TRAGEDI KAPAL SELAM TITAN, SEKALI LAGI ‘TITANIC’ MENGEJUTKAN DUNIA

Seluruh dunia sedang tertumpu kepada tragedi sebuah kapal selam Titan yang meletup sehingga meragut lima nyawa penumpangnya.

Kapal selam ini telah hilang di dasar Lautan Atlantik pada Ahad lalu (18/6/2023) ketika ekspedisi melawat bangkai kapal Titanic yang terletak di kedalaman 3,800 meter.

Ekspedisi ini diurus oleh sebuah syarikat swasta di Washington DC, iaitu OceanGate. Syarikat ini dikatakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pelancongan bawah laut untuk mencari bangkai Titanic di dasar Lautan Atlantik menggunakan kapal selam.

Kapal Selam Titan

Syarikat ini diasaskan pada tahun 2009 oleh Stockton Rush yang juga merupakan CEO bagi syarikat ini. Beliau merupakan bekas usahawan berjaya yang berkait dengan industri aeroangkasa dan teknologi. 

Syarikat OceanGate telah terlibat dalam beberapa aktiviti penerokaan laut seperti ekspedisi Azores, Bahamas dan Bespoke. Dikatakan bahawa syarikat ini telah menyelesaikan lebih daripada 14 ekspedisi dan 200 menyelam ke kedalaman 4,000 meter di Lautan Atlantik, Pasifik dan Teluk Mexico. Sewaan kapal selam daripada syarikat ini adalah bertujuan untuk komersial, penyelidikan dan ketenteraan.

Kapal selam OceanGate dinamakan Titan dan dikatakan sebuah kapal selam penyelidikan dan tinjauan berkapasiti lima orang penumpang yang biasanya terdiri daripada seorang kapten dan empat anak kapal. Reka bentuknya adalah dibina khas tidak dikelaskan. Badannya diperbuat daripada filamen gentian titanium dan karbon yang berupaya untuk melengkung, dilengkapi dengan empat tujahan elektrik dan menggunakan teknologi satelit Starlink milik Elon Musk. Saiznya mencecah 22 kaki panjang, 9.2 kaki lebar dan 8.3 kaki tinggi. Manakala, beratnya ialah 23,000 paun dan boleh membawa beban sehingga 1,510 paun.

Titan direka dengan keupayaan menyelam ke dasar laut pada kedalaman maksimum 4,000 meter dan menyimpan bekalan oksigen selama 96 jam. Kapal selam ini dilengkapi sistem Pemantauan Kesihatan Badan Hull Masa Nyata (RTM) untuk pengesanan awal oleh kapten tentang situasi di lautan, seterusnya mengawal turun dan naik kapal dengan selamat.

Bagi mengemudi kapal selam ini, kapten menggunakan alat kawalan permainan video yang telah diubah suai, bersama komputer skrin sentuh khas untuk menyesuaikan lampu, udara, mengukur kedalaman dan alat berkomunikasi.

Penyesuaian-penyesuaian pada Titan ini telah dilihat mencukupi untuk mengupayakan kapal selam ini meneroka lautan dalam, mencipta memori mahal bersama bangkai kapal Titanic yang berpuluh tahun lamanya bersemadi di dasar lautan, menjadi kisah paling ikonik dalam sejarah maritim dunia.

Sekali lagi, ‘Titanic’ mengejutkan dunia dengan kisahnya.

Ekspedisi ke Bangkai Titanic, Misi Bunuh Diri

Ekspedisi ke bangkai Titanic bukanlah baru dilaksanakan pada tahun ini oleh syarikat OceanGate. Hakikatnya ekspedisi ini telah bermula sejak tahun 2021, dan sudah ada beberapa lawatan sebelum ini yang berjaya dilaksanakan. Terdapat sumber yang melaporkan perkongsian pengalaman oleh penumpang-penumpang ini.

Agak menakutkan apabila membaca kisah perjalanan mereka. Biarpun mereka tiba di lokasi bangkai Titanic, cabaran mengerikan perlu ditempuhi sehinggakan mereka memanggil pelancongan mereka itu sebagai misi bunuh diri. Lebih mengejutkan apabila mereka mendedahkan bahawa sebelum mereka menjalani ekspedisi tersebut, mereka perlu menandatangani sijil kematian terlebih dahulu.

“Ini adalah misi bunuh diri.” – Arthur Loibl (Ekspedisi 2021).

Antara keadaan-keadaan yang mengerikan perlu ditempuhi adalah terputusnya komunikasi dengan kapal pengangkut di permukaan laut sepanjang masa dan berisiko mati di bawah permukaan gelap, serta terputusnya bekalan elektrik dan masalah keseimbangan lebih lima jam yang mana para penumpang terpaksa duduk bersila dalam ruang yang sempit, tiada tempat duduk dan tiada tandas. Malah, terdapat juga kisah pelanggaran kapal Titan dan Titanic sehingga mengambil masa selama satu jam untuk melepaskan kapal daripada keadaan panik tersebut.

Pada tahun 2022, Alan Estrada yang merupakan seorang YouTuber Mexico menyertai ekspedisi ini dan mendokumentasikan kisah perjalanan ‘mahal’ ini. Beliau menyatakan bahawa semua penumpang mengetahui risiko besar tentang ekspedisi tersebut.

“Kami tahu bahawa kami tidak akan pergi ke taman hiburan.” – Alan Estrada (Ekspedisi 2022).

Pada tahun 2023, lima orang lagi individu yang berani menyertai ekspedisi ini dengan bayaran yang sangat mahal. Mereka ini merupakan golongan jutawan dan orang kenamaan, yang mana salah seorangnya ialah CEO syarikat OceanGate sendiri iaitu Stockton Rush. Manakala, empat orang lagi ialah Hamish Harding yang merupakan jutawan Britain dan penerima tiga anugerah Rekod Dunia Guinness kerana aktiviti penjelajahannya ke angkasa dan lautan terdalam, Shahzada Dawood yang merupakan ahli perniagaan terkemuka di Pakistan, bersama anaknya Suleman Dawood. Akhir sekali, Paul-Henri Nargeolet iaitu seorang penyelam Perancis dan mempunyai pengalaman yang banyak dalam meneroka bangkai Titanic.

Setelah melihat profil mereka ini yang bukan calang-calang orang dan sebahagiannya adalah sangat berpengalaman, tidak hairanlah mereka begitu berani untuk mengalami sendiri ekspedisi ini. 

Tetapi, malang tidak berbau. Siapa tahu bahawa ekspedisi ini bakal menjadikan mereka sebahagian daripada sejarah ‘Titanic’. 

Apa yang berlaku kepada kapal selam Titan?

‘Catastrophic Implosion’

Pada 18 Jun 2023 (Ahad), selepas 1 jam 45 minit kapal Titan menyelam, perhubungannya terputus dan langsung tidak dapat dikesan. Pasukan penyelamat menggerakkan usaha pencarian dan meninjau lautan seluas 10,000 batu persegi itu pada 19 Jun 2023 (Isnin) sehinggalah keesokan harinya, tanpa ada tanda kapal selam tersebut akan muncul. Lebih membimbangkan apabila bekalan oksigen di dalam kapal selam tersebut semakin habis.

Kemudian, pada 22 Jun 2023 (Khamis), tentera laut Amerika Syarikat menyatakan pengesanan bunyi letupan pada hari Ahad selepas perhubungan kapal selam Titan terputus.

Penemuan serpihan kapal Titan termasuklah kon ekor yang terletak di kira-kira 488 meter dari bangkai Titanic di perairan Atlantik Utara telah menyimpulkan bahawa kapal selam ini mengalami bencana letupan yang amat dahsyat ataupun disebut sebagai ‘Catastrophic Implosion’.

‘Catastrophic Implosion’ ialah bencana yang merujuk kepada kemusnahan kapal secara tiba-tiba setelah berada di bawah tekanan yang luar biasa dan tidak mampu ditanggung oleh struktur kapal. Keadaan ini dikatakan berlaku dengan cepat dan semuanya akan musnah tanpa sempat disedari oleh para penumpang. Kebarangkalian untuk menemui mayat penumpang juga adalah kecil.

Menurut seorang bekas pegawai kapal selam nuklear AS, Dave Corley, apabila kapal selam mengalami keadaan ini, pergerakannya adalah kira-kira 1,500 mph (2,414 km/j), bersamaan 2,200 kaki (671 m) persaat. Masa untuk kehancuran sepenuhnya adalah kira-kira satu milisaat bersamaan seribu saat. Bagi otak manusia untuk bertindak balas secara semula jadi terhadap rangsangan adalah kira-kira 25 milisaat, manakala tindak balas rasional manusia untuk bertindak mengambil masa dalam 150 milisaat. Ketika ini, udara di dalam mempunyai kepekatan wap hidrokarbon yang agak tinggi, dan ketika badan kapal ditekan, udara menyala secara automatik mengakibatkan letupan dahsyat berlaku serta-merta. Tubuh manusia di dalamnya terbakar sehingga bertukar menjadi habuk dan abu.

Jika dilihat kepada penyesuaian struktur-struktur kapal selam Titan, sepatutnya keadaan ini tidak berlaku kerana pembinaannya dikatakan memang mengikut spesifikasi untuk menahan tekanan di bawah 4,000 meter kedalaman laut. Persoalannya, mengapakah masih terjadi? Persoalan inilah yang membawa kepada beberapa kontroversi dan tersingkapnya beberapa kejadian sebelum bermulanya ekspedisi ini.

Kontroversi Kapal Titan

  1. Aspek keselamatan dan bahan buatan badannya

Biarpun dikatakan kapal selam Titan sudah berjaya turun ke kedalaman bangkai Titanic beberapa kali sebelum ekspedisi ini sehingga memberikan keyakinan kepada CEO OceanGate yang juga merupakan mangsa bagi kejadian ini untuk meneruskan ekspedisi ini, ternyata tahap keselamatannya telah dipersoalkan oleh beberapa pakar industri dan bekas pekerja syarikat itu sejak tahun 2018 lagi. Ditambah pula kapal selam ini tidak mendapat pengesahan daripada Biro Kapal Amerika atau Kumpulan DNV dari Eropah yang bertindak sebagai pengurus insurans dan risiko bencana bagi kapal selam. Agensi inilah yang menetapkan piawaian keselamatan bagi reka bentuk sesebuah kapal selam bagi hadapi tekanan bawah laut.

Dilaporkan bahawa wakil Persatuan Teknologi Maritik (MTS) pernah menghantar surat, seterusnya mengadakan satu perbincangan yang serius bersama Rush mengenai keselamatan Titan yang melibatkan kecacatan reka bentuk tunggal, ketiadaan sijil yang diiktiraf industri, fabrikasi, dan ujian kapal selam.

Manakala, seorang pekerja OceanGate, David Lochridge pernah menyerahkan laporan kejuruteraan kepada pihak tertinggi syarikat dan mengkritik proses penyelidikan dan pembinaan Titan yang tidak menggunakan bahan sepatutnya, ditambah kekurangan ujian untuk melihat keupayaan struktur tersebut untuk menahan tekanan kuat di laut dalam. Oleh itu, Lochridge tidak membenarkan Titan untuk beroperasi sebelum pengujian dijalankan ke atasnya. Namun, hal ini telah mengakibatkan beliau dipecat oleh OceanGate kerana dituduh menyebarkan maklumat sulit syarikat.

Bukan itu sahaja, Stockton Rush turut dikatakan mengabaikan amaran pakar penyelidikan laut dalam terkemuka, Rob McCallum mengenai ciri-ciri keselamatan kapal selam Titan yang dilihat mengancam nyawa penumpang-penumpangnya, dan diminta untuk berhenti menggunakannya sehinggalah Titan mendapat sijil pengiktirafan daripada badan bebas. Namun begitu, jawapan yang diberikan oleh Rush ialah, beliau letih dengan pemain industri yang cuba menggunakan hujah keselamatan untuk menghentikan inovasi.

Struktur utama badan Titan diperbuat daripada serat karbon dan titanium. Kapal selam untuk menahan tekanan air kebiasaannya dibina daripada logam yang kuat seperti titanium dan dibentuk dalam sfera bagi menyebarkan tekanan besar dan sama di sekitar ruang penumpang. Tetapi, pembinaan badan Titan berbentuk silinder bagi memuatkan lebih ramai orang di dalamnya, dengan menggunakan tiub gentian karbon antara penutup akhir titanium. Yang mana, tiub gentian karbon ini merupakan bahan plastik yang diperkuat dengan serat karbon dan dikatakan mudah hancur apabila dikenakan tekanan luar biasa.

Satu kesimpulan yang dibuat oleh seorang pakar daripada Virginia Tech Center, Profesor Stefano Brizzolara ialah bahannya yang tidak berstrukturkan paduan logam memudahkan Titan meledak dengan dahsyat kerana sifat bahan mempengaruhi keadaan ini.

  1. Guna ‘game controller’ untuk navigasi?

Berlaku kontroversi baru-baru ini apabila terdapat maklumat yang mengesahkan bahawa kawalan kapal selam ini adalah menggunakan ‘game controller’ berjenama Logitech. 

Orang ramai mempersoalkan, bagaimana kapal Titan ini dikawal oleh sebuah alat kawalan permainan video kuno, iaitu Logitech F710 versi tahun 2010?

Persoalannya, salah ke guna ‘game controller’?

Menurut satu artikel, sebenarnya dalam dunia maritim bagi pengkendalian kapal selam dalam kedalaman yang dalam, adalah tidak pelik alat kawalan ini digunakan. Malah, keadaan ini menjadi perkara biasa bagi anggota tentera untuk menggunakan alat kawalan Xbox yang diubah suai untuk mengawal daripada kereta kebal ke kapal selam. Hal ini kerana alat kawalan permainan adalah lebih selesa dan ergonomik di tangan, serta mempunyai fungsi yang mencukupi dan fleksibel untuk penggunaan yang berbeza mengikut situasi. Sebelum ini juga, syarikat milik Elon Musk pernah memuat naik video di twitter yang menunjukkan seorang pekerja mengawal peralatan gerudi besar-besaran menggunakan alat kawalan Xbox One.

Dalam satu artikel lain, dilaporkan tentang seorang saintis, Peter Girguis yang menyatakan bahawa, lagi dalam sesebuah kapal pergi, lagi ringkas perkakas yang digunakan adalah lebih baik. Menurutnya, kapal selam yang digunakan oleh Jepun, China dan Perancis juga menggunakan komponen yang mudah untuk mengawal dan memastikan aspek keselamatan penumpang.

Walau bagaimanapun, kes-kes ini masih tidak kuat untuk menyokong penggunaan Logitech F710, sebuah aksesori yang hanya berharga RM160 di Shopee dan edisinya keluar sudah lama untuk digunakan bersama Windows 7 dahulu. Malah, terdapat juga ulasan-ulasan negatif berkenaan model ini di Amazon yang mendakwa bahawa sambungannya sering terputus dan butang-butang analognya gagal digunakan sejurus pembelian oleh pengguna.

Kita nantikan hasil lanjutan siasatan pihak berkuasa di sana ya.

KESIMPULAN

Setelah meneliti semula kisah-kisah sebelum dan kebarangkalian punca peristiwa ini berlaku, sesungguhnya manusia itu perlu sedar bahawa tidak semestinya ilmu yang ada pada diri kita ini sudah mencukupi untuk dijadikan hujah dalam membenarkan sesuatu perkara. Pandangan pakar dan orang sekeliling perlu ditimbang tara dalam memutuskan tindakan terutamanya hal yang melibatkan nyawa dan ekspedisi berbahaya seperti ini. 

Oleh itu, kisah ini perlu dijadikan ibrah kepada kita yang masih hidup untuk jalani kehidupan ini tanpa rasa bongkak dan meletakkan kekuasaan Allah Yang Maha Besar mengatasi segalanya. Manusia hanyalah meminjam kudrat daripada-Nya dan setiap yang berlaku atas keizinan-Nya. Adapun punca dan faktor sekeliling hanyalah sebab-musabab dan perlu dimuhasabah oleh kita semua.

Apa-apapun, kita mendoakan agar keluarga-keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi berita ini, seterusnya siasatan-siasatan lanjutan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Sesungguhnya sepertimana Buya Hamka pernah menyebut bahawa, “Tiada ‘seandainya’ di dunia ini kerana Allah telah memilih cara kematian yang terbaik untuk hamba-Nya.”

Semoga Allah berikan pengakhiran yang baik kepada kita, dalam keadaan diredhai-Nya.

RUJUKAN

  1. 4 Info Penting Ekspedisi Kapal Selam Titan Ke Bangkai Titanic (says.com)
  2. Beratus Orang Maut, Ini 3 Tragedi ‘Misteri’ Kapal Selam Yang Pernah Menggemparkan Dunia (yoy.my)
  3. STORY Penumpang Pernah Menaiki Kapal Selam Titan, Diminta Melakukan Ini: ‘Sijil Tandatangan Kematian’ – Halaman 4 – TribunStyle.com (tribunnews.com)
  4. Mengenal Kapal Selam Titan yang Hilang Saat Menuju Bangkai Titanic (kompas.com)
  5. Apa Itu Kapal Selam Titan OceanGate dan Bagaimana Cara Kerjanya? (tirto.id)
  6. Profil OceanGate Perusahaan Pemilik Titan, Kapal Selam Wisata Titanic yang Hilang (msn.com)
  7. Titan sub implosion: What we know about catastrophic event – BBC News
  8. Missing Titanic sub used a game controller to navigate, but it’s actually not that weird (msn.com)
  9. Marine Scientist Says Submersibles Are More Reliable When Kept Simple (insider.com)
  10. Sebelum Kapal Selam Titan Hilang, Piawaian Keselamatan Dipersoalkan Sejak 2018 | kumparan.com
  11. Tragedi Titan: CEO abai amaran tahap keselamatan kapal selam | Astro Awani

SUMBER GAMBAR : The Titanic in our collection | Royal Museums Greenwich (rmg.co.uk)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts