Setiap hari, manusia seluruh dunia akan menghasilkan sampah, baik dalam bentuk cecair, pepejal, bahan kimia, besi, radiasi, patogen atau dalam bentuk lain. Sekiranya tidak diurus dengan baik, sampah atau sisa buangan ini akan menjejaskan kehidupan manusia dalam aspek kesihatan dan keselesaan.
Pada bulan Mac lalu, ‘Global Waste Index 2022’ melaporkan bahawa telah berlaku perbezaan yang ketara pada jumlah penghasilan sisa buangan di Negara-negara dunia dan kaedah pengurusannya. Negara Turki menduduki tangga teratas sebagai negara yang persekitarannya mesra pengurusan sisa buangan. Manakala, USA dikatakan Negara yang paling banyak menghasilkan sisa buangan, lebih-lebih lagi di sepanjang fasa pandemik tetapi menghadapi risiko rendah dalam pencemaran kerana pengurusan sisa yang baik.

Pada tahun 2015, data pernah menunjukkan bahawa negara-negara yang memiliki masalah dalam pengurusan sampah-sampah terletak di kawasan Asia Timur dan Tenggara, terutamanya China dan Indonesia yang menduduki posisi kedua, di bawah China.
Di Malaysia, pada tahun lalu, angka tahunan penjanaan sampah menunjukkan sekitar 13 juta tan melibatkan pelbagai kategori sisa buangan.

Tahukah anda, setiap kategori sisa buangan itu mempunyai tahap bahaya masing-masing dan memberi mudarat besar kepada manusia apabila dibiarkan begitu sahaja. Mari kita lihat lima jenis sampah atau sisa buangan paling bahaya dalam dunia.
1. E-waste (Sisa Elektronik)
Sisa elektronik ialah komponen dan alat elektronik yang sudah rosak atau usang seperti televisyen, PC, penghawa dingin, mesin basuh dan peti sejuk.

Sisa elektronik dikategorikan sebagai sisa yang tersenarai dalam Jadual Pertama (First Schedule) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 bawah Kod SW110. Kod ini didefinisikan sebagai sisa buangan daripada alat elektronik yang mengandungi komponen-komponen seperti penumpuk (accumulators), suis merkuri, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif lain atau kapasitor bifenil terpoliklorin (polychlorinated biphenyl-capacitors) , atau tercemar dengan kadmium, merkuri, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan atau bifeni berklorin I (polychlorinated biphenyl). Kandungan kimia berbahaya dalam alat elektronik ini akan memberi ancaman kepada hidupan laut dan darat, terutamanya manusia sekiranya proses pelupusannya tidak diurus dengan baik dan mesra alam.
Berdasarkan kajian, data anggaran menunjukkan Malaysia bakal menghasilkan sebanyak 24.5 juta unit sisa elektronik menjelang tahun 2025.

2. Minyak Terpakai
Minyak terpakai merupakan sisa yang memberi ancaman paling serius kepada alam sekitar sehinggakan pelupusannya dikawal ketat oleh perundangan Poland dan Eropah.

Undang-undang Sisa 14 Disember 2012 mentakrifkan minyak terpakai sebagai sebarang minyak pelincir atau sintetik yang tidak lagi sesuai untuk tujuan asalnya, khususnya minyak terpakai untuk enjin pembakaran dalaman dan minyak gear, minyak pelincr, minyak turbin dan minyak hidraulik. Undang-undang ini melarang keras untuk pembuangan sisa minyak ke dalam air dan tanah. Kegagalan mematuhi undang-undang ini akan memberi ancaman kepada kesihatan dan kehidupan makhluk hidup serta mengakibatkan berlakunya degradasi tanah dan pencemaran.
Selain itu, minyak enjin lama yang terbakar di dalam dapur boleh membunuh penghuni rumah dengan pengudaraan yang rosak.
3. Plastik
Barangan plastik sepertinya sudah menjadi ‘darah daging’ rakyat Malaysia kerana kelebihannya yang tahan lama, kalis air, cantik dan murah menyebabkan barangan plastik sentiasa menjadi pilihan masyarakat dan membantu memudahkan banyak urusan harian. Hakikatnya, plastik merupakan musuh ‘senyap’ yang boleh ‘membunuh’.
Prof. Dr Mustafa Ali Mohd, Pakar Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pernah menerangkan perihal bahaya plastik kepada manusia dan alam sekitar.
Tiga bahan asas yang terkandung dalam pembuatan plastik iaitu phthalate, bisphenol A (BPA) dan polybrominated diphenyl ethers (PBDEs) serta bahan-bahan toksik lain yang dicampur akan mendedahkan manusia kepada bahaya apabila plastik ini dibuang dan terurai menjadi monomer. Antara bahaya yang bakal terjadi kepada manusia ialah berlakunya gangguan sistem badan, obesiti dan gangguan terhadap organ pembiakan. Bukan itu sahaja, sekiranya para ibu banyak terdedah kepada phthalate, bahan ini akan mengganggu proses pembentukan janin dalam kandungan dan kemungkinan lainnya ialah bayi tersebut akan mengalami gangguan organ pembiakan apabila besar.
Dalam satu kajian lain dilaporkan bahawa plastik juga berkait dengan kanser yang mana kesannya hanya dapat dilihat selepas 40 tahun. Kebarangkalian berlakunya peningkatan pesakit kanser mutakhir ini adalah disebabkan penggunaan plastik secara berleluasa dan berterusan sejak sekian lama.
Manakala, plastik yang terurai di dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik yang mencemari plankton dan tumbuhan laut. Setelah kedua-duanya dimakan oleh hidupan laut, maka akan berlakunya satu rantaian bahaya apabila bahan kimia ini memasuki badan ikan dan mengganggu sistem dalaman sehingga menyebabkan kematian. Kemudian, manusia yang memakan ikan tersebut turut akan diracuni dengan bahan kimia tersebut.

4. Bateri
Bateri mengandungi bahan kimia beracun dan memberi impak kepada alam sekitar. Pembuangan yang tidak betul akan menyebabkan toksik plumbum tersebar secara meluas di permukaan bumi. Sekiranya plumbum memasuki badan manusia, toksik ini akan menyingkirkan logam-logam lain yang berguna dalam tubuh manusia lalu menyebabkan mudarat tertentu, termasuklah menjejaskan pembentukan sel darah merah normal.

Selain itu, laporan Buletin Umum Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia memaklumkan bahawa plumbum yang tersebar boleh mengakibatkan kembung dan senak perut, sembelit, kurang selera makan, sakit kepala serta lesu. Mankala, kadmium di dalam bateri boleh merosakkan paru-paru, buah pinggang, tulang dan risiko penyakit kanser. Litium pula dikhabarkan mampu menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, muntah dan ketidaklancaran pertuturan serta kesukaran untuk berjalan. Sementara, raksa pula akan memudaratkan sistem saraf, buah pinggang, dan menimbulkan masalah kepada penglihatan, pendengaran dan hilang ingatan.
5. Racun Kimia

Racun kimia sudah menjadi alat kebiasaan dalam industri pertanian bagi memberikan kesan yang lebih cepat terhadap masalah yang dihadapi petani berbanding penggunaan racun organik biarpun kesannya memberi bahaya kepada manusia dan alam sekitar sekiranya diaplikasikan secara berlebihan dan tidak terkawal. Pelupusan racun kimia yang tidak betul akan menyebabkan sisa racun ini mengalir masuk ke punca air seperti sungai atau parit sehingga mengakibatkan pencemaran air bersih. Bukan itu sahaja, sekiranya sisa racun ini diserap oleh tanah, kandungan air bawah tanah akan tercemar dengan sisa kimia tersebut.
Dalam aspek gangguan makhluk hidup dan ekosistem yang lebih luas, curahan sisa racun kimia ini ke saluran pembuangan atau tong sampah akan memudaratkan apabila berlakunya proses peruapan bahan-bahan kimia tersebut ke udara dan tersebar ke serata tempat sehingga memasuki sistem dalaman makhluk hidup.

KESIMPULAN
Setiap sisa berbahaya ini telah ditetapkan kaedah pelupusannya yang benar dan perlu dipatuhi oleh semua manusia. Kegagalan mematuhi ketetapan kaedah tersebut akan memberi mudarat kepada seluruh ekosistem dunia kerana rantaian yang bakal berlaku. Lebih-lebih lagi, terdapat banyak sisa toksik terhasil daripada pelbagai aktiviti manusia seperti pengilangan, perkebunan, sistem pembaikan air, pembinaan, automotif, makmal-makmal, hospital-hospital dan pelbagai industri lain. Sekiranya sisa-sisa ini dibuang ke tanah, di dalam sungai, atau dibiarkan terserap ke udara, semua hidupan di dunia akan terkesan dan masalah-masalah tentang pencemaran, konflik kesihatan dan lain-lain akan berlanjutan sehingga bertahun lamanya.
Oleh itu, kenali jenis-jenis sampah atau sisa buangan sebaiknya supaya kita tidak sewenang-wenangnya memukul rata semua sampah adalah sama dan boleh dibuang di merata-rata. Sekiranya berlaku pelbagai penyakit di dunia, sedarilah bawah kegagalan kita mengurus pelupusan sisa-sisa buangan ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit-penyakit tersebut.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)
RUJUKAN
1. https://ewaste.doe.gov.my/index.php/what-is-e-waste/
2. https://www.recycling-magazine.com/2022/03/17/global-waste-index-2022-released/
3. https://dpu.kulonprogokab.go.id/detil/77/produksi-sampah-dunia
4. https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732770/14-juta-tan-sampah-pada-2022
6. https://www.nationalgeographic.com/environment/article/toxic-waste
7. https://www.hmetro.com.my/sihat/2018/12/399888/bahaya-plastik-terhadap-kehidupan
8. https://ukkp.usm.my/index.php/maklumat-kkp/petikan-berita/85-bateri-mampu-undang-malapetaka-dahsyat