Carta – carta saintifik mungkin perkara paling akhir yang kita cari untuk puaskan kuota hal – hal pelik yang kita temui dalam kehidupan. Iyalah, nama pun carta saintifik. Sebut pun sambil menguap.
Tapi ada beberapa carta – carta saintifik yang cukup pelik yang kita susah nak percaya sebenarnya wujud.
Iaitu:
Skala Tinja Bristol (The Bristol Stool Scale)

Dalam banyak – banyak benda yang boleh dipersembahkan secara saintifik, mungkin orang tak akan masukkan pun hasil buangan mereka di tandas – tandas kedai mamak dalam senarai.
Tapi pakar kesihatan menganggap bahawa metod – metod saintifik tetap perlu diguna pakai walaupun untuk menerangkan na …. (oh maaf kalau anda sedang makan boleh langkau dulu terus ke nombor empat) …. jis.
Dan na*** itu juga boleh dibahagikan kepada 7 jenis. (betul ni, kalau tengah makan skrol cepat – cepat sambil tutup mata).

Di atas adalah Skala Tinja Bristol, yang dihasilkan dengan bangganya oleh Universiti Bristol dan the Scandinavian Journal of Gastroenterology.
Senarai tersebut sebenarnya tidaklah pelik sangat. Tapi cara penerangan benda alah itu yang buat tekak kembang. Tampak seperti saintis – saintis yang hasilkan skala tersebut memang sengaja menerangkan dengan cara paling jijik.
Contoh, cuba baca jenis 2.
Macam sosej tapi masih bergumpal.
Bayangkan sosej kegemaran anda, rasai sensasi rasanya pada lidah, dan gabungkan dengan imej tandas.
Yup, seminggu lah kita tak makan sosej lepas ni.
Skala Kinsey

Skala Kinsey mengira berapa gay atau ‘straight’ nya anda. Atau dengan kata lain, kadar homoseksual atau heteroseksual anda.
Skala tersebut bermula dengan 0 (laki cari perempuan, perempuan cari lelaki), kepada 6 (sepenuhnya laki cari lelaki dan perempuan cari perempuan).

Soalan yang mungkin terpacul dalam minda adalah: “Eh jap. Macam mana homoseks pun boleh ada skala? Bukan hang berhubungan dengan perempuan atau berhubungan dengan lelaki je ke?”
Itulah. Daripada skala Kinsey ini lah sekarang tersebar luasnya konsep ‘kebendaliran seksualiti’, maksudnya menurut gerakan LGBT, daya tarikan seksual seseorang bukanlah binari, ataupun bukanlah hanya ada homoseks atau heteroseks. Macam spektrum warna pelangi lah menurut mereka.
Dan itu sebabnya mengapa nama LGBTTQQIAAP+ pun macam pelangi. Boleh ditambah seberapa banyak huruf yang mahu kerana spektrum itu sifatnya cakupan yang tidak terbatas
Harapnya sijil Halal tak dibuat macam ni. (Produk kami Halal pada skala 5 / 6 . Kami letak babi sikit je).
Skala Kesakitan FACES Wong Baker

Skala kesakitan sekali dengar sememangnya suatu konsep yang bagus. Ia mengira kadar kesakitan dan ketidakselesaan pesakit sewaktu ujian. Ia merupakan alat diagnosa yang penting untuk doktor.
Jadi kenapa skala ini berada dalam senarai?
Sebab walaupun konsepnya bagus, tapi pelaksanaannya … buat orang garu kepala.

Skala kesakitan saintifik ini nampak macam … lukisan kita waktu umur 6 tahun dahulu. Dan memandangkan penggunaannya sekarang meluas di seluruh dunia, kita mungkin dapat mendengar ketapan gigi ahli – ahli grafik dari segenap pelusuk alam.
Skala 0 tiada masalah, nampak macam orang biasa yang gembira (walaupun mata juling sikit)

Skala 2 nampak macam orang yang sedang lihat kalendar deadline tesis yang kena hantar lagi seminggu.

Kemudian ada kembar kesakitan sederhana. Yang belah kiri macam orang yang tengok pensyarah ada 56 slide lagi yang belum habis, belah kanan macam bila Youtuber kegemaran dah tak muat naik video untuk bulan ke sepuluh.

Skala 8 adalah sangat sakit, macam lepas periksa matematik A level, lepas tu baru sedar kalkulator rupanya salah setting ‘degree’. Ada 5 soalan, semua tanya trigonometri.

Dan skala 10 adalah kesakitan yang paling sakit. Macam dapat berita pelukis One Piece meninggal dunia sebelum sempat habiskan pulau terakhir.

Skala Stres Holmes dan Rahe

Skala Stres Holmes dan Rahe adalah suatu jadual yang mengerikan.

Ia menyenaraikan semua tragedi – tragedi dan perubahan – perubahan besar dalam hidup seseorang dalam setahun beserta nilai untuk setiap peristiwa.
Cartanya berfungsi seperti ini. Semakin tinggi pangkat peristiwa tersebut, semakin banyak nilai unit perubahan kehidupan (LCU – Life Change Unit) yang ia miliki. Kalau anda masuk penjara, anda dapat 63 LCU. Tapi itu kurang berbanding markah anda bercerai dengan pasangan, 75 LCU.
Mengandung, markahnya 40 LCU, dipecat, 47 LCU.
Ini untuk versi dewasa, untuk versi kanak – kanak pun ada.
Skala ini seolah menjadikan kehidupan seperti sebuah game yang mengumpul poin. Tetapi poin – poin kesengsaraan dan kesakitan. Apa akan jadi sekiranya anda kumpul poin sebanyaknya? Adakah anda temui cahaya kebenaran kehidupan? Dapat piala?
Tak. Anda menangi kematian. Semakin besar mata terkumpul, semakin tinggi risiko kematian. Menurut Holmes dan Rahe, berikut adalah kesan bagi setiap mata terkumpul:
- Krisis ringan (150 – 199 LCU) – 37% penyakit dilaporkan.
- Krisis sederhana (200 – 299 LCU) – 51% penyakit dilaporkan.
- Krisis besar (300 LCU +) – 79% penyakit dilaporkan
Diharapkan pro – pro gamer di luar sana tak ambil carta ini sebagai cabaran untuk mengumpul sebanyak mungkin mata terkumpul ya.