TERBARU! PENYELIDIK DI LONDON DAKWA TIDUR SIANG SIHATKAN OTAK. QAILULAH KE NI???

Baru-baru ini, The Guardian telah melaporkan hasil kajian sekumpulan penyelidik dari Kolej Universiti London dan Universiti Republik di Uruguay yang membuktikan bahawa amalan tidur siang adalah baik untuk otak.

Amalan tidur ini dikatakan berkait dengan perkembangan dan saiz otak.

Kajian ini melibatkan pengambilan data seramai 35,080 daripada kajian Biobank United Kingdom yang mengumpulkan maklumat mengenai genetik, gaya hidup dan kesihatan bagi usia 40 hingga 69 tahun. Hal ini bagi mengkaji sama ada gabungan varian genetik yang sebelum ini dikaitkan dengan tabiat tidur seketika pada waktu siang, turut mempunyai kaitan dengan isipadu otak, kognisi dan aspek kesihatan otak yang lain. Pendekatan ini membantu para penyelidik mengurangkan impak faktor gaya hidup dalam mempengaruhi dapatan kajian.

Hasilnya, mereka mendapati adanya hubungan antara amalan tidur siang dan isipadu otak. Yang mana, mereka menyatakan bahawa amalan tidur siang boleh membantu melindungi otak daripada mengecut. Maka, hal ini membantu menyihatkan otak apabila semakin berusia.

Menurut mereka, “Struktur otak mengalami perubahan termasuk mengecut apabila semakin tua.”

“Kami dapati pengecutan itu berlaku lebih cepat pada individu yang mengalami masalah kognitif dan penyakit neurodegeneratif. Beberapa kajian mencadangkan situasi itu mungkin berkaitan dengan masalah tidur.”

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Sleep Health. 

Wah! Macam sama saja dengan saranan Baginda S.A.W beberapa ratus tahun dahulu. Iya dok? Cumanya, kita guna istilah bahasa arab iaitu ‘Qailulah’.  Jom kita baca pasal ‘Qailulah’ pula.

Qailulah

Qailulah bermaksud tidur sebentar di pertengahan hari yang disertai dengan niat, sama ada antara pukul 12 tengah hari hingga masuk waktu zuhur, ataupun selepas waktu zuhur jika mengikut sesetengah pendapat. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa qailulah bermaksud berehat sebentar walaupun tidak tidur.

Amalan Qailulah ini bukannya saja-saja untuk menghabiskan masa. Tetapi, tidur ini merupakan sunnah Baginda S.A.W sebagai persiapan untuk bangun beribadat pada waktu malam, ataupun berqiamullail. Tempoh untuk tidur ini adalah sekejap sahaja, iaitu selama beberapa minit dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit sahaja. 

Amalan ini merupakan satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama’ berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud : 

“Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.”

Allah juga jelas menyebut dalam firman-Nya, ayat 23 Surah Ar-Rum yang bermaksud : 

“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kemurahanNya dan kasih sayangnya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan Yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang Yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).”

Tetapi, kenapa mesti tidur yang ditekankan sebagai satu amalan istirehat?

Tidur itu rehat?

Sebagai seorang Muslim, kita mengimani bahawa setiap sesuatu yang disebut oleh Allah dan Baginda S.A.W pasti terkandung hikmah dan kebaikannya.

Menurut Kitab Pedoman Pengobatan Nabi oleh Agus Rahmadi dan M. Biomed, lebih daripada 10 kali perkataan ‘tidur’ disebut di dalam al-Quran.

Allah telah mengisyaratkan bahawa tidur merupakan salah satu hak penjagaan tubuh badan yang perlu dipenuhi manusia. 

Saidatina Aisyah R.A pernah meriwayatkan sabda Baginda S.A.W yang bermaksud : 

“Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk, berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri.”

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah, tidur merupakan satu keadaan yang mana perasaan dan kekuatan jiwa meresap ke dalam tubuh untuk mencari ketenangan. Dr As-Sayyid Salaamah As-Saqa pula menyatakan bahawa tidur adalah tanda kekuasaan Allah pada makhluk ciptaan-Nya. (Abdullah al-Qari, 2009; Syeikh Hilmi al-Khuldy, 2010).

Bagi satu kenyataan lain, Abdullah al-Qari (2009) menyebut bahawa sekiranya tidur tidak dipenuhi, hidup seseorang itu akan rosak dan akhirnya menyebabkan kematian.

Pada tahun 1999, saintis daripada Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur menyebabkan berlakunya gangguan dalam proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan karbohidrat di dalam badan, dan mewujudkan pelbagai penyakit. Manakala, mereka yang tidur kurang daripada kadar tidur sepatutnya akan mudah mengalami tekanan perasaan, dan mudah dijangkiti kuman setelah sistem pertahanannya menjadi lemah.

Manfaat Tidur Siang atau ‘Qailulah’

Sebenarnya amalan ini bukan sahaja dibuat oleh orang Islam. Orang bukan Islam pun buat tau. Cuma mereka istilahkan dengan ‘nap’ bagi orang Barat, ataupun ‘siesta’ bagi masyarakat Sepanyol yang mana mereka ini tidur seketika pada awal tengahari, iaitu kebiasaannya selepas makan tengah hari.

Kajian tentang tidur siang pun dah dijalankan oleh ramai penyelidik seluruh dunia bagi memperlihatkan manfaatnya yang cukup besar kepada tubuh badan manusia. Antara dapatan kajian yang dilaporkan tentang manfaat tidur siang : 

  1. Menghilangkan tekanan dan memberi ketenangan setelah penat bekerja (Elizabeth, 2007; Kristen, 2016).
  2. Menambahkan daya kreatif seseorang (Jitendra M. Mishra, 2009).
  3. Mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan (Dr. James Maas, 2010).
  4. Mengurangkan risiko jantung 30% lebih rendah daripada yang lain (Hernani Abu Bakar, 2012).
  5. Menguatkan ingatan dan menyegarkan badan (Sara Mendnick, 2006).

Besarnya manfaat tidur siang ini sehinggakan di Jepun, pekerja yang tidur sekejap dianggap sebagai seorang yang berdedikasi. Fuh!

Di Malaysia pun, terdapat sekolah yang memperuntukkan masa untuk tidur siang seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Julau No. 2 di Sarawak. Di tadika-tadika seperti Little Caliph dan PASTI pun dah didik anak-anak kecil untuk ber-qailulah.

Kesimpulan

Baginda S.A.W telah dahulu mengajak kita untuk mengamalkan tidur siang, yakni qailulah. Kaedahnya sama sepertimana yang dibuktikan dalam kajian-kajian saintifik oleh orang-orang Barat. 

Biarpun sama kaedah, hakikatnya cukup berbeza amalan kedua-duanya. Bezanya adalah pada niat dan matlamat. 

Bagi orang bukan Muslim, mereka beramal berdasarkan bukti saintifik yang menunjukkan sesuatu itu baik bagi kehidupan mereka.

Bagi seorang Muslim, kita perlu kembali kepada niat asal dianjurkan ‘qailulah’ iaitu bagi mendapatkan tenaga untuk bangun beribadat di waktu malam. Adapun manfaat-manfaat lain itu hanyalah kesan sampingan yang dianugerahkan oleh-Nya kepada mereka yang melaksanakan amalan dan perbuatan yang baik ini. 

Oleh itu, qailulah ini merupakan amalan yang perlu dilaksanakan oleh semua umat Islam supaya ibadah di waktu malam dapat dijaga sebaiknya, sekaligus dapat menjaga kesihatan tubuh badan yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita selama mana hidup di atas muka bumi ini. 

Jom pakat-pakat amalkan qailulah!

RUJUKAN
  1. Tidur siang sihatkan otak (utusan.com.my)
  2. Studi Baru: Tidur Siang Dapat Memperlambat Penyusutan Otak (sindonews.com)
  3. Spesifikasi Qailulah Menurut Perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah, di pautan : http://conference.kuis.edu.my/thiqah/images/eprosiding/1002_THIQAH2018.pdf
  4. Al-Kafi #1032 : Qailulah dan Waktunya, di pautan : https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2998-al-kafi-1032-qailulah-dan-waktunya-2
  5. Sunnah Tidur Siang atau Qailulah, Ini Waktu Terbaik dan Manfaatnya (detik.com)
  6. https://www.vitdaily.com/sekolah-ini-wajibkan-pelajar-tidur-10-minit-elak-mengantuk-dalam-kelas/

SUMBER GAMBAR : How to Power Nap Like a Pro: Our 5-Point Guide | Sleep Cycle

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts