Pada tanggal 26 September 2022, dunia Islam diselubungi kedukaan berhubung pemergian seorang ulama’ tersohor, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang akhirnya menemui Sang Kekasih Abadi pada umurnya 96 tahun.
Sumbangan dan jasanya cukup besar dan luar biasa untuk kehidupan umat manusia. sehinggakan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah disenaraikan antara 500 Muslim yang paling berpengaruh di seluruh dunia.
Kehebatan beliau ini adalah disebabkan terapan roh Islam ke dalam dirinya sedari kecil dan semangatnya membawa kebenaran Islam yang terus membara sepanjang kehidupannya. Hal ini kerana suasana keluarganya dan persekitaran tempat tinggalnya yang sangat mementingkan ilmu agama telah berjaya membentuk peribadi dan aspirasi Islam yang begitu utuh dalam diri beliau.
Subhanallah!
Waktu kecil Syeikh
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, atau nama sebenarnya ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf, telah dilahirkan pada 9 September 1926 di sebuah perkampungan Desa Shafat at-Turab, Mesir. Beliau hidup dalam sebuah keluarga yang sederhana hartanya, tetapi kaya ilmu agamanya. Ayah beliau merupakan seorang petani. Manakala, ibunya merupakan seorang peniaga.
Namun, nikmat mempunyai ibu dan ayah tidak dirasai lama apabila ayah beliau dijemput Ilahi ketika beliau berumur dua tahun. Kemudian, ibunya pula pergi ke Negara Abadi ketika beliau berumur lima belas tahun. Setelah itu, beliau telah dipelihara oleh bapa saudaranya.
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah didedahkan dengan pendidikan agama ketika beliau berumur lima tahun. Sebelum usianya mencecah 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal semua ayat suci al-Quran dan kitab al-Tuhfat, serta menguasai ilmu tajwid dengan baik. Kerana kebolehannya ini, beliau telah digelar sebagai ‘Syeikh Yusuf’ ketika berumur 10 tahun lagi dan diberi kepercayaan oleh masyarakat untuk menjadi imam.
Perjalanan Pengajian Syeikh
Setelah Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menamatkan pengajian peringkat menengah di Maahad Rendah Tanta dan Madrasah Thanawiyah dengan pencapaian yang sangat cemerlang, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti al-Azhar, Mesir dalam kuliah Usuluddin dan terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan.
Kemudian, beliau teruskan jihad pengajiannya dalam pengkhususan di Fakulti Bahasa Arab sehingga memperolehi Ijazah Sarjana dan Diploma Pendidikan dengan pangkat kelas pertama.
Selain itu, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi juga memperolehi Diploma Bahasa Arab dan Sastera daripada Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi.
Pada tahun 1960, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadis.
Pengajian beliau tidak terhenti di situ apabila penangguhan 13 tahun pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah dek kegawatan politik Mesir ketika itu membuahkan hasil akhirnya apabila beliau berjaya meraih ijazah Doktor Falsafah dengan kepujian pada tahun 1973 melalui tesisnya yang bertajuk Fiqh al-Zakat, yang menjadi rujukan dalam perihal zakat oleh seantero dunia.
Sosok Sarjana Umat Islam
Pada tahun 2013, satu jurnal tentang sumbangan pemikiran Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah ditulis oleh Tuan Zulkifli Hasan daripada Universiti Sains Islam Malaysia. Daripada hasil dapatan kajian kualitatif beliau, saya cuba ringkaskan untuk bacaan kita semua.
Ulama’ rakyat
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sering memperuntukkan masanya untuk aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Dalam hal mendidik masyarakat dengan ilmu agama, beliau berperanan sebagai penyampai kuliah dan khutbah di masjid, menjadi imam, menjadi pengetua Maahad Agama, dan pengasas kuliah pendidikan dan pengajian Islam di universiti.

Ilmuan Hebat
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menguasai pelbagai cabang keilmuan Islam terutamanya dalam bidang sosial, dakwah dan pengajian Islam.
Beliau telah melahirkan lebih daripada 100 buah buku dalam bidang-bidang tersebut untuk rujukan umat manusia. Pernah diceritakan bahawa beliau sering memanfaatkan sehingga 14 jam sehari untuk menelaah ilmu dan menulis di perpustakaan rumahnya. Setiap penulisannya itu berkualiti tinggi dan mendapat perhatian ilmuan di seluruh Negara sehinggakan hampir kesemua karyanya telah diterjemah ke bahasa-bahasa lain.

Antara bidang pengkhususan bagi karya beliau ialah fiqh dan usul fiqh, ekonomi Islam, pemahaman al-Quran dan al-Hadith, gerakan Islam dan Tauhid.
Antara buku-buku tulisan beliau yang hampir kesemuanya telah diterjemah ialah;
- Fiqh Zakat,
- Fiqh Memahami keutamaan,
- Bagaimana Berinteraksi dengan al sunnah,
- Fiqh Kenegaraan,
- Harakah Islamiyyah Satu Tuntutan,
- Kritik dan Saran Untuk para Da’i,
- Pasang Surut Gerakan Islam,
- Detik-Detik masa dalam Kehidupan Muslim,
- Gejala Kafir Mengkafir,
- Di Manakah Kepincangan Umat,
- Ibadah dalam Islam,
- Membangunkan Ummah Suatu Kenyataan bukan Khayalan,
- Kebangkitan Gerakan Islam dari Masa Transisi Menuju Kematangan,
- Agama dan Politik,
- Rukun Dakwah Ikhwanul Muslimun
Dan banyak lagi.
Malah, beliau juga banyak membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pendakwah dan Tokoh Gerakan
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah melibatkan diri dengan gerakan Ikhwanul Muslimin sejak di peringkat sekolah menengah. Sepanjang penglibatannya dalam gerakan ini, beliau telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ancaman termasuklah ancaman bunuh.
Beliau pernah dipenjarakan beberapa kali;
- Pada tahun 1949, Ikhwanul Muslimin dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri Mesir.
- Pada tahun 1954, berlaku perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Naguib.
- Pada tahun 1956, berlaku perselisihan Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Jamal Abdul Nasser.
Selain itu, beliau pernah didera dan diseksa sehingga kesannya mempengaruhi kesihatan beliau setelah itu.
(Boleh rujuk penulisan di pautan ini untuk mendapatkan gambaran bagaimana seksaan yang dikenakan kepada Syeikh dan rakan-rakan Ikhwanul Muslimin dalam tahanan.
http://muhannadjamil.blogspot.com/2011/06/kenangan-di-penjara-dr-yusuf-al.html )
Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak menggentarkan jiwa dan mematahkan semangat berjuang beliau dalam membawa kebenaran Islam. Buktinya, beliau menyatakan impiannya untuk mati syahid di tangan musuh Islam, dalam satu wawancara beliau bersama al-Jazeera. Allahu rabbi!
Dalam aspek dakwah, beliau begitu komited dengan pelbagai inisiatif dakwah di lapangan dan media.
Program televisyen beliau dikatakan mendapat sambutan jutaan umat di seluruh dunia. Selain itu, beliau telah mengasaskan laman sesawang ‘Islam Online’ untuk gerak kerja dakwahnya.
Pengiktirafan Dunia
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah menyandang beberapa jawatan di peringkat lokal mahupun dunia, antaranya;
- Penyelia Hal Ehwal di Kementerian Wakaf dan Jabatan Kebudayaan Islam al-Azhar.
- Pengasas dan Dekan Fakulti Syaria’h dan Pengajian Islam di Universiti Qatar.
- Pengarah Kolej Agama, Qatar.
- Pengarah Bahagian Pengajian Islam di Fakulti Pendidikan, Qatar.
- Pengarah Pusat Pengkajian Sunnah dan Sirah, Universiti Qatar.
- Pensyarah pelawat di Algeria.
- Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia.
- Ahli Majlis Rabitah al-Alam al-Islami di Mekah.
- Ahli Lembaga Fiqah Islam di Mekah.
- Ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis.
- Ahli Majlis Diraja untuk Pengajian Tamadun Islam di Jordan.
- Ahli Oxford Islamic Centre for Studies.
- Ahli Majlis Universiti Islam Antarabangsa Islamabad.
- Ahli organisasi dakwah Islam di Khortum, Sudan.
- Ahli Liga Kesusasteraan Islam.
- Ahli Gabungan Ekonomi Islam di Kaherah.
- Ahli Majlis dana Islam di Qatar.
- Ahli Yayasan Media Islam Antarabangsa di Islamabad, Pakistan.
- Penasihat Sharia’h di beberapa buah bank Islam, antaranya Bank al-Taqwa berpusat di Switzerland dan bank Islam di Qatar.

Bukti lain sosok hebat ini diiktiraf oleh dunia apabila beliau mendapat beberapa anugerah;
- Anugerah Ekonomi Islam Bank Pembangunan Islam (1411H).
- Anugerah Antarabangsa Raja Faisal dalam bidang Pengajian Islam (1413H).
- Anugerah Kecemerlangan Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1996).
- Anugerah Sultan Hasan al Bolkiah Sultan Brunei dalam bidang Fiqh (1997).
- Anugerah Sultan al-Uwais, Emiriyah Arab Bersatu (1999).
- Anugerah Antarabangsa Dubai (2000).
- Anugerah Tokoh Maal Hijrah (2009).
- Disenaraikan antara 500 Muslim yang paling berpengaruh di seluruh dunia.
Mujaddid Kontemporari
Secara umumnya, mujaddid ini bersandarkan kepada hadis Baginda S.A.W yang bermaksud ;
“Sesungguhnya Allah akan mengutuskan pada umat ini setiap awal 100 tahun seorang mujaddid yang memperbaharui urusan agamanya.”
Antara mujaddid kontemporari abad ke-20 yang diiktiraf oleh Ulama’ dalam aspek Islam ialah Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida, Hassan al-Banna (Ikhwanul Muslimin), Abul A’la al-Mawdudi (Jamaat Islami), dan Badiuzzaman Said Nursi (Risalat al-Nur).
Selain itu, pembaharuan ini (tajdid) turut diperlukan dalam aspek-aspek lain, seperti;
- Tajdid dalam siyasah politik oleh Khalifah Umar Abdul Aziz.
- Tajdid dalam ijtihad dan Usul Fiqh oleh Imam Syafie’.
- Tajdid dalam hal Tauhid oleh Imam Abu Hassan al-Ashaarie.
- Tajdid dalam metod tafsir al-Quran oleh Imam Fakh al-Razi.
- Tajdid dalam Tauhid, Fiqh, dan Tasawuf oleh Imam al-Ghazali.
Berdasarkan sumbangan dan pemikiran yang begitu signifikan kepada umat Islam seluruh dunia, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga turut tergolong dalam kalangan ini.
Gagasan beliau seperti konsep wasatiyyah, maqasid syariah, fiqh khomsah, dan sebagainya bersama anjuran pendekatan yang berhikmah secara jelas telah merubah perspektif ramai dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat dan umat manusia.
Nafas baru oleh beliau dalam penulisan-penulisan fiqh dan manhaj telah memudahkan kefahaman orang ramai dan lebih berkesan. Hampir tidak sempurna pembelajaran fiqh kontemporari sekiranya tidak merujuk dan membaca buku-buku beliau.
Kesimpulan
Zaman milenia yang menyaksikan manusia semakin jauh daripada ilmu, apatah lagi ilmu agama semakin ketandusan sosok sehebat Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.
Walaubagaimanapun, pemergian Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi bukanlah tanda pengakhiran umat Islam. Ilmu-ilmunya yang ditinggalkan perlu terus dibugarkan dalam kehidupan umat, lebih-lebih lagi keadaan semasa yang parah dengan pelbagai permasalahan masyarakat, baik dalam bidang sosial, ekonomi, mahupun politik Negara.
Semoga ilmu amal Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi diterima di sisi Allah Azza Wajalla dan beliau ditempatkan bersama para Anbiya’. Al-Fatehah.
RUJUKAN
- Jurnal “Yusuf al-Qaradawi dan Sumbangan Pemikirannya” oleh Zukifli Hassan (2013).
- Bayan Linnas di pautan https://muftiwp.gov.my/images/pdf/artikel/bayan-linnas/6-Syeikh%20Dr.%20Yusuf%20al-Qaradhawi%20%3B%20Siapakah%20Beliau.%20Yusuf%20al-Qaradhawi.pdf
- Berita Hidayatullah di pautan, https://hidayatullah.com/berita/internasional/read/2022/09/26/237298/syeikh-yusuf-al-qaradhawi-wafat-di-usia-96-tahun.html
- https://themuslim500.com/profiles/yusuf-al-qaradawi/
- “Beberapa Karya Syaikh Yusuf Al-Qardhawi” di pautan, http://anazahra.blogspot.com/2008/09/beberapa-karya-syaikh-yusuf-al-qardhawi.html