Matematik merupakan satu bidang ilmu yang sangat tua dan bernilai merentas pelbagai bidang lain. Seharusnya perlu ada pengiktirafan kepada ilmu ini oleh masyarakat sedunia kerana ilmu inilah yang menjadi tunjang dan asas kepada kehidupan kita dalam aspek kecil kehidupan sehinggalah aspek besar yang melibatkan negara dan dunia. Tetapi, kesukaran bidang ilmu ini telah membuatkan ia dilupai, malah tidak digemari oleh ramai orang.
Maka, UNESCO telah berinisiatif untuk mengiktiraf 14 Mac sebagai Hari Matematik Sedunia sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada komuniti untuk kembali memperingati sumbangan Matematik dalam memperbaiki kualiti kehidupan dan peningkatan kemajuan dunia.
Jadi, takkanlah sehari pun kita tak boleh luangkan sekejap untuk menghargai Matematik setelah 364 hari kita berkalut benci? (Ambil sapu tangan lap mata)
Tapi, apa kita nak buat sebenarnya dengan Hari Matematik Sedunia ni? Takkanlah 24 jam dalam 14 Mac ni nak selesaikan masalah Matematik atas kertas? Takkanlah 24 jam tu nak hafal sifir je? Takkanlah 24 jam tu nak meratib perkataan Matematik di bibir? Ke nak kena beli kek, kemudian ‘upload’ di media sosial sempena sambutan Hari Matematik Sedunia?
Makanya, kita perlu jelas dahulu faktor utama Hari Matematik Sedunia ini diiktiraf. Barulah kita faham apa definisi ‘menghargai’ dan ‘mengingati’ itu sebenarnya.
PENGIKTIRAFAN HARI MATEMATIK SEDUNIA OLEH UNESCO

Pada November 2019, UNESCO telah mengiktiraf 14 Mac sebagai Hari Matematik Sedunia ketika persidangan mereka kali ke-40. Faktor utama pengiktirafan ini adalah disebabkan oleh UNESCO berpandangan bahawa perlunya kepada satu kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan matapelajaran Sains Matematik dalam sektor-sektor mencabar yang menjadi keperluan dunia sekarang seperti kecerdasan buatan (AI), perubahan klimaks, tenaga dan pembangunan lestari dan penambahbaikan kualiti hidup dalam pembangunan diri, negara dan dunia.
Sebelum pengiktirafan ini dilakukan, banyak negara telah meraikan 14 Mac sebagai Hari Pi (Pi Day), yang merupakan nilai pemalar Matematik yang mempunyai keunikan tersendiri dan terkenal serata dunia dengan pembundaran nilai kepada 3.14. Oleh yang demikian, hari Pi disambut pada 14.3 ataupun 14 Mac. Dan kini disambut pula sebagai Hari Matematik Sedunia.
Setiap tahun, Hari Matematik Sedunia akan disambut dengan anjuran pelbagai aktiviti yang melibatkan bidang Sains Matematik oleh pihak UNESCO dan Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) dengan kerjasama organisasi-organisasi Sains Matematik lain seluruh dunia.
PENGERUSI SAMBUTAN HARI MATEMATIK SEDUNIA

IMU ialah sebuah pertubuhan saintifik antarabangsa berstatus bukan kerajaan dan mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam bidang sains matematik di semua peringkat merentasi dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke universiti, dari rumah sehinggalah ke kilang industri pembuatan, dan dari pasar sehinggalah ke kawasan perladangan. IMU juga merupakan ahli Majlis Sains Antarabangsa (ISC) yang berprinsipkan kebebasan serta bertanggungjawab ke atas pensejagatan ilmu sains.
IMU bertindak sebagai pengerusi kepada sambutan Hari Matematik Sedunia dengan melaksanakan semua usaha yang bertujuan untuk meletakkan bidang Matematik di tempat sebenarnya dalam kalangan masyarakat.
Setiap tahun, tema sambutan adalah berlainan. Bagi tahun 2021, tema yang ditetapkan ialah “Mathematics for a Better World”. Hal ini bertepatan dengan keadaan dunia yang dilanda Pandemik Covid-19 yang memerlukan kepada ilmu Matematik dalam setiap pemodelan dan pembangunan alat bagi memahami, memantau dan mengawal penyebaran virus. Selain itu, tema ini juga bertepatan dengan kepentingan bidang Sains Matematik dalam kelancaran sistem dunia.
Untuk mengetahui lebih lanjut perihal tema dan sambutan tahun ini, korang boleh layari web ini Mathematics for a Better World | International Day of Mathematics 2021 (idm314.org)
HARI MATEMATIK SEDUNIA DI MALAYSIA
Malaysia turut komited untuk menjadi negara maju, khususnya dalam industri pembuatan dan perkhidmatan berasaskan kepada teknologi tinggi. Peranan Matematik sebagai satu pemandu kuasa di sebalik pelbagai perkembangan dalam bidang Sains dan Teknologi perlu diketengahkan.
Dalam perspektif Islam, ilmu Matematik juga jelas tertera dalam kitab suci al-Quran menerusi penerangan-penerangan alam, perkisahan sirah, aspek hukum-hakam dan perihal muamalat. Justeru, Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM) telah ditubuhkan bagi menghubungjalinkan bidang ilmu ini dengan masyarakat. Ahli-ahli dalam akademi ini terdiri daripada golongan profesor Negara dan cendekiawan Matematik yang perlu memasyarakatkan keilmuannya.
Maka, AISMM telah bekerjasama dengan IMU untuk mengadakan sambutan Hari Matematik Sedunia dan mewakili IMU sebagai badan penganjur yang bertanggungjawab mengkoordinasi perayaan ini di Malaysia.
SAMBUTAN HARI MATEMATIK SEDUNIA
Matlamat sambutan ini adalah sangat murni iaitu bagi menggalakkan komuniti terlibat dalam ilmu Matematik, mendedahkan penggunaan Matematik dalam kehidupan seharian, menyuburkan minat Matematik dalam kalangan murid, membentuk pemikiran logik dan analisis dalam kalangan murid serta menyedarkan manusia bahawa Matematik itu wujud dalam kehidupan seharian.
Ilmu Matematik merupakan satu ilmu yang akan sentiasa berkembang dan kekal relevan sepanjang zaman. Hal ini kerana manusia tidak pernah berhenti bekerja untuk memperbaiki ilmu ini dengan berterusan mencari jawapan kepada persoalan apa itu Matematik. Malah, ilmu ini unik kerana menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan manusia yang telah terbangun sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Sejarah mencatat bahawa kehidupan manusia itu sering mengukur dan berkomunikasi tentang masa, kuantiti, kualiti, dan jarak yang menjadi komponen utama dalam pembelajaran ilmu Matematik.
Suatu hal yang menarik, menurut seorang pengkaji tamadun berkaliber, George Sarton, bahawa pencapaian sesuatu tamadun itu mempunyai kaitan dengan perkembangan Matematik. Manakala, ulama’ terdahulu menganggap Matematik sebagai ilmu alat yang mesti dikuasai secara fardu kifayah bagi tujuan pengiraan ummah, sama ada mengenai urusan kehidupan seharian ataupun melibatkan hukum-hakam agama.
APA SUMBANGAN MATEMATIK KAT AKU?

Sekiranya kita memahami makna Matematik itu dalam perspektif yang lebih luas tanpa dihadkan hanya pada nombor dan pengiraan, kita akan dapati hampir segenap kehidupan kita adalah sumbangan daripada ilmu Matematik.
Nak faham lanjut, boleh baca balik artikel ni ya Kenapa Orang Takut Matematik? | AJAR.
Dan kalau nak tahu dari aspek falsafah dan sejarah ilmu ini, boleh baca artikel ini Ilmu Sains dan persamaaan Matematik dikatakan ilmu sihir? Hermes Trismegistus ahli sihir? | AJAR.
Panjang pula kalau nak hurai dalam artikel ni. Tambahan lagi huraian-huraian tersebut sudah ditulis dalam artikel khas sebelum ni. Maka, rajinlah untuk buka kembali ya! (Senyum penuh harapan)
Secara ringkas dan mudahnya, kehidupan harian kita memerlukan kepada masa dan waktu, pengiraan wang, pemutusan keputusan, pemilihan muzik, pemanduan kereta, pergerakan koordinasi badan, penggunaan media elektronik, pertuturan bersama manusia lain, efisien dalam membuat kerja dan sistematik dalam pengurusan. Semuanya memerlukan kepada ilmu Matematik untuk menjayakannya.
Malah, dalam aspek ibadah juga melibatkan ilmu Matematik. Solat, zikir, selawat, sedekah harian, doa harian dan sebagainya. Haa, macam mana tu? Cuba fikir celah mana ilmu Matematik ini berperanan. Kalau tak dapat idea juga, boleh buka artikel ni Konsep Matematik Rasulullah S.A.W Untuk Tingkatkan Kualiti Ibadah Manusia | AJAR
Maka, tidak perlu dibayangkan penggunaan formula-formula yang sukar untuk memahami penggunaan Matematik dalam kehidupan kerana ilmu ini tidak hanya terbatas kepada perkara itu.
KESIMPULAN
Secara spesifiknya, sambutan ini mungkin lebih ditekankan kepada organisasi-organisasi dan institusi-institusi pendidikan dan para pelajar di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti, untuk menghidupkan persekitaran yang cemerlang dalam bidang ilmu ini. Namun, masih menjadi satu kepentingan kepada masyarakat seluruhnya untuk turut mengetahui dan memahami perihal sambutan ini walaupun secara ringkas.
Maka, kaedah menyambut hari istimewa ini tidaklah sehingga menuntut kepada satu sambutan yang besar sepertimana sambutan hari sedunia yang lain. Tetapi cukuplah kepada usaha untuk kembali membetulkan persepsi negatif terhadap ilmu ini dan menimbulkan kesedaran dalam diri tentang peranan dan nilai sebenarnya, di samping membantu memupuk penghayatan ini kepada anak-anak dan masyarakat sekitar.
Usaha ini boleh dibuat melalui pembacaan-pembacaan ringan dan mengikuti beberapa penerangan daripada cendekiawan-cendekiawan Matematik negara mengenai ilmu ini. Usaha anda membaca artikel ini juga antara langkah untuk membantu anda menghargai ilmu ini. Tahniah!
Selamat Hari Matematik Sedunia!
RUJUKAN :
1. International Day of Mathematics, International Day of Mathematics (unesco.org)
2. International Day of Mathematics, Mathematics for a Better World | International Day of Mathematics 2021 (idm314.org)
3. Hari Matematik Sedunia pupuk minat subjek tertua, Prof. Dr. Zuhaimy Ismail di pautan Hari Matematik Sedunia pupuk minat subjek tertua (malaysiagazette.com)
4. Matematik Merentas Tamadun, Mat Rofa Ismail.