Bila disebut tentang pengajian peringkat Doktor Falsafah, pasti ramai yang kagum, dan mungkin juga takut.
“Gayat sebab tinggi sangat!”, katanya.
Mungkin juga ada yang terus membayangkan gambaran seorang lelaki sedikit botak atau mungkin bagi wanita seorang yang tidak berhias, berkaca mata, pendiam, dan ditemani buku-buku. Mungkinlah ada.
Hal ini kerana pengajian Doktor Falsafah ini dirasakan satu perjalanan yang sukar dan payah, yang mungkin mengambil masa yang lama. Masalah kewangan dan kesihatan, terutamanya melibatkan mental pasti akan melanda para penuntut. Tidak calang-calang orang yang boleh menempuhinya.
Namun, situasi ini tidak sepenuhnya tepat dan tidak wajar dijadikan perkara yang menakutkan kita. Hakikatnya, setiap pekerjaan mempunyai budaya kerjanya tertentu dan memerlukan kepada pengorbanan.
Saya nak kongsi satu kajian tentang aspek positif dalam pengajian Doktor Falsafah yang telah dijalankan oleh sekumpulan pengkaji Eropah.
Kajian Terbaru
Memandangkan masyarakat terlalu pandang negatif terhadap pengajian peringkat Doktor Falsafah ini, maka sekumpulan pengkaji yang sedang bekerja di Eropah cuba membuat satu analisa terhadap 90,000 ciapan di laman ‘twitter’ tentang pengalaman mereka yang berjaya mengambil sijil tertinggi ini.
Menurut dapatan mereka, hampir separuh daripada ciapan-ciapan itu mengatakan hal positif mengenai pengalaman mereka bergelar pelajar sarjana Doktor Falsafah. Manakala, hanya sedikit sahaja yang menciap pandangan yang negatif. Tetapi, sayangnya ciapan-ciapan berbaur negatif itu lebih mendapat banyak ‘like’ dan ‘retweet’ daripada warga net. Keadaan ini secara tidak langsung telah memberi informasi yang salah apabila kenyataan-kenyataan negatif ini lebih disebarluaskan dan seterusnya mempengaruhi para pembaca yang lain.
Kemudian, para pengkaji ini telah berkongsi tiga manfaat utama dalam pengajian Doktor Falsafah.
- Membina diri menjadi ‘expert’
- Membina keupayaan diri bekerja dalam persekitaran kolaboratif
- Meningkatkan skil komunikasi
Menjadi seorang ‘expert’
Sepanjang fasa menyiapkan projek kajian, para pelajar akan membina pelbagai skil sebagai seorang penyelidik yang berdikari, termasuklah membina pemikiran kritis, disiplin dan tersusun, daya tahan tinggi, dan keupayaan membentuk serta mengetuai projek dengan jayanya. Ditambah pula dengan masa sepenuhnya yang fleksibel dapat diperuntukkan untuk menjalankan kajian atau projek dengan sebaiknya, dan kebebasan ini menjadikan pengalaman seseorang itu lebih unik.
Bukan itu sahaja, perjalanan menyempurnakan kajian ini memerlukan kepada banyak langkah untuk mencapai kejayaan. Seperti menguasai pelbagai teknik, melengkapkan siri kajian atau aktiviti lapangan, dan menyiapkan rangka awal manuskrip. Maka, perasaan menjalani kesemua perkara ini perlu menjadi satu kebanggaan oleh para pelajar akan keupayaan diri keluar daripada kepompong hidup yang santai dan alpa.
Bekerja dalam persekitaran kolaboratif
Dalam proses menyempurnakan sijil Doktor Falsafah, bekerja bersama pengkaji-pengkaji lain adalah sangat penting. Hubungan bekerjasama ini perlu dijaga dengan baik. Terutama sekali hubungan bersama penyelia kerana hubungan yang baik bersama penyelia menjadi faktor utama kejayaan seseorang dalam meraih pengalaman dan kejayaan kehidupan sebagai seorang penuntut PhD.
Dalam beberapa keadaan, kebanyakan pelajar PhD berpeluang untuk berkolaborasi bersama rakan-rakan kajian dalam makmal dan kumpulan yang sama, atau mungkin bersama dengan pengkaji-pengkaji daripada komuniti yang lebih luas.
Bekerja bersama projek-projek atau kajian-kajian lain akan membantu pelajar untuk mengaplikasikan dapatan-dapatan tersebut dalam projek sendiri, malah meningkatkan lagi produktiviti dan kreativiti pelajar itu. Malah, pelajar mungkin berpeluang menempa nama sebagai penulis bersama dalam kertas-kertas kajian milik pengkaji lain, ditambah pula dengan menyelia pelajar ijazah sarjana muda, akan meningkatkan lagi skil pengurusan dan ilmu pelajar PhD tersebut.
Selain itu, konferens dan seminar menjadi kaedah lain untuk para pelajar berinteraksi bersama para pengkaji lain. Melalui medium ini, mereka berpeluang untuk menemui dapatan baru, membincangkan dapatan-dapatan tersebut, dan terinspirasi oleh para saintis lain. Malah, kajian-kajian baru mungkin tercetus hasil daripada perbincangan tersebut.
Kolaborasi bukan hanya dapat dilakukan secara fizikal. Era teknologi kini, pelbagai medium tersedia secara maya, seperti ‘Global PhD Server’ yang membolehkan para pelajar berbincang, bertukar pendapat, dan meminta bantuan. Selain itu, ‘@PhDForum’ membantu dalam meningkatkan skil pelajar mengendalikan penulisan dan ‘Stack Overflow’ membantu dalam perkara kod dan statistik.
Pembinaan Skil Komunikasi
Bagi seorang penuntut PhD, komunikasi adalah sangat penting untuk memastikan kajiannya selari dengan objektif.
Pembentangan, perbincangan, dan perbahasan dua hala adalah aktiviti yang sinonim bagi menjayakan projek. Malah, perkongsian-perkongsian dapatan hasil kajian turut akan dilaksanakan sebagai perkongsian tentang bidang tertentu dan menyumbangkan dapatan tersebut untuk kegunaan industri serta mendidik masyarakat.
Setiap perkara ini akan melatih para penuntut Doktor Falsafah untuk lebih berani mengekspresikan pandangan, bijak menyusun kata bersesuaian dengan demografi pendengar, dan secara tidak langsung meningkatkan skil komunikasi mereka.
Peratusan pelajar PhD Malaysia
Menerusi Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025, Malaysia komited untuk mencapai sasaran 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang tahun 2023 dengan inisiatif kerajaan menawarkan geran penyelidikan dan tajaan kepada para penuntut.
Pada tahun 2017, seramai 22,343 pemegang PhD warganegara dari IPT dalam negara telah berjaya dilahirkan.
Pada awal tahun 2022, Majlis Profesor Negara memaklumkan bahawa setakat ini, hanya 28,000 graduan Doktor Falsafah yang berjaya dilahirkan.
Kesimpulan
Daripada peratusan di atas, sasaran 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah mungkin masih memerlukan masa untuk dicapai. Tambahan pula dengan keadaan semasa yang menekan dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek kewangan. Hal ini memperlihatkan kepada kita bahawa semakin berkurangnya minat anak muda untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Walaubagaimanapun, perjalanan kehidupan kita masih panjang. Dan menuntut ilmu itu merupakan tugas hakiki, biarpun dalam bentuk formal ataupun tidak formal.
Tetapi, sistem negara kini memerlukan pakar dalam bidang-bidang tertentu dan hal ini memerlukan kita untuk menempuh sistem yang formal demi meraih kepercayaan dan lesen kepakaran itu. Mungkin kita boleh ‘bermimpi’ untuk menjadi salah seorang daripada 60,000 orang itu.
Kata orang, “Mimpi itukan percuma”.
Oleh itu, biarpun usia semakin tua, jangan pernah padamkan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mungkin bukan sekarang masanya. Mungkin beberapa tahun hadapan adalah detiknya.
Buat masa ini, kita betulkan dahulu pandangan negatif kita terhadap kehidupan seorang penuntut Doktor Falsafah dan tanam azam untuk menempuh juga hidup sedemikian demi membantu menyelesaikan masalah umat yang kian berleluasa sekarang.
InsyaAllah, dengan azam dan niat yang betul, masa kita akan tiba suatu hari nanti.
Sumber utama :
Artikel “Research Culture : Highlighting the Positive Aspects of Being a PhD Student”, di pautan https://elifesciences.org/articles/81075
Rujukan lain :
- “Sasar 60,000 pemegang PhD menjelang 2023”, di pautan https://elifesciences.org/articles/81075
- “Universiti mampu keluar 1,500 graduan PhD setahun-MPN”, di pautan https://malaysiagazette.com/2022/01/20/universiti-mampu-keluar-1500-graduan-phd-setahun-mpn/