula ciptaan nenek moyang kita sebagai teknologi kuno.
2) Istana Seri Menanti – Aplikasi Pengudaraan Semula Jadi yang Efisien
Agak pelik apabila kita lihat reka cipta rumah moden Malaysia sekarang, macam tak ada identiti.
Kenapa ada tiang Roman di Malaysia?

Malah orang kata seni pembinaan rumah moden seolah – olah mengutuk seni bina Melayu. Hijjaz daripada TV2 pernah kata “arkitek – arkitek yang letak tiang roman patut kena tembak je”. Sabar tuan.
Tapi apabila kita kaji kehebatan seni bina Melayu dulu, kita tak pening malah kagum. Dan ini direfleksikan daripada Istana Seri Menanti. Apabila kita melawat istana itu, kita akan dapati beberapa perkara yang unik, istana itu sangat cantik, tak ada paku dan sejuk.

Rupa – rupanya Istana Seri Menanti dan rumah tradisi Melayu mengimplementasikan pengudaraan semula jadi atau reka bentuk pasif. (Passive Design)

Apa itu reka bentuk pasif? Ia adalah bangunan yang tidak menggunakan pendingin mekanikal semacam pendingin hawa tapi mengguna pakai sumber semula jadi seperti angin, cahaya matahari dan pergerakan solar untuk memperoleh keselesaan termal.
Setelah mengguna pakai tenaga yang begitu banyak untuk menyejukkan dan memanaskan rumah, orang Barat mula mahu beralih kepada pengudaraan semula jadi. Dan mereka jadikan antara lain, rumah tradisi Melayu sebagai rujukan.
Rupa – rupanya jurubina rumah Melayu sudah fikirkan strategi untuk peroleh kawalan klimat optimal dengan cara:
- Mengawal pengudaraan dan kelembapan
- menggunakan bahan berkapasiti termal rendah
- mengawal radiasi solar
- mengawal kilauan dari langit
- melindungi dari hujan
- menanam pokok – pokok untuk peroleh kesejukan mikroklimat
Dan semua ini ada pada Istana Seri Menanti. Mereka ambil kursus arkitek di universiti mana dulu?
1) Keris – Ciptaan Saintis Melayu yang Hebat
Keris yang digunakan untuk bersilat dan sebagai alat kebesaran diraja adalah merupakan lambang kedaulatan Melayu. Keris yang paling popular sudah pastilah Taming Sari.

Orang biasa kaitkan keris dengan jin dan mistik. Tapi sebenarnya pembuatan keris melibatkan kemahiran saintifik.
Malah menurut Prof Abdul Muati, empu ataupun pembuat keris merupakan saintis zaman dulu kala. Sebabnya, seorang empu perlu mahir ilmu kayu dan besi. Mereka dapat tahu tahap lebur pelbagai jenis besi sedangkan zaman dulu, mana ada jangka suhu. Mereka cuma melihat warna api.
Begitu juga dengan fenomena keris berdiri, ia bukanlah disebabkan jin, tapi kerana empu pandai membahagikan besi sama berat walaupun bentuk keris tidak semitrikal.
Malah untuk menghasilkan keris yang berkualiti tinggi, empu perlu mencampurkan paling kurang 7 jenis besi. Berapa banyak besi untuk menghasilkan pedang samurai? Tiga. Bermakna keris hakikatnya lebih tinggi kualitinya berbanding pedang samurai.
Begitu jugalah perihal menggunakan air kelapa dan perahan limau. Air kelapa adalah asid lemah yang dapat hilangkan karat, sedangkan air limau pula asid kuat yang dapat hilangkan hanyir darah.
Malah, mungkin rahsia paling menarik tentang keris, adalah terdapat keris yang dicampurkan meteor untuk kuat dan tahan lama!
Kesimpulan
Ternyata bangsa Melayu sebenarnya miliki sejarah yang gah yang perlu dikorek semula supaya anak bangsa kita tak kehilangan identiti.
Dan sudah pasti, berbangga dengan pencapaian bangsa sendiri bukanlah bermakna merendah – rendahkan bangsa lain. Kita hidup aman harmoni dan menghargai kelebihan dan kekurangan masing – masing.-*