Kenali Al-Battani a.k.a Albategnius, penyumbang besar ilmu astronomi dan trigonometri

Apabila menyebut nama Al-Battani, hanya segelintir sahaja yang kenal dan mengkagumi sosok ini. Tetapi, lain pula keadaannya apabila disebut nama Copernicus, Newton dan Galilie Galileo.

Sayang sekali apabila kita tidak mengenali sosok hebat dan genius Islam ini untuk dijadikan inspirasi dan tauladan.

Siapa Al-Battani?

Siapa Al-Battani

Al-Battani ialah seorang ahli astronomi dan ahli matematik Muslim yang hebat dan dikenali para intelektual dunia kerana sumbangannya yang luar biasa dalam kedua-dua bidang.

Nama penuh Al-Battani ialah Mohammed ibn Jabir ibn Sinan Al-Harrani Al-Battani. Beliau dilahirkan pada tahun 858 M di Harran berhampiran dengan Urfa yang mana sekarang namanya Turki. Beliau telah tinggal dan bekerja di Al-Raqqah, iaitu sebuah bandar di Syria. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 929 M di Qasr Al-Jiss, Iraq.

Beliau merupakan anak kepada Jabir ibn Sinan al-Harrani yang juga merupakan seorang saintis terkemuka Islam. Jabir mempunyai kemahiran membuat alatan astronomi dan kemahiran ini turut diwarisi oleh Al-Battani.

Menurut riwayat masyhur, Al-Battani mula mempelajari dan mendalami bidang astronomi ketika beliau di kota Al-Raqqah sehingga beliau bergelar sarjana di bawah pemerintahan Harun al-Rashid, khalifah kelima zaman Abbasiyah, bersama-sama dengan cendekiawan-cendekiawan Islam yang lain kerana era tersebut merupakan era kegemilangan intelektual Islam. Lebih 40 tahun lamanya, beliau bekerja dan mengkaji tanpa jemu. Malah, beliau juga telah menghasilkan buku-buku bagi menceritakan hasil penemuan beliau dalam bidang astronomi dan matematik, selain membetulkan kajian Ptolemy tentang bulan dan bintang.

Sumber foto : Sinar Harian

Dalam sebuah buku yang dikumpulkan karya-karya Arab oleh Ibn An-Nadim, iaitu The Fihrist, Al-Battani telah digambarkan dengan kata-kata berikut :

“Battani merupakan seorang pengkaji yang terkenal dan bapa geometri, ilmu teori dan praktikal dalam astronomi, dan astrologi. Beliau telah menghasilkan kerja-kerja astronomi dengan jadual-jadual yang mengandungi hasil pencerapannya sendiri tentang matahari dan bulan, malah penerangannya itu lebih tepat daripada hasil kerja Ptolemy dalam ‘Almagest’. Dalam jadual tersebut juga, beliau telah menunjukkan pergerakan lima planet, dengan pencerapan yang ditambah baik, dan juga membuat penambahbaikan dalam beberapa pengiraan astronomi. Sebahagian daripada pencerapannya telah disebut dalam bukunya. Tiada siapa lagi dalam kalangan orang Islam yang pernah menghampiri kesempurnaan seperti beliau dalam mencerap bintang-bintang dan meneliti pergerakan-pergerakannya. Selain itu, Battani telah menunjukkan minat dalam bidang astrologi, yang kemudiannya membawa kepada beberapa sumbangan beliau dalam bidang tersebut. Menurut beberapa gubahannya dalam bidang ini, saya telah menyebut ulasan-ulasan yang dibuat oleh beliau tentang Tetrabiblos yang dihasilkan oleh Ptolemy.”

The Fihrist

Sumbangannya dalam Astronomi

Kepakarannya dalam bidang ini telah menyebabkan Al-Battani mendapat julukan “Ptolemy Arab”, iaitu menyamai Claudius Ptolemaeus, cendekiawan yang hidup pada abad kedua Masihi dan juga menembusi kemasyhuran dalam bidang Astronomi.

Menariknya lagi, seperti yang telah disebutkan di atas, Al-Battani telah membetulkan hasil kajian Claudius Ptolemaeus setelah beliau mengkaji buku Ptolemaeus atau Ptolemy, iaitu ‘Almagest’.

Berikut merupakan sumbangan masyhur beliau dalam bidang astronomi.

  1. Al-Battani membetulkan pengiraan Ptolemy tentang bilangan sebenar tahun suria iaitu pengiraan masa bumi mengelilingi matahari dan mendapati tahun suria berjumlah 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Manakala, kiraan Ptolemy mendapati tahun suria ialah 365 hari, 5 jam, 55 minit, dan 12 saat. 

Berbanding kiraan moden tahun suria yang diambil sebagai kiraan sebenar adalah berjumlah 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 22 saat, maka, kiraan al-Battani adalah lebih tepat dan menghampiri kiraan sebenar ini. Malah, kiraan Copernicus beberapa abad kemudian masih tidak dapat pengiraan yang lebih tepat sebegini.

Oleh itu, Copernicus telah meluahkan kekagumannya kepada al-Battani menerusi bukunya ‘De Revolutionibus Orbium Clestium’.

  1. Al-Battani membaiki catatan Ptolemy mengenai lencongan pergerakan matahari dalam jadualnya mengenai matahari dan bulan yang membuktikan bahawa arah matahari itu berubah.
  1. Al-Battani mengkatalogkan 489 bintang, mengetahui bahawa pergerakan planet-planet adalah berbeza antara satu sama lain, serta berjaya menganggar waktu berlakunya gerhana dan fenomena parallax.
  1. Al-Battani telah mengemukakan kaedah pengukuran bintang di cakerawala menggunakan garis lengkuk berdasarkan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemuinya dan didapati lebih tepat dan praktikal daripada kaedah yang digunakan oleh saintis Yunani iaitu menggunakan tali.
  1. Al-Battani menghitung kembali nilai-nilai untuk presesi ekuinoks (54,5″ per tahun, atau 1° dalam 66 tahun) dan arah miring dari ekliptika (23° 35′), yang merupakan penjabaran dari Hipparchus.

Sumbangannya dalam Matematik

Dalam cerapan dan penemuan astronomi Al-Battani, beliau telah mengasaskan satu cabang matematik secara tidak langsung bagi membuat pengiraan yang tepat berkaitan peristiwa alam semesta.

Al-Battani telah mengasaskan ilmu trigonometri dengan takrifan tan(x) = sin(x) / kos(x) dan menerbitkan rumus berikut :

sin(x) = tan(x) / ((tan^2)(x) + 1)

Selain itu, beliau menjadi orang pertama yang menyusun jadual tangen bagi mencerap peristiwa matahari tergelincir di ufuk dan waktu rembang.

Battani menjadi Albategnius (peraliran pemikiran Battani ke Eropah)

Kerja-kerjanya ini telah ditulis dalam Kitab al-Zij yang mengandungi 57 bab keseluruhannya.

Pada kurun ke-12, kitab ini diterjemahkan ke bahasa latin oleh Plato Tiburtinus dengan tajuk terjemahannya ialah ‘De scientia stellarum’ dan memperkenalkan kalimah sinus pertama kalinya di Eropah.

Kemudian, sekali lagi pemindahan ilmu Al-Battani ke Eropah berlaku pada kurun ke-15 oleh Rogiomontanus menerusi karya adaptasinya bertajuk ‘De triangulis omnimodis’  yang menyebabkan Eropah mendakwa bahawa beliaulah pengasas sebenar trigonometri.

Perkembangan ilmu ini terus terlaksana dan mempengaruhi ilmuwan Kristian dan Yahudi Eropah abad pertengahan seperti Robertus Cestrensis (Retinensis) yang membuat jadual pergerakan angkasa untuk meridian di London pada tahun 1150. Selain itu, antara tokoh besar lain dari Eropah yang mengkagumi penemuan Battani ialah Albertus Magnus, Alphonso X, Nicolas Cusanus, Copernicus dan Tycho Brahe.

Kesimpulan

Penemuan-penemuan beliau ini telah menjadi asas kepada kajian-kajian besar selepas itu dan menghasilkan ilmu-ilmu baru antaranya seperti kaedah penghampiran secara interpolasi berangka bagi menyelesaikan persamaan aljabar (algebra) yang sukar diselesaikan secara analisis. Selain itu, ilmu geometri dikembangkan dan hukum logaritma diterbitkan.

Dalam aspek aplikasi kehidupan, kiraan-kiraan dan penemuan ini membantu manusia menentukan ketepatan dalam banyak ilmu dan kemahiran seperti ilmu pelayaran dan ilmu falak bagi umat Islam menentukan arah kiblat dan waktu solat dengan tepat. Kini, ilmu ini terus menjadi asas pengetahuan bidang-bidang industri dan dunia kajian akademia.

RUJUKAN

  1. “Al-Battani Contributions in Astronomy and Mathematics” chapter in book of IIUM Press, “Contributions of Early Muslim Scientists to Engineering Studies and Related Sciences.”
  2. Buku “Bicarawara Sains Islam” oleh Mat Rofa Ismail.
  3. Buku “Sumbangan Karya Sains Hebat Islam Abad Pertengahan” karya Diyan Yulianto & M.S. Rohman.
  4. Artikel “Tokoh Falak” di pautan, https://apadilangit.com/tokoh-falak/
  5. Artikel “Kenali Al-Battani, Individu Penting dan Cendekiawan Islam yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun” di pautan, https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/personaliti/kenali-al-battani-individu-penting-dan-cendekiawan-islam-yang-menemui-fakta-365-hari-setahun/
  6. Artikel Sains dan Teknologi di pautan, http://istinteam.blogspot.com/p/al-battani.html
  7. “Al-Battani” di pautan, https://islamstory.com/en/artical/3408738/Al-Battani-(Albategnius)
  8. “Abu Abdallah Mohammad ibn Jabir Al-Battani” di pautan, https://mathshistory.st-andrews.ac.uk/Biographies/Al-Battani/
Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts