Untuk kalini, saya fokuskan kepada ilmu Matematik memandangkan Matematik ni dah dianggap musuh tradisi kebanyakan manusia. Meh kita toleh jap belakang, tengok semula faktor utama asal terbitnya ilmu ini.
Cabang Ilmu Matematik

Perkara pertama perlu difahami bahawa Matematik itu bercabang. Dan cabang utama Matematik asas yang digariskan oleh ahli Matematik terdahulu ialah Mantik, Aritmetik, Geometri, Astronomi, dan Muzik. Adapun cabang yang lain, seperti ilmu Optik, Mekanik, dan lain-lain berkembang selari dengan keperluan manusia.
Eh, muzik pun termasuk dalam Matematik? Serius ah?!
Haa, ni nak terang satu-satu. Kita mula dengan mantik dulu. Mantik ialah unsur matematik yang penting kerana matematik itu dianggap sebagai ilmu sains pasti; maka, kaedah pembuktian dan hasilnya adalah benar dan tepat relatif terhadap premis pembinaannya sama ada premis yang berbentuk aksiom, postulat, proposisi atau seumpamanya.
1. Mantik
Maka, kaedah mantik yang sahih digunakan untuk membimbing ahlinya berfikir secara bersistem, analitis, kritis serta membuat keputusan tepat dalam keadaan yang terhad untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jadi, kita boleh lihat apabila sesuatu soalan matematik itu dijawab, yang dititikberatkan ialah pengaplikasian kefahaman dan konsep dengan cara tulis yang teratur dan bersistematik.
Apabila mantik sahih yang digunakan, maka, kita akan menghampiri jawapan yang sebenarnya. Sebab itu pakar matematik terdahulu sangat mementingkan cara penulisan dan cara pertuturan. Keterkaitan satu huruf ke satu huruf, satu ayat ke satu ayat menggambarkan tahap mantik seseorang yang menggambarkan kecerdasan akal dan kebenaran si penulis/ si pertutur.
Dalam beberapa kitab agama terulung, disebut oleh beberapa ulama seperti Imam al-Syafie, Imam al-Ghazali dan Syeikh al-Islam bahawa ilmu mantik dalam Matematik berperanan dengan baik dan dibincangkan oleh mereka yang dianugerahkan akal cergas. Dan peranan paling utama ilmu ini dalam kalangan ahli matematik terdahulu adalah untuk berhujah tentang pembuktian ketuhanan dengan penciptaan dunia.
2. Aritmetik
Kedua, aritmetik. Cabang ini berkait rapat dengan pengiraan nombor. Wujudnya cabang ini kerana ahli matematik menghasilkan nombor untuk membuat pengiraan berkenaan hal berkaitan astronomi. Orang Babylon dan Yunani menggunakan sistem 60 dalam sistem nombor untuk menentukan saat, minit, jam, hari dalam setahun dan sudut. Sistem ini lah menerangkan kepada kita 60 minit sejam, 60 saat seminit, 360 hari setahun dan 360 darjah untuk satu bulatan. Lalu, al-Khawarizmi memudahkan lagi pengiraan dengan memperkenalkan sistem 10 atau disebut sebagai sistem syariah yang kemudiannya disebarkan ke seluruh dunia oleh Paus Sylvester II dan Fibonacci apabila sistem ini dipindahkan ke Eropah. Dan sistem inilah yang digunapakai dalam sistem nombor sekarang.
3. Geometri
Ketiga, geometri. Geometri dianggap sebagai bahasa alam yang indah. Semua objek ciptaan Ilahi dalam alam ini hakikatnya ialah ciptaan berbentuk geometri. Geometri menggambarkan hakikat alam semesta. Keratan kon merupakan contoh bentuk asas geometri. Apabila keratan kon dikerat rentas melalui pelbagai sudut, maka terhasillah bentuk-bentuk lain. Dan disebut bahawa garis lurus itu tidak wujud, tetapi, hanyalah satu bentuk bulatan yang khusus dengan jejari yang tak terhingga. Macam mana kita sangkakan kita bergerak lurus di muka bumi, tetapi, hakikatnya kita bergerak mengikut bulatan bumi.
4. Astronomi
Keempat, astronomi. Astronomi ialah ilmu tentang bintang atau ilmu yang mengkaji berkenaan jasad-jasad di langit. Dalam tamadun Islam, ilmu ini digunakan untuk hal ibadah seperti sembahyang, puasa dan haji.
5. Muzik
Kelima, muzik. Asal kelahiran ilmu ini adalah melalui alunan fenomena alam seperti tiupan angin, aliran air, kicauan unggas dan seumpamanya. Muzik juga boleh lahir daripada susunan intonasi suara dan alat yang mengeluarkan bunyi. Lalu, digubah menggunakan susunan nisbah dalam teori nombor. Muzik yang baik disusun berdasarkan siri harmonik, siri geometri atau siri aritmetik. Syair juga dikategorikan dalam ilmu ini dengan melakukan penggubahan berbentuk suara. Al-Farabi dikenali sebagai salah seorang penggubah muzik yang agung kerana mampu mensintesiskan alunan muzik sehingga mempengaruhi perasaan manusia.
Kenapa Wujud Cabang – cabang ini?

Secara umumnya, kelima-lima cabang ini wujud dalam tamadun awal kerana dua faktor :
- Mencari hakikat kebenaran, yakni mengetahui hakikat diri dan Pencipta alam semesta.
- Memenuhi kehendak/ keperluan semasa sesebuah tamadun.
Tamadun awal tersebut ialah tamadun Mesir, tamadun Yunani, tamadun Islam, tamadun Hindu, tamadun China dan tamadun Eropah. Tamadun besar manusia telah mencatatkan kegemilangan dalam ilmu Matematik. Dunia seluruhnya mewarisi sejarah silam secara silih-berganti.
Persoalannya, macam mana boleh timbul ilmu ni? Konfem ahli sihir ni! Hermes lah ahli sihirnya!
Sebelum menghukum, kita telusuri dulu kisah awal Hermes seperti yang ditulis oleh beberapa ahli sejarawan berdasarkan kajian-kajian mereka.
Mengikut penulisan barat, kewujudan Hermes dianggap sebagai satu mitos. Tetapi, terdapat peninggalan bukti daripada penulisan ahli Sejarah terdahulu bahawa Hermes itu wujud dan digelar “The powerful magician”.
Manakala, mengikut kajian primer Prof. Mat Rofa Ismail menerusi penulisannya (2004), Hermes itu wujud, dan menurut ahli Sejarah tamadun Islam, Hermes merupakan pengasas ilmu matematik, astronomi dan beberapa ilmu sains yang lain.
Siapa Hermes?

Hermes ialah gelaran bagi pelopor ilmu yang agung dalam tamadun Yunani. Dan tercatat sekurang-kurangnya tiga Hermes dalam sejarah silam tamadun Yunani. Berdasarkan daripada beberapa kajian, dipercayai bahawa salah seorang daripada Hermes ialah Nabi Idris.
Kita percaya melalui firman Allah S.W.T bahawa setiap kaum pasti ada Rasul yang diutuskan untuk membawa petunjuk dan ilmu. Maka, Lembah Nil dipercayai ada hubungan dengan Nabi Idris a.s. yang dikenali sebagai Hermes dalam sejarah Yunani. Namun masyarakat Yunani tidak menghubungkan Hermes dengan kenabian, tetapi hanyalah rangkaian ilmuwan atau ahli hikmah agung dalam masyarakat Mesir dan Yunani. Sebab itu jika diperhatikan sejarah hidup tokoh ilmuwan Yunani terawal seperti Thales, Socrates, Aristotles, Pithagoras dan rangkaian pemikir-pemikir mereka mempercayai kewujudan Tuhan serta kebangkitan pada hari akhirat walaupun dalam pelbagai versi kepercayaan.
Malah disebut oleh ahli Sejarah tentang perjalanan Pithagoras, seorang ahli matematik Yunani yang mengakui peranan Hermes dan para Rasul dalam matematik Yunani. Pengembaraan beliau ke timur termasuk Lembah Tigris, Parsi dan India untuk mempelajari ilmu matematik dan falsafah telah mempertemukan Pithagoras dengan pengikut-pengikut para nabi, dan dipercayai juga berlaku pertemuannya bersama murid Nabi Daud a.s (King David) dan murid Nabi Sulaiman a.s (Solomon) di Syam. Yang akhirnya diadun pemikirannya dan penemuannya dalam teori aritmetiknya yang kemudian dikembangkan oleh Tamadun Arab.
Maka, sihir yang didakwa itu, dipercayai bahawa wahyu Allah kepada Nabi Idris a.s. Baginda dianugerahi pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah ilmu tentang pengiraan masa, kalendar dan musim di sekitar Laut Mediterranean, dan kemudiannya ilmu ini dikembangkan di Lembah Nil oleh anak Baginda, Misr bersama seorang lagi nabi seperti yang disebut dalam kitab terdahulu, iaitu nabi Daniel a.s. Hal ini menjadikan Mesir (sempena nama anak Baginda, Misr) muncul sebagai sebuah tamadun yang mempunyai warisan Matematik teragung di dunia. Buku Matematik paling agung dalam sejarah dunia yang bertajuk The Elements, telah ditulis oleh Euklid dalam tamadun Mesir, dan dipercayai merupakan sebahagian daripada warisan para nabi sebelumnya.
Ilmu ini terus berkembang ke tamadun-tamadun lain, sehingga melahirkan beberapa nama ahli Matematik agung yang lain.
Kesimpulannya, setiap ilmu yang bermanfaat itu datangnya daripada Allah. Malah, fakta ilmu sains dan matematik itu sendiri jelas terkandung dalam beberapa firmanNya.
Oleh itu, Allah tekankan dalam al-Quran supaya manusia itu perlu menjadi seperti golongan ulul albab, yang sentiasa berfikir dan berzikir. Dalam erti kata lain, mereka melihat dunia, memikirkan manfaatnya, dan kembalikan pujian kepada Allah dengan memanifestasikan kesyukuran dalam kesungguhan ibadah dan menunaikan tanggungjawabnya dengan baik di dunia.
Berfikir tanpa zikir, ibarat mereka yang hanya mementingkan dunia tanpa memikirkan hak Pencipta.
Berzikir tanpa fikir, ibarat mereka yang hanya semata-mata beribadah, tanpa melihat manfaat dunia kepada akhiratnya. Lalu diabaikan hak keluarga, masyarakat, dan negaranya yang perlu dia tunaikan.
Jadilah manusia yang berzikir dan berfikir!
Oleh:
Nur Asmila Syahmah bt Ahmad Sukri
Pelajar postgrad di Institut Mathematical Research (INSPEM), UPM dalam Master Sains Penyelidikan dalam Pendidikan Matematik.
Rujukan utama :
1. Buku Sejarah Aritmetik dan al-Jabar Islam (1995), Mat Rofa Ismail.
2. Buku Matematik Merentas Tamadun (2004), Mat Rofa Ismail.