Petroleum dan gas merupakan sumber tenaga utama dunia. Dianggarkan penggunaan minyak petroleum sehari adalah sebanyak 708,000 barel di Malaysia. Sumber minyak dan gas ini sangat penting kepada manusia kerana ia merupakan sumber utama tenaga dunia.
Pernahkah anda melihat keadaan atau gambar di bawah? Gambar di bawah menunjukkan satu proses di mana nyalaan api atau “gas flare” terhasil dari corong asap yang dikenali sebagai Flare Stack.

Jadi apakah itu “flare stack” dan “gas flare”? Dan mengapakah keadaaan ini berlaku?
Tahukah anda ketika proses penggalian minyak dan gas di Sektor Upstream, gas asli akan dipisahkan daripada minyak dan dialirkan ke menara terakhir iaitu “flare stack” untuk dibakar. Tujuan utama pembakaran gas asli adalah untuk mengelakkan pengumpulan gas berbahaya. Praktis ini telah dijalankan sejak 160 tahun yang lalu dalam industri petroleum dan gas di seluruh dunia.

Gas metana merupakan komponen utama gas asli terhasil daripada proses penggalian bahan mentah. Gas metana ini merupakan komponen utama gas rumah hijau yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Pada tahun 2021, dianggarkan sebanyak 144 billion meter padu gas telah dibakar di tempat penghasilan minyak jika mengambil kira kecekapan pembakaran sebanyak 98%. Hasil daripada pembakaran tadi menukarkan gas asli kepada gas karbon dioksida di udara. Dianggarkan pembakaran pada tahun itu menghasilkan persamaan gas karbon dioksida sebanyak 400 million ton, namun gas karbon dioksida ini lebih selamat berbanding gas metana.
Namun, tedapat satu kajian baru yang dikeluarkan oleh jurnal sains yang menyatakan bahawa proses pembakaran ini tidak menghapuskan sebanyak mana metana yang kita anggapkan selama ini. Kajian ini telah dilakukan oleh sekumpulan pengkaji dari University of Michigan. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa pembakaran menyebabkan gas metana terbebas ke udara lima kali daripada apa yang dianggapkan sebelum ini. Secara amnya, dianggapkan proses pembakaran ini mampu menghapuskan sebanyak 98% metana daripada udara. Bagi membuktikan anggapan ini, pihak pengkaji daripada universiti tersebut membuat kajian lapangan dari tahun 2020 dan 2021 dengan mengambil sampel sebanyak 300 di tiga kawasan utama penghasilan minyak dan gas di Amerika Syarikat. Kajian ini menunjukkan hanya 91% gas metana telah berubah menjadi kompoun yang lain, selebihnya terbebas ke udara.
Hasil kajian ini sangat penting kepada kita kerana penghasilan gas rumah hijau ini mampu membahayakan alam sekitar. Penghasilan gas metana ke udara boleh menyebabkan peningkatan suhu bumi dan memberi kesan yang sangat besar kepada manusia dan sekitarnya. Kerjasama semua pihak terutamanya pemain industri minyak dan gas serta penggumbal undang-undang sangatlah diperlukan bagi menghasilkan proses yang lebih efektif dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar. Usaha Bank Negara dan PBB dalam melancarkan inisiatif sifar pembakaran rutin 2030 (Zero Routine Flaring by 2030 (ZRF) initiative) perlulah disambut baik oleh kerajaan dan industri bagi menyelamatkan alam sekitar untuk generasi seterusnya.
Sebagai orang awam, kita boleh menyumbangkan kepada penjagaan alam sekitar dengan cara menggunakan sumber tenaga dengan cermat dan berhemah. Tutup lampu dan kipas jika tidak digunakan merupakan antara langkah mudah yang boleh diambil bagi membantu penjagaan alam sekitar. Dengan usaha kecil kita ini dapat mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar, secara tidak langsung kita dapat memberi peluang kepada generasi masa hadapan untuk merasai udara yang bersih dan sihat.
SUMBER RUJUKAN
- https://www.worldbank.org/en/programs/gasflaringreduction/gas-flaring-explained
- https://www.npr.org/2022/09/29/1125894105/oil-field-flaring-methane-report
- https://www.aeroengineering.co.id/2021/09/gas-flaring-pada-industri-minyak-dan-gas/
- http://large.stanford.edu/courses/2016/ph240/miller1/docs/emam.pdf