Kemajuan saintifik pada abad ke-20 dan ke-21 telah membawa kepada evolusi besar dalam pemahaman tentang kematian. Pada masa yang sama, selama beberapa dekad, mereka yang terselamat daripada berhadapan dengan kematian, telah mengingati memori yang tidak dapat diterangkan yang melibatkan kesedaran yang tinggi. Hal ini telah dilaporkan dengan menggunakan istilah terkenal, yang belum dapat didefinisikan secara saintifik, iaitu, “pengalaman hampir mati”.
Sebuah pasukan pelbagai disiplin di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah menerbitkan “Garis Panduan dan Piawaian Untuk Kajian Kematian dan Pengalaman Kematian yang Diingati.”, iaitu sebuah kenyataan konsensus pelbagai disiplin dan mencadangkan hala tuju untuk masa depan. Pasukan ini terdiri daripada penyelidik-penyelidik pelbagai disiplin perubatan, termasuklah neurosains, penjagaan kritikal, psikiatri, psikologi, sains sosial dan kemanusiaan, dan mewakili banyak institusi akademik terhormat di dunia termasuklah Universiti Harvard, Universiti Baylor, Universiti California Riverside, Universiti Virginia, Universiti Komanwel Virginia, Kolej Perubatan Wisconsin, dan Universiti-universiti Southampton dan London.

https://mobile.twitter.com/nyugsom_ccrs/with_replies
Kajian ini meneliti bukti saintifik yang terkumpul sehingga kini, dan para penyelidik membuat kesimpulan berikut :
1. Disebabkan penjagaan kritikal perubatan yang maju, ramai orang berjaya hidup setelah berhadapan dengan kematian. Mereka ini yang yang dianggarkan terdiri daripada ratusan juta orang di seluruh dunia berdasarkan kajian populasi sebelum ini, telah secara konsisten menerangkan pengalaman-pengalaman yang diingati ketika hampir dengan kematian, yang mana melibatkan satu set ingatan mental yang unik.
2. Pengalaman-pengalaman menghampiri kematian yang diingati tidak konsisten dengan halusinasi, ilusi atau pengalaman akibat dadah psychedelic, menurut beberapa kajian yang diterbitkan sebelum ini. Sebaliknya, mereka mengikuti arka naratif khusus yang melibatkan persepsi tentang: (a) pemisahan dari badan dengan kesedaran yang tinggi dan luas serta pengiktirafan kematian; (b) perjalanan ke destinasi; (c) kajian semula kehidupan yang bermakna dan bermatlamat, yang melibatkan analisis kritis terhadap semua tindakan, niat dan pemikiran terhadap orang lain; persepsi (d) berada di tempat yang terasa seperti “rumah,” dan (e) kembali ke kehidupan.
3. Pengalaman kematian memuncak kepada subtema berasingan yang tidak dikenal pasti sebelum ini dan dikaitkan dengan transformasi dan pertumbuhan psikologi jangka panjang yang positif.
4. Kajian yang menunjukkan kemunculan aktiviti gamma dan pancang elektrik — lazimnya merupakan tanda tahap kesedaran yang tinggi pada elektroensefalografi (EEG) — berhubung dengan kematian, menyokong lagi dakwaan berjuta-juta orang yang telah melaporkan mengalami kejernihan dan kesedaran yang tinggi berhubung kematian.
5. Pengalaman yang menakutkan atau menyedihkan berkaitan kematian selalunya tidak berkongsi hal yang sama, mahupun naratif yang sama, kualiti transenden, tidak dapat diungkapkan, dan kesan transformatif yang positif.
“Tangkapan jantung (Cardiac Arrest) bukanlah serangan jantung, tetapi mewakili peringkat akhir sesuatu penyakit atau peristiwa yang menyebabkan seseorang mati, ” jelas penulis utama Parnia. “Kemunculan resusitasi kardiopulmonari (CPR) menunjukkan kepada kita bahawa kematian bukanlah keadaan mutlak, sebaliknya, adalah proses yang berpotensi diterbalikkan (hidup kembali) pada sesetengah orang walaupun selepas proses itu bermula.
“Apa yang membolehkan kajian saintifik tentang kematian dilakukan, adalah sel-sel otak tidak rosak dalam beberapa minit selepas kekurangan oksigen apabila jantung berhenti. Sebaliknya, mereka ‘mati’ dalam beberapa jam. Keadaan ini membolehkan saintis untuk mengkaji secara objektif perihal kejadian fisiologi dan mental yang berlaku berhubung dengan kematian.”
Setakat ini, kata para penyelidik, bukti menunjukkan bahawa baik proses fisiologi mahupun kognitif tidak berakhir dengan kematian dan walaupun kajian sistematik tidak dapat membuktikan secara mutlak tentang realiti atau makna pengalaman dan dakwaan kesedaran pesakit berhubung kematian, namun hat tersebut tetap mustahil untuk dinafikan.
“Beberapa kajian telah meneroka apa yang berlaku apabila kita mati dengan cara yang objektif dan saintifik, tetapi penemuan ini menawarkan pandangan yang menarik tentang bagaimana kesedaran masih wujud dalam diri manusia ketika itu dan mungkin membuka jalan untuk penyelidikan lanjut,” tambah Parnia.
KESIMPULAN

Sebagai seorang Muslim yang mempercayai takdir-Nya, keadaan seperti ini tidak lain hanyalah tanda keagungan dan kekuasaan Allah dalam menentukan kehidupan dan pengakhiran seseorang. Adapun peristiwa ‘menghampiri kematian’ itu dilihat oleh para saintis bahawa mati tidak bersifat mutlak dan boleh diterbalikkan dengan keupayaan manusia dan teknologi canggih, perkara tersebut hanyalah kesimpulan oleh akal manusia yang terbatas dan tidak melihat kebenaran melalui kaca mata hamba-Nya. Biar beribu kajian dibuat untuk memahami kematian, hal tersebut tidak akan merubah ketetapan-Nya soal detik kematian setiap manusia. Oleh itu, kita tidak dituntut untuk berlebihan memikirkan kerja Allah, tetapi berusahalah memikirkan kerja kita untuk memulihkan keadaan tikamana detik akhir kematian tiba, apakah kita dijemput-Nya dalam golongan beriman dan diredhai-Nya ataupun sebaliknya.
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala (dunia) itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala (akhirat) itu, dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” – Surah Ali-Imran ayat 145.
Sumber :
Artikel diterjemahkan dan diolah daripada Sciencedaily.com,“Recalled experiences surrounding death : More than hallucinations?”
Jurnal kajian :
Sam Parnia, Stephen G. Post, Matthew T. Lee, Sonja Lyubomirsky, Tom P. Aufderheide, Charles D. Deakin, Bruce Greyson, Jeffrey Long, Anelly M. Gonzales, Elise L. Huppert, Analise Dickinson, Stephan Mayer, Briana Locicero, Jeff Levin, Anthony Bossis, Everett Worthington, Peter Fenwick, Tara Keshavarz Shirazi. Guidelines and standards for the study of death and recalled experiences of death––a multidisciplinary consensus statement and proposed future directions. Annals of the New York Academy of Sciences, 2022; DOI: 10.1111/nyas.14740