Pada tahun 2016, ahli astronomi menghipotesiskan bahawa wujud planet ke-9 di dalam sistem suria. Planet ini berkemungkinan seberat 5 hingga 10 kali ganda bumi.
Kini, ahli astronomi mengesyaki bahawa kemungkinan Planet 9 ini bukanlah sebuah planet, tetapi ia merupakan objek yang lebih misteri. Selepas meneliti maklumat terbaru daripada cerapan, planet 9 ini berkemungkinan ialah sebuah lohong hitam.
Bukti kewujudan planet 9 ini berpunca daripada cerapan pada objek-objek trans-Neptune iaitu objek-objek yang mengelilingi Matahari dengan orbit yang lebih besar daripada planet Neptune. Ahli-ahli astronomi mendapati bahawa objek-objek trans-Neptune ini mempunyai orbit yang pelik. Orbit bagi objek-objek ini kelihatan seolah-olah diganggu oleh tarikan graviti daripada sebuah planet baharu yang dikenali sebagai Planet 9.
Jadi, mengapa ahli astronomi mengesyaki bahawa Planet 9 ini ialah sebuah lohong hitam?
Ia bermula daripada sebuah kajian yang mencerap pembengkokan cahaya oleh tarikan graviti daripada objek-objek berat. Apabila cahaya melalui sesebuah objek yang berat, cahaya tersebut akan dibengkokkan mengelilingi objek tersebut. Fenomena ini dipanggil kanta bergraviti. Objek tersebut akan bertindak seperti sebuah kanta pembesar.

Antara kajian yang mencerap fenomena kanta bergraviti ini ialah Optical Gravitational Lensing Experiment (OGLE). Objek yang menyebabkan kanta graviti ini berkemungkinan ialah galaksi-galaksi, bintang-bintang kerdil dan planet-planet yang tidak kelihatan. Namun hasil daripada cerapan OGLE boleh difahami bahawa objek yang kelihatan tersebut bukanlah sebuah planet, tetapi ialah sebuah lohong hitam julung.
Lohong hitam ialah sebuah objek yang mempunyai graviti yang sangat tinggi sehingga cahaya pun tidak dapat keluar darinya. Lohong hitam dipercayai wujud sebagai mayat bagi sebuah bintang yang sangat berat (melebihi 20 kali ganda jisim Matahari). Namun, ahli kosmologi menteorikan bahawa selepas berlakunya letupan besar, terdapat kemungkinan untuk lohong hitam terbentuk disebabkan kepadatan alam semesta pada ketika itu. Lohong hitam yang wujud selepas letupan besar ini dikenali sebagai lohong hitam julung.
Berbalik semula kepada persoalan mengenai Planet 9, ahli astronomi tidak menolak kemungkinan bahawa Planet 9 ini sebenarnya merupakan sebuah lohong hitam julung. Dengan anggaran jisim sekitar 5 hingga 15 kali ganda jisim Bumi, lohong hitam julung ini sangat sukar dikesan kerana suhunya yang mencapai 0.0004 K. Oleh itu, ahli astronomi mengesyorkan untuk meneliti isyarat daripada spektrum sinar gama dan sinar-X yang dilepaskan oleh lohong hitam tersebut.
Antara yang menarik berkenaan lohong hitam ini ialah saiznya. Walaupun jisimnya yang berkali-kali ganda jisim Bumi, ia mempunyai saiz yang tersangat kecil iaitu sekitar 5 cm hingga 20 cm. Lohong hitam ini sama saiznya dengan telefon yang anda pegang sekarang.