Al-Quran telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W menerusi Malaikat Jibril a.s sebagai panduan utama kehidupan.
Mukjizat agung ini terkandungnya petunjuk (huda), nasihat (mauizhah), dan sumber informasi (al-bayan). Keasliannya kekal terpelihara sejak awal permulaannya diturunkan sehinggalah masa akan datang. Isi kandungannya menjadi sumber inspirasi ilmu untuk dihafal, ditulis, dan dikaji sehingga menjadi kunci pengetahuan kepada rahsia-rahsia alam yang berada di dalam ruang bumi dan di luar ruang bumi. Hasil kajian maklumat-maklumatnya menatijahkan kemajuan dan peradaban di zaman dahulu sehinggalah kini merentasi benua seluruh dunia.
Al-Quran Sumber Peradaban
Sepertimana yang disebutkan oleh Profesor Sayyid Husain Nasr bahawa Al-Quran merupakan sumber peradaban. Dengan semangat al-Quran, umat Islam merintis peradaban besar yang kemudiannya disumbangkan kepada peradaban dunia.
Namun, kenyataan ini tidaklah bererti al-Quran itu mengandungi ilmu khusus seperti teori-teori sains dan formula-formula matematik, tetapi al-Quran mengajar prinsip-prinsip dasar tentang ilmu pengetahuan dan peradaban yang menginspirasikan dan memotivasikan pada cendekiawan untuk terus berfikir, meneliti, mencari, dan menggali maklumat-maklumat dengan lebih mendalam. Tetapi, kata kuncinya yang utama telah diperkenalkan oleh Allah dalam kalam-kalam-Nya yang agung itu, yakni al-Quran.
Merujuk hal di atas, maka, maklumat asas tentang ilmu hitungan adalah tidak terkecuali. Ayat-ayat implisit Allah mengenai hitungan menginspirasikan manusia untuk mendalami ilmu ini sehingga terlahirnya sebuah ilmu matematik yang terkandung bawahnya banyak ilmu melibatkan hitungan.
Antaranya dapat dilihat dalam ayat kelima surah Yunus, yang bermaksud :
“Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang yang mengetahui.”
Dalam aspek bilangan, menurut kajian Muhammad Mas’ud, al-Quran telah menyebut 38 bentuk bilangan yang tersebar dalam beberapa surah dan ayat yang mana terdiri daripada beberapa bentuk pecahan dan angka bulat positif.
Kajian Bilangan dalam al-Quran
Kajian bilangan dalam al-Quran dikatakan satu dimensi baru bagi manusia memahami ayat-ayat Allah dengan lebih tepat dan terperinci. Sehinggakan unsur bilangan menjadi salah satu aspek yang dibahaskan dalam kajian kemukjizatan al-Quran iaitu kemukjizatan bilangan (i’jaz al’adadi).
Kajian ini telah bermula sejak abad ke-5 hijrah sehinggalah kini. Tetapi, dapatan kajian sering menimbulkan perdebatan kerana para penulis atau pengkaji akan menyesuaikan kajiannya dengan latar belakang kajian dan kepakaran masing-masing. Sungguhpun begitu, matlamatnya masih sama iaitu bagi menyerlahkan lagi tanda kemukjizatan al-Quran.
Satu tinjauan literatur tentang kajian-kajian mengenai kajian bilangan dalam al-Quran telah dibuat oleh beberapa pengkaji yang mana hasilnya telah diterbitkan dalam satu jurnal antarabangsa pada tahun 2021. Menurut dapatan mereka, beberapa bentuk penemuan dapatan kajian mukjizat bilangan dan kajian bilangan yang telah dilakukan oleh para pengkaji lalu dikategorikan kepada lima perkara.
- Bilangan huruf, bilangan dan susunan surah dan ayat al-Quran.
- Kalimah-kalimah yang berulang dalam al-Quran.
- Nombor-nombor pilihan dalam al-Quran
- Huruf-huruf pembukaan (fawatih) surah
- Bilangan dan nombor dalam al-Quran dan hubungannya dengan perkara luar.
Untuk penulisan ini, tidak akan menyentuh dan menerang dengan terperinci untuk setiap satu bentuk di atas, tetapi hanyalah ingin menyenaraikan 38 angka yang tercatat dalam al-Quran.
38 Angka Dalam al-Quran
Menurut kajian Muhammad Masu’d, 38 angka dalam al-Quran dikelompokkan kepada tujuh.
- Angka pecahan, jumlahnya 8 angka dalam al-Quran : ½, ?, ¼,?, ?, ?, 110
- Angka satu angka, jumlahnya 9 angka dalam al-Quran : 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9
- Angka tersusun (murakkab) dari dua angka, jumlahnya 12 angka dalam al-Quran : 10, 11, 12, 19, 20, 30, 40, 50, 60, 70, 80, 99
- Angka tersusun (murakkab) dari tiga angka, jumlahnya 3 angka dalam al-Quran :100, 200, 300
- Angka tersusun (murakkab) dari empat angka, jumlahnya 4 angka dalam al-Quran : 1000, 2000, 3000, 5000
- Angka tersusun (murakkab) dari lima angka, jumlahnya 1 angka dalam al-Quran : 50000
- Angka tersusun (murakkab) dari enam angka, jumlahnya 1 angka dalam al-Quran : 100000
Berikut jadual terperinci tentang hasil penelitian yang dikemukakan.
Setiap sebutan nombor ini mempunyai maksud tersurat menunjukkan tujuan tertentu yang berkait rapat dengan hukum ketetapan Allah S.W.T dalam urusan kehidupan manusia. Dan secara tersirat menjadi asas maklumat kepada ilmu-ilmu hitungan lain termasuklah yang melibatkan operasi tambah, tolak, darab, dan bahagi sepertimana terkandung dalam beberapa firman Allah.
Tambah
Terdapat lima ayat Allah yang mengandungi operasi tambah, antaranya ayat 196 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud :
“...tetapi jika ia tidak menemukan (binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari (lagi) apabila kamu telah pulang kembali…”
Ayat ini menjelaskan tentang denda ibadah haji dan umrah yang memerlukan kepada sepuluh hari berpuasa iaitu tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari apabila telah kembali, bagi mereka yang tidak dapat menemukan haiwan.
Tolak
Terdapat tiga ayat Allah yang perlu difahami dengan asas pengetahuan dengan konsep tolak, iaitu antaranya ayat 14 dalam surah al-Ankabut, yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.”
Maka, 1000 tahun – 50 tahun = 950 tahun.
Usia Nabi Nuh ialah 950 tahun.
Darab
Dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :
“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa butir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus butir.”
Maka, 1biji x 7 tangkai x 100 biji = 700 biji.
Bahagi
Dalam surah al-Anfal ayat 65 yang bermaksud :
“Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.”
Maka, 20 bahagi 200, pembilangnya disederhanakan menjadi 1/10, atau dalam erti kata lain 1:10.
Kesimpulan
Demikianlah Al-Quran yang merupakan kitab utama, menjadi sumber ilmu kepada manusia dalam segenap hal kehidupan.
Keajaibannya akan terus mengagumkan para pengkaji dan peneliti al-Quran baik orang Islam, mahupun orang bukan Islam.
Adapun begitu, adalah penting untuk kita menggali ilmu yang telah dimuat dalam al-Quran dengan penuh adab dan disiplin. Adalah dilarang sama sekali untuk kita membuat tilikan dan andaian tanpa perbahasan kerangka ilmu yang benar dan tepat, apatah lagi mengaitkan kandungan al-Quran dengan sesuatu peristiwa yang di luar ilmunya. Dapatan yang hanyalah demi mendapat pengaruh dan keuntungan dunia semata-mata merupakan tindakan yang hina.
Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA sabda Baginda S.A.W yang bermaksud :
“Dan barang siapa yang menyebut (sesuatu) berkenaan al-Quran dengan pendapatnya sendiri, maka sedialah tempatnya di dalam neraka” (Riwayat al-Tarmizi : 3205)
Semoga kita sentiasa menjadi manusia yang berdisiplin dan beradab dalam menuntut ilmu, terutamanya ilmu al-Quran.
Rujukan :
- Jurnal at-Taqaddum (2011) “Makna Bilangan Angka Dalam Al-Quran” oleh Iing Misbahuddin.
- Jurnal Studi Al-Quran dan Al-Hadis (2019) “Al-Quran dan Rahsia Angka : Kajian Kitab Tafsir Karya Abu Zahra al-Najdi” oleh Muhammad Akrom Adabi.
- Jurnal Antarabangsa Pengajian Peradaban dan Sains Manusia BITARA (2021) “Tinjauan Literatur Kajian Bilangan dalam al-Quran : Satu Tinjauan Umum” oleh Intan Nor Syahira Ahmad dan Md Nor Abdullah.
- Irsyad al-Fatwa Siri ke-487 “Hukum Mengaitkan Ayat Al-Quran Berdasarkan Angka Dengan Sesuatu Kejadian”, di pautan :