Rasanya kita semua tahu tentang anugerah saintifik yang paling berprestij iaitu anugerah Nobel, anugerah tertinggi dalam bidang sains yang diberikan kepada saintis – saintis dan pengkaji sains yang paling hebat pencapaian dan sumbangan mereka.
Tapi rasanya tak ramai antara kita yang tahu tentang jiran kelas sebelah anugerah nobel iaitu Ig Nobel. Jika anugerah Nobel diberi kepada kajian yang paling kompleks, berimpak tinggi dan mengubah lanskap ilmu manusia, Ig Nobel diberi kepada kajian sains yang kelakar dan ‘merepek’.

Kertas – kertas kajian sains ini pula bukanlah dibuat main – main atau palsu, sebaliknya memang kertas kajian sebenar menggunakan format yang sah dan metodologi kajian yang standard. Cuma topik dan skopnya saja yang buat orang tertawa. Majlis pemberian hadiah pula diadakan di Universiti Harvard setiap tahun.
Contohnya, pada tahun 2017, pemenang Ig Nobel adalah kajian yang mengkaji sifat cecair kucing.

Pada tahun 2011, seorang doktor dapat anugerah Ig Nobel apabila mengambil masa 6 bulan untuk mengajar kura – kura menguap.
Jadi berikut adalah pemenang Ig Nobel untuk tahun 2019:
Kalau Kita Magnetkan Lipas yang Mati, Lain Tak dengan Lipas Mati yang tak Termagnet?

Kertas kajian ‘In-vivo biomagnetic characterisation of the American cockroach’ ini (canggih namanya) nak tahu apa jadi kalau kita memagnetkan bangkai lipas. Didapati medan magnet pada lipas mati berkurangan dengan lebih cepat berbanding lipas hidup. Lipas tersebut pula mungkin boleh ditampal pada peti sejuk?
Adakah Pizza Melindungi Badan Kita Daripada Barah?

Anda suka pizza? Apa kata anda salurkan obsesi anda menjadi kajian saintifik berkaitan kesan memakan pizza terhadap penyakit barah? Kajian ‘Does pizza protect against cancer?‘ tersebut mendapati pizza mungkin boleh melindungi badan kita daripada barah, hanya jika ia dihasilkan di Itali.
Tahap Kesedapan Menggaru

Kertas kajian ‘ The pleasurability of scratching an itch: a psychophysical and topographical assessment‘ ini menganalisis variasi topografikal dan keberkesanan garuan pada tempat yang gatal. Didapati semakin tinggi rasa gatal, semakin tinggi kesedapannya apabila menggaru.
Kalau Kita Gigit Pen, Kita Gembira Tak?

Kertas kajian psikologi ini dapati kalau kita gigit pen, kita akan tersenyum, maksudnya kita gembira. Tapi kemudian didapati bahawa rupanya kita tak gembira pun.
Macam Mana Wombat Hasilkan Najis Berbentuk Kiub?

Jika anda belajar kejuruteraan bendalir (fluid dynamics), kajian terhadap najis mungkin benda terakhir yang anda fikirkan anda buat di makmal. Tapi kertas kajian ‘How do wombats make cubed poo?’ ini mengenalpasti struktur dan mekanik usus wombat untuk mengetahui kenapa najis yang dihasilkan berbentuk kiub.