BUNYI BISING DI TEMPAT KERJA

Bunyi bising di tempat kerja merupakan salah satu hazard yang perlu dikawal supaya ia tidak memberi kesan kepada pekerja di sekitarnya.

Statistik Kemalangan dan Penyakit Pekerjaan Negara tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia telah melaporkan sebanyak 3,648 kes disebabkan gangguan pendengaran berkaitan kebisingan pekerjaan dan merupakan kes yang paling banyak direkodkan bawah Statistik Jenis Penyakit dan Keracunan Pekerjaan yang disahkan Tahun 2021. Daripada maklumat ini kita dapat simpulkan bahawa ramai pekerja terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja.

Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan bunyi bising? Berapakah kadar kebisingan yang dikategorikan bunyi bising di tempat kerja? Atau apakah kategori bunyi bising yang ada di tempat kerja?

Bunyi bising atau kebisingan adalah bunyi yang menggangu dan tidak dikehendaki. Selalunya ia terhasil daripada persekitaran atau aktiviti manusia. Bunyi bising ini boleh dilihat dalam dua aspek iaitu bunyi bising persekitaran dan kebisingan pekerjaan. Kebisingan pekerjaan merujuk kepada bunyi yang terhasil daripada proses atau mesin yang terdapat di tempat kerja. Contoh pekerjaan yang terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja adalah seperti kerja-kerja mengimpal, pekerja di lapangan terbang, pekerja kuari dan pekerja mengendalikan mesin yang menghasilkan bunyi bising yang berlebihan. Kebisingan ini boleh dikelaskan kepada beberapa jenis antaranya:

a. Bising yang berterusan – bising yang mempunyai perbezaan paras intensiti bising antara maksimum dan minimum yang kurang dari 3dB(A).

b. Bising fluktuasi – bunyi bising yang mempunyai perbezaan paras antara intensiti yang tinggi dengan yang rendah daripada 3dB(A)

c. Bising impuls – bunyi yang mempunyai intensiti yang sangat tinggi dalam seperti tembakan senjata api, lagaan besu dan sebagainya. Bunyi yang terjadi dalam jangka masa tertentu sahaja serta berulang. Contohnya bising ketika memotong besi berhenti apabila gergaji itu dihentikan. Terdapatnya kombinasi jenis bunyi di atas, contohnya kebisingan berterusan dan bersela boleh berlaku serentak.

Rajah 2: Bunyi bising di tempat kerja (Sumber: https://www.hseblog.com/hierarchy-of-controls-for-noise-at-workplace/)

UNDANG-UNDANG YANG MENGAWAL BUNYI BISING DI TEMPAT KERJA

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) telah menggariskan satu peraturan berkaitan bunyi bising yang dikenali sebagai Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019. Peraturan ini telah diwartakan sebagai garis panduan kepada majikan di tempat kerja untuk mengawal bunyi bising di tempat kerja. Majikan wajib mematuhi semua klausa yang tertakluk dalam peraturan ini.  Berdasarkan peraturan ini, terdapat beberapa definisi yang perlu diketahui apabila membincangkan tentang bunyi bising iaitu:

·  Bising berlebihan – paras pendedahan bising harian melebihi 82dB(A), dos bising diri harian melebihi lima puluh peratus, paras tekanan bunyi maksimum melebihi 115dB(A) pada bila-bila masa, atau paras tekanan bunyi puncak 140dB(C).

·  Dos Bising Harian – pendedahan bising kumulatif bagi seseorang pekerja yang dibetulkan bagi hari kerja biasa selama lapan jam.

·  Paras Pendedahan bising harian – paras tekanan bunyi berterusan setara yang dibetulkan bagi hari kerja biasa selama lapan jam.

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN TERHADAP PEKERJA YANG TERDEDAH KEPADA BUNYI BISING DI TEMPAT KERJA

Dalam peraturan ini, majikan wajib mengenal pasti semua pekerja yang berkemungkinan terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja. Setelah mengenalpasti Kawasan yang bising ini, majikan perlu melakukan penaksiran risiko bunyi bising dengan melantik penaksir risiko bising. Majikan perlu memastikan bahawa pekerja di bawah selian tidak terdedah kepada

a) Paras pendedahan bising harian melebihi 85dB(A) atau dos bising diri harian melebihi seratus peratus;

b) Paras tekanan bunyi maksimum melebihi 115dB(A) pada bila-bila masa; atau

c) Paras tekanan bunyi puncak melebihi 140dB(C).

Selain itu, menjadi tanggungjawab majikan memberi maklumat yang mencukupi berkaitan kesan pendedahan bunyi bising di tempat kerja. Alat perlindungan diri perlulah diberikan kepada pekerja dan latihan penggunaan alat tersebut perlu dilaksanakan dan direkodkan. Sekiranya perlu, ujian pendengaran (ujian audiometrik) perlulah dilakukan bagi mengukur kadar pendengaran pekerja. Pihak majikan juga perlu untuk melaksanakan langkah kawalan bagi mengurangkan bunyi bising di tempat kerja.

Rajah 3: Jenis-jenis alat perlindungan diri bunyi bising (Sumber: https://ohsonline.com/Articles/2008/09/Bad-Assumptions-About-Hearing-Protection.aspx?Page=2

KESAN PENDEDAHAN BUNYI BISING KEPADA PEKERJA

Rajah 3: Kehilangan upaya pendengaran

Mengapa kita perlu mengawal bunyi bising di tempat kerja?

Bunyi bising boleh memberi kesan kepada fisiologi manusia dan psikologi manusia. Antara kesan kebisingan kepada pekerja adalah seperti kehilangan pendengaran disebabkan bising (Noise Induce Hearing Loss (NIHL)), kecacatan pendengaran pekerjaan, anjakan ambang standard kekal pekerjaan. Selain itu, bunyi bising juga boleh menggangu tumpuan pekerja ketika melakukan kerja, dan menyebabkan pekerja sukar mendengar arahan atau berkomunikasi. Tambahan lagi, jika pekerja yang mengandung terdedah kepada bunyi bising, kebisingan ini akan memberi kesan kepada bayi di dalam kandungan.

Oleh itu kita perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mengurangkan atau menghapuskan bunyi bising di tempat kerja.

RUJUKAN
  1. https://www.dosh.gov.my/index.php/statistik-kemalangan-dan-penyakit-pekerjaan-negara-2021/4238-hebahan-slaid-hebahan-statistik-kemalanga-2021/file
  2. https://pku.upm.edu.my/artikel/hilang_pendengaran_akibat_bunyi_bising-58220
  3. https://www.dosh.gov.my/index.php/ms/perundangan/peraturan/peraturan-di-bawah-akta-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan-1994-akta-514/3173-00-peraturan-peraturan-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan-pendedahan-bising-2019/file
  4. http://www.niosh.com.my/images/Publication/Brochure/PerlindunganPendengaran.pdf
  5. https://ohsonline.com/Articles/2008/09/Bad-Assumptions-About-Hearing-Protection.aspx?Page=2
  6. https://www.hseblog.com/hierarchy-of-controls-for-noise-at-workplace/)
  7. https://www.newyorker.com/video/watch/the-backstory-why-noise-pollution-is-more-dangerous-than-we-think
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts