Cabaran Buat Botol Terapung Dengan Pensel

Kalau ternampak ada botol-botol kosong di rumah, jangan dibuang begitu sahaja. Jangan pula dibiarkan ia bersepah-sepah tanpa dimanfaatkan. Sebelum ibu yang tercinta mengangkat intonasi suara supaya cepat-cepat buang ke tong kitar semula, baik kita kutip segera untuk buat satu cabaran ini.

Pernah dengar tak cabaran buat botol terapung dengan menggunakan pensel?

Percaya tak yang kita boleh buat botol terapung dengan hanya menggunakan sebatang pensel sahaja?

Eh, macam mana tu? Guna kuasa apa pula ya?

Cuba lihat gambar di atas. Hebatnya adik tu berjaya mengangkat botol tersebut. Tinggi pulak tu ya?

Ya, sebenarnya memang kita boleh buat. Ini bukan magis.

Tak sabar dah ke nak cuba buat? Jom, kita buat sama-sama. Kita tengok samada anda berjaya atau tidak.

Syarat cabaran ini adalah anda perlu mengangkat botol yang benar-benar kering dengan menggunakan pensel tanpa menyentuh dinding dan lantai botol itu. 

Lihat gambar di bawah ini, dari kiri bahan tersebut adalah beras, kacang hijau dan chacha Anda perlu pilih salah satu bahan untuk menjadi isi yang akan memenuhi botol.

Katakan anda memilih beras.

Sekarang penuhkan botol itu dengan beras tersebut sehingga ke leher botol. Eh sekejap, tapi macamana pula nak masukkan bahan-bahan melalui mulut botol yang sempit? Haa jom kita tengok kaedah adik-adik ni masukan bahan mereka ke dalam botol.

Yang ini  menggunakan kaedah corong kertas. Caranyanya ambil sehelai kertas, gulungkan sehingga membentuk kon dan tampalkan dengan pelekat. Kemudian letak sahaja di mulut botol, dan tuangkan kacang hijau dengan mudah!

Cara kedua, masukkan menggunakan tangan. Berapa lama agaknya masa diperlukan untuk memenuhkan chacha ke dalam botol ini?

Cara terakhir, menggunakan cawan plastik dan kemudian tekan sedikit bagi membentuk muncung.

Antara ketiga-tiga kaedah ini, mana satukah kaedah yang dapat memasukkan bahan paling cepat dan paling sedikit bahan yang tertumpah?

Tada.. dah siap isi beras ke dalam botol. Sekarang kita ambil pensel dan masukkan melalui mulut botol. Kemudian, cubalah angkat! Tengok adik-adik ni, gembiranya dapat berlumba dengan kawan buat cabaran ini.

Kalau anda telah berjaya, tahniah diucapkan. Sekiranya tidak berjaya jangan putus asa sila cuba lagi ya sampai dapat.

Wah, kali ini botol berjaya diangkat! Syabas!

Sekarang cuba tukarkan bahan yang diisi ke dalam botol dengan bahan-bahan lain yang terdapat di rumah seperti biji sagu, kacang tanah, jagung kering, dan sebagainya.

Yang mana satukah bahan yang membolehkan botol diangkat lebih mudah? Dan yang paling penting apakah sains yang menyebabkan botol boleh diangkat menggunakan pensel apabila diisikan dengan bahan-bahan tersebut? Memang magis atau cuma helah sains?

Ini sebab botol berjaya diangkat secara ‘magis’.

Sebenarnya apa yang membantu kita untuk menjayakan cabaran ini adalah dengan adanya daya geseran.

Daya geseran adalah penjelasan sains yang menyebabkan botol dapat diangkat apabila diisikan dengan bahan seperti beras dan lain-lain. Daya geseran merupakan salah satu daya yang wujud di sekeliling kita. Daya geseran dapat memperlahankan objek dan akhirnya memberhentikannya.

  • Dengan adanya daya geseran kita dapat berjalan tanpa tergelincir.
  • Dengan adanya daya geseran kita dapat memberhentikan kereta apabila kita menekan brek.
  • Dengan adanya daya geseran kita dapat menyalakan mancis api.

Geseran dikatakan berlaku apabila dua permukaan bersentuhan di antara satu sama lain dan sentiasa menentang arah gerakan objek. Daya ini dipengaruhi oleh jenis permukaan dan jisim objek.

Tahukah anda apabila semakin kasar jenis sesuatu permukaan itu, semakin besar daya geserannya?

Selain itu, apabila bertambahnya jisim sesuatu objek, semakin besar pula daya geserannya.

Berbalik kepada cabaran mengapungkan botol dengan pensel tadi,sebenarnya bahan-bahan yang dipenuhkan di dalam botol menjadi tersusun dengan rapat dan bergeser antara satu sama lain dengan sedikit ruang udara yang wujud. Tindakan menarik pensel yang berada di dalam butiran bahan-bahan tidak bergerak di dalam botol, mampu untuk mengangkat botol daripada permukaan meja. Daya geseran dapat melekatkan pensel dengan butiran bahan yang berada di dalam botol tersebut.

Sememangnya kita mendapat manfaat daripada daya geseran yang wujud di sekeliling kita. Walaubagaimanapun, daya geseran juga mempunyai kesan mudarat seperti dapat menyebabkan kehausan sesuatu objek (tapak kasut dan tayar), memberikan bunyi yang tidak diingini (seperti geseran gigi atau dua objek logam), menghasilkan haba dan menjadi panas (seperti gosokan tangan), serta menyukarkan menarik atau menolak objek yang berat.

Ada sesuatu yang menarik untuk kita renungkan jika kita menyemak maksud geseran di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka pergeseran membawa maksud ‘perbezaan pendapat’.

Sepertimana kesan daya geseran boleh merosakan peralatan dan perkakas, pergeseran sesama manusia pula boleh menyebabkan permusuhan. Di dalam kehidupan kita, sekiranya berlaku pergeseran atau perselisihan pendapat dengan orang lain, kita perlu mengawal keadaan itu agar keadaan tidak menjadi lebih buruk seperti pergaduhan dan sebagainya. Kerana antara akhlak mulia orang beriman ialah meninggalkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan sengketa dan permusuhan, seperti bergaduh dan mencela. Rasulullah SAW pernah berkata yang bermaksud,

“Aku menjamin dengan sebuah istana di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran, meskipun dia di pihak yang benar, sebuah istana di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan pendustaan meskipun ia bergurau, sebuah istana di atas syurga bagi orang yang memperbaiki akhlaknya” – (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)

Jom kita syukuri rahmat daya geseran dalam kehidupan serta kita menjauhi pergesaran lalu mendapat jaminan syurga!

*Sebahagian gambar daripada sumber program FantaSains

Bawakan pengalaman FantaSains ke tempat anda serta dapatkan majalah FantaSains untuk pembelajaran sains yang menarik dan menyeronokan. FantaSains – Celik sains, celik jiwa. Hubungi 019-2542109 atau email [email protected].

***

Total
25
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts