Pada 20.12.2022 berita harian melaporkan satu kemalangan melibatkan tiga pekerja warga Indonesia yang mati lemas ketika bekerja di dalam ruang terkurung (confined space). Kemalangan itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja melibatkan kabel bawah tanah di Taman Sains 2, Cyberjaya Selangor. Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan melibatkan ruang terkurung tidaklah asing dalam dunia pembinaan. Contoh kemalangan lain melibatkan ruang terkurung seperti berlaku pada tahun 2018 dilaporkan dua pekerja warga Nepal maut ketika membersihkan tangki berudara bagi pemasangan loji rawatan sisa buangan di sebuah kilang di Yong Peng. Selain itu, kemalangan pada tahun 2019 yang mengorbankan seorang warga Bangladesh di tempat kejadian ketika dia sedang bekerja di dalam ruang terkurung membabitkan saluran paip gas di Jalan Ipoh-Lumut. Persoalannya apakah itu ruang terkurung? Adakah kita boleh mendefinisikan apa-apa ruang yang tertutup sebagai ruang terkurung?
DEFINISI RUANG TERKURUNG
Menurut Tata amalan Industri Bekerja Selamat di Dalam Ruang Terkurung 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia telah mendefinisikan ruang terkurung sebagai ruang tertutup atau separa tertutup pada tekanan atmosfera semasa dihuni dan tidak disediakan satu reka bentuk untuk digunakan terutamanya sebagai tempat kerja dan
- boleh pada bila-bila masa mempunyai atmosfera yang mengandungi paras bahan cemar yang mungkin memudaratkan; atau
- mengalami kekurangan atau berlebihan oksigen; atau
- menyebabkan pelingkungan; dan
- mempunyai laluan masuk dan keluar yang terhad.
Untuk mengkelaskan sesuatu ruang itu sebagai ruang terkurung, kita perlu memastikan ruang tersebut mempunyai ciri-ciri yang termaktub di dalam tata amalan ini. Selalunya pihak industri akan melantik mana-mana konsultan bagi mendapatkan khidmat mereka menganalisis ruang-ruang yang berkemungkinan sebagai ruang terkurung yang berada di premis atau kilang. Konsultan ini akan menghasilkan satu laporan yang dipanggil sebagai “Confined Space Risk Assessment Report”. Antara contoh ruang terkurung adalah seperti tangki penyimpanan, tangka di atas lori, dandang, silo, terowong dan lain-lain. Selain daripada itu, bekas tangki yang mempunyai lubang untuk orang masuk juga boleh dikategorikan sebagai ruang terkurung.
HAZARD DI RUANG TERKURUNG
Persoalannya apakah hazard ketara yang boleh membahayakan nyawa orang yang bekerja di dalam ruang terkurung? Kebanyakan kes kematian di dalam ruang ini adalah disebabkan hazard atmosfera. Hazard atmosfera merujuk keadaan gas di dalam udara atau persekitaran yang boleh membahayakan nyawa manusia. Contohnya adalah apabila kandungan oksigen kurang daripada 19.5% di dalam ruang terkurung boleh menyebabkan mangsa mati kerana tidak mendapatkan oksigen yang mencukupi, manakala jika kandungan oksigen melebihi 23.5% boleh menyebabkan kebakaran berlaku. Selain itu, contoh hazard atmosfera lain adalah terkumpulnya gas-gas toksik melebihi had yang dibenarkan. Contoh gas toksik adalah seperti Karbon Monoksida (CO) dan Hidrogen Sulfida(H2S). Gas mudah terbakar juga boleh terhasil di dalam ruang terkurung.
Selain hazard atmosfera, pekerja juga terdedah kepada hazard lain seperti hazard fizikal seperti bunyi bising atau suhu yang tinggi/rendah, hazard biologi seperti binatang perosak atau binatang berbahaya yang berada di dalam ruang tersebut , hazard ergonomik seperti ruang yang terlalu sempit dan hazard psikososial. Bagi memastikan keselamatan pekerja yang bekerja di dalam Kawasan ini, pihak JKKP telah menggariskan keperluan bagi setiap pekerja perlu di latih oleh jurulatih bertauliah sebelum mereka di benarkan bekerja di dalam ruang terkurung. Hanya mereka yang lulus ujian sahaja dibenarkan untuk masuk dan bekerja di dalam ruang ini. Selain itu, pekerja perlu mengikuti 10 prosedur kemasukan ke ruang terkurung yang telah diwartakan di dalam Tataamalan Industri Bekerja Selamat di Dalam Ruang Terkurung 2010 ini. Pemakaian alat kelengkapan perlindungan diri dan kelengkapan tambahan seperti alat penguji gas juga perlu bagi memastikan pekerja selamat ketika berada.
Kesimpulannya, bekerja di dalam ruang terkurung merupakan satu kerja yang mempunyai risiko tinggi. Menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan pekerja bawah seliaan mereka mematuhi prosedur kerja selamat. Selain itu, majikan perlu menyediakan sistem kerja yang selamat bagi pekerjaan melibatkan ruang terkurung seperti yang ditulis di dalam tata amalan ini. Kegagalan menyediakan sistem kerja selamat boleh menyebabkan pihak majikan dikenakan kompoun oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia.
Rujukan
http://www.niosh.com.my/images/Publication/Brochure/RuangTerkurung.pdf
https://www.dosh.gov.my/index.php/legislation/codes-of-practice/industrial-hygiene
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/05/568557/siasat-pelanggaran-sop-kerja-ruang-terkurung