Ini Penjelasan Mengapa Saintis ini Hasilkan Tajuk Jurnal Saintifik Sempoi (Yang Diterima Penerbitan Berimpak Tinggi)

Biasa orang anggap jurnal saintifik ini kering, bosan dan terlalu ‘melayang’ nun jauh di angkasa akademik.

Namun sebuah artikel jurnal mencuit hati pengguna media sosial kerana tajuknya cukupnya sempoi.

Artikel saintifik yang bertajuk “Mirror-mirror on the wall, what climate change adaptation strategies are practiced by the Asian’s fishermen of all?” itu cukup menarik perhatian wargamaya.

Tambah menarik, penulis artikel jurnal tersebut merupakan saintis Malaysia! Biasanya tajuk – tajuk artikel yang sempoi lain macam ini kita hanya temui di dunia akademik luar negara.

Jurnal Ini Ceritakan Tentang Apa?

‘Malang’nya isi kandungan jurnal tersebut ternyata normal seperti jurnal saintifik yang lain (bahasa akademik kering penuh rujukan. Mestilah, sebab dapat masuk penerbit impak tinggi kot)

Artikel ini telah diterbitkan di Journal of Cleaner Production yang berada di kedudukan Quartile 1 (Q1), Web of Science. Ia ditulis oleh kumpulan penyelidik universiti tempatan

  • Dr. Hayrol Azril Mohamed Shaffril (UPM) sebagai penulis utama
  • Prof. Dr. Asnarulkhadi Abu Samah (UPM), Dr. Samsul Farid Samsuddin (UM) dan Dr. Zuraina Ali (UMP) sebagai penulis bersama.

Maka objektif utama penulisan ini, yang sebenarnya diterangkan dalam tajuk (artikel ini bukan tentang cermin), adalah untuk mengenalpasti strategi adaptasi terhadap perubahan cuaca yang dipraktiskan oleh nelayan di Asia.

Ringkasnya, artikel ini mendapati perubahan iklim seperti peningkatan suhu dan peningkatan paras laut menjejaskan aktiviti penangkapan ikan nelayan Asia. Maka, antara strategi yang dipraktiskan oleh nelayan Asia bagi menghadapi situasi ini adalah dengan mempelbagaikan sumber pendapatan mereka, mengukuhkan hubungan sosial dan meningkatkan kesedaran serta memperbanyakkan aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Pengkaji kemudian memberikan saranan untuk kajian lanjutan.

Penulisan artikel ini berbentuk Systematic Review atau juga dikenali sebagai Systematic Literature Review (SLR). Penulisan SLR adalah berasaskan sorotan literatur ke atas isu yang dikenalpasti di mana teknik penulisan serta pemilihan sumber rujukan akan melalui proses yang komprehensif, teratur dan transparen.

Kenapa Guna Tajuk Santai?

Sebenarnya tajuk asal artikel tersebut adalah ‘The systematic review of climate change adaptation strategies among Asian’s fishermen‘. Ini adalah tajuk yang ‘normal’ lah.

Tapi kemudian penulis menukar kepada Mirror mirror on the wall, what climate change adaptation strategies are practiced by the Asian’s fishermen of all?, berdasarkan ungkapan terkenal Mirror, mirror on the wall, who is the fairest one of all?” dari filem Snow White and the Seven Dwarfs.

(*Oh sebenarnya ungkapan yang asal adalah magic mirror on the wall, nampaknya ini adalah satu lagi contoh kesan Mandela – admin)

Menurut penulis utama artikel itu sendiri, Dr Hayrol Azril Mohamed Shaffril, setiap pensyarah, penyelidik mahupun pelajar pasca siswazah yang menulis artikel jurnal berharap untuk komuniti akademik dan umum membacanya.

Ini akan meningkatkan keterlihatan mereka dalam dunia akademik serta  meningkatkan jumlah H- index* mereka sebagai penyelidik. (*H index merujuk kepada impak penyelidikan seseorang penyelidik berdasarkan jumlah citation yang diterima bagi satu-satu penerbitan yang ditulis.)

Namun begitu, bukan mudah untuk menarik perhatian pembaca.

“Pada pandangan penulis, tajuk yang terlampau akademik kadangkala membuatkan pembaca menjauhkan diri dan sebagai respon kepada isu ini, penulis cuba mempraktikkan sesuatu yang baru, maka terhasillah tajuk yang sempoi ini” kata Dr Hayrol

Apa pandangan komuniti akademik dan umum terhadap artikel ini?

Kumpulan penulis artikel ini berpegang kepada prinsip

a good research will always be debated”.

Sudah tentunya ada yang menerima dan ada yang menolak penulisan tajuk artikel sebegini.

Bagi mereka yang menerimanya, ia adalah satu strategi ‘di luar kotak’ untuk menarik lebih ramai membaca artikel yang diterbitkan dan bagi yang menolak, ada yang menganggap si penulis artikel tidak serius dalam menyampaikan dapatan kajian.

Kita juga tahu bahawa amat sukar bagi orang awam untuk membaca artikel jurnal kerana ada antara mereka berpersepsi bahawa artikel jurnal terlampau akademik penulisannya dan justeru itu, tajuk artikel yang santai mungkin boleh menjadi permulaan awal untuk merapatkan jurang tersebut.

“Apapun, pada pandangan penulis, santai atau tidak tajuk sesebuah artikel jurnal, yang paling penting sekali adalah isi kandungannya” ujar Dr Hayrol.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts