Sekolah di US Eksperimen Lambatkan Masa Mula Sekolah 1 Jam, Hasilnya Pelajar Lebih Cemerlang.

Menyedari kecenderungan remaja untuk berjaga lebih lambat pada waktu siang dan bangun lebih lambat pada waktu pagi, sebuah sekolah di Amerika membuat percubaan melambatkan masa mula sekolah selama 1 jam.

Sekolah Seattle Public School menyusun jadual persekolahan mereka untuk bermula pada pukul 8.45 pagi – 1 jam lebih lewat daripada masa kebiasaan 7.45 pagi. Perubahan tersebut dibuat hanya kepada sekolah menengah dan sekolah tinggi. 

Penerimaan ibu bapa berbeza – beza. Mereka terpaksa mengubah beberapa jadual rutin hidup biasa mereka. Aktiviti kokurikulum terpaksa dianjak, begitu juga perkhidmatan bas sekolah.

Namun nampaknya hasilnya berbaloi dan positif. Menurut sebuah kertas kajian yang diterbitkan pada tarikh 12 Disember 2018, anjakan masa mula sekolah sebanyak 1 jam lewat membolehkan pelajar mendapat lebih banyak masa tidur dan menghasilkan prestasi belajar yang lebih baik.

Menurut kajian tersebut, golongan remaja mengalami masalah tidak cukup tidur yang kronik. Hal ini berpunca daripada penetapan masa beraktiviti yang tidak sesuai dengan ‘jam tubuh’ mereka. Sistem ‘jam badan’ ini juga memberitahu kita bilakah masanya untuk makan, tidur, rehat dan mulakan kerja dalam satu rentak. 

Remaja selepas baligh didapati mengalami anjakan sistem circadian yang menangguhkan masa tidur mereka ke waktu yang lebih lewat. 

“Kajian ini menunjukkan peningkatan signifikan masa tidur pelajar – hanya dengan melambatkan masa mula sekolah supaya lebih sesuai dengan waktu jaga semula jadi remaja” kata salah seorang pengkaji Horacio O de la Iglesia yang juga merupakan profesor Biologi.

Saintis memberi saranan agar remaja mendapat tidur 10 jam setiap hari. Tapi kewajipan harian mereka – seperti pergi ke sekolah awal waktu – menghendaki mereka untuk bangun awal pagi. Hal ini memaksa remaja untuk menganjak masa tidur mereka lebih awal, atau biarkan saja diri mereka tidak cukup tidur. 

“Hal ini memberi kesan buruk kepada kesihatan, sebab rentak circadian yang terganggu boleh memberi kesan kepada pencernaan, kadar degupan jantung, suhu badan, fungsi imunisasi, kadar tumpuan dan kesihatan mental” kata Iglesia.

Melalui eksperimen tersebut, didapati terdapat peningkatan 4.5% gred median sekolah, disamping kadar kehadiran pelajar yang lebih baik. 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts