Pelajar MRSM Gondol Banyak Pingat Pertandingan Robotik Antarabangsa

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengharumkan nama negara setelah menggondol banyak pingat dalam Pertandingan Robotik Peringkat Antarabangsa (International Robot Olympiad (IRO) 2018 yang berlangsung di Manila, Filipina, pada 14 hingga 19 Disember lalu.

Kejayaan ini menjadikan tahun lalu merupakan tahun cemerlang yang melonjak nama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam kelasnya tersendiri apabila penyertaannya dalam IRO sejak 2007 membuahkan kejayaan gemilang.

Pada pertandingan itu dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak, Muhammad Haris Haiqal Muhammad Fadli dan Nurul Diyanah Amny Zulfikri yang digelar Paritronics Robotics kerana berjaya merangkul pingat emas bagi Kategori Kreatif.

Muhammad Haris Haiqal dan Nurul Diyanah Amny dari MRSM Parit berjaya memenangi pingat emas dalam Kategori Kreatif.

Sementara itu, Mohd Hiddan Maksan dan Joeyanatasa Jona Dapanis dari MRSM Kota Kinabalu, Sabah dan Muhammad Faiq Tajuddin dan Akmal Hakim Mahmud dari MRSM Kubang Pasu memperoleh pingat perak bagi Kategori Kreatif.

Dua pelajar MRSM Sultan Azlan Shah iaitu Muhammad Aisy Mohd Hisyam dan Daniele Shaquille Adam Craig Jayaprakasam turut membawa pulang pingat perak  dalam kategori Robot in Movie.

Ketua Penolong Pengarah (Fizik), Bahagian Pendidikan Menengah, Ithnaini Muhamed Kamil berkata, pemilihan peserta ke IRO adalah melalui pertandingan robotik di peringkat kebangsaan iaitu MRSM RoboFair 2018 yang diadakan pada 20 hingga 23 Julai di MRSM Bentong.

 “MRSM RoboFair adalah satu platform inisiatif Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA untuk mencungkil bakat dan kreativiti pelajar MRSM dalam bidang pengaturcaraan robotik, dan tahun lalu adalah penganjuran kali ke-14.

Kontinjen MRSM di IRO 2018, Manila bersama guru pengiring, Cikgu Muhamad Za’im Kassim@Ismail(empat, kiri) dan pegawai BPM, Noor Nasriyah Abdullah (empat, kanan).

“Pemenang di Pertandingan MRSM RoboFair dipilih oleh MARA melalui BPM ke penyertaan IRO untuk Kategori Kreatif dan Robot in Movie (tiga penyertaan untuk kategori kreatif dari MRSM Parit, Kubang Pasu dan Kota Kinabalu dan satu penyertaan untuk kategori Robot in Movie dari MRSM Sultan Azlan Shah),” katanya kepada GPSBestari.com.

Menurutnya, bagi Kategori Kreatif, peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan seperti Ujian Reka Konsep Robot (Robot Concept Design Test), Pembinaan robot (Robot Construct) dan juga Pembentangan (Presentation).

Bagi Kategori Robot in Movie pula peserta akan diberi sub-tema.

Peserta perlu membuat plot papan cerita dan merakamkannya berdasarkan sub tema tersebut.

Tambahnya, MARA akan terus menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar MRSM dalam bidang robotik selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan cemerlang di bidang robotik agar negara tidak ketinggalan menghadapi Revolusi 4.0.

Lebih kurang 1,000 penyertaan dari 38 negara seperti Australia, Korea, Indonesia, Singapura, China, Filipina, Mexico, Kazakhstan, Amerika Syarikat, New Zealand, Thailand dan lain-lain menyertai IRO ini.

Sementara itu, Guru Penasihat Kelab Robotik MRSM Parit (Paritronic Robotics), Zulakmal Abd Manas menyifatkan kejayaan Paritronics Robotics adalah hasil kerjasama semua pihak yang terlibat seperti pihak pengurusan tertinggi Mara, Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Roboteam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Roboteam UIA) yang membantu dalam penyediaan projek, guru pengiring ke IRO 2018 dan pengurusan MRSM Parit serta komitmen ahli pasukan Paritronic Robotics dalam menjayakan projek tersebut.

 Beliau yang juga guru Fizik ini turut berkongsi mengenai robot yang dicipta oleh Paritronic Robotics bertujuan membantu menangani pengasidan laut kerana robot ini ditugaskan menanam bingkai laut yang akan menyerap karbon dioksida terkandung dalam lautan.

 “Robot ini juga tidak memerlukan kos yang tinggi untuk membinanya kerana kerangka diperbuat daripada paip PVC.

 “Kami telah mengubah dua pam air dan menyesuaikannya menjadi motor yang kalis air. Ini sebab, motor yang kalis air dijual di pasaran dengan harga yang tinggi,” katanya.

Sumber: gpsbestari

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts