Teknostres dilema pendidikan di Malaysia?

Era pendigitalan kini, pendidikan dan teknologi berpisah tiada. Pendekatan pendidikan telah berubah secara drastik susulan kemajuan teknologi menawarkan spektrum baharu yang dilihat lebih mudah, pantas dan efisien.

Tanpa kita sedar, pengintegrasian teknologi dalam bidang pendidikan telah membawa kepada satu fenomena negatif berkait dengan psikologi manusia, iaitu teknostres. 

Di Malaysia, teknostres menjadi satu dilema yang semakin meresahkan dalam dunia pendidikan. Kebelakangan ini, teknostres menjadi antara topik utama yang dibincangkan oleh pakar dan dilaporkan di media tempatan.

Apa itu teknostres?

Teknostres

Teknostres merujuk kepada tekanan yang timbul akibat penggunaan teknologi yang berlebihan atau tidak efektif. Hal ini berkait dengan ketidakmampuan seseorang untuk mengatasi atau beradaptasi dengan perubahan teknologi, sehingga mempengaruhi kesejahteraan mental dan emosi individu.

Adakah teknostres ini baru muncul beberapa tahun ini?

Tidak. Fenomena ini telah diperkenalkan dan dibincangkan sejak 1948 oleh Brod dalam bukunya berjudul “Technostress : The Human Cost of The Computer Revolution”. Menurut beliau, teknostres terbentuk dalam dua cara, iaitu semasa individu bertindak menerima teknologi komputer dan juga pada tahap yang lebih khusus iaitu apabila individu cuba mengidentifikasikan teknologi komputer dengan lebih mendalam lagi.

Sebelum ini, teknostres mungkin tidak dirasai semua kerana bukan semua pekerjaan memerlukan kepada kepakaran penggunaan teknologi. Tetapi, fasa pandemik telah merubah segalanya apabila hampir semua sektor perlu bergantung kepada teknologi. Lebih-lebih lagi sektor pendidikan. 

Biarpun sekarang, dunia telah beralih ke fasa bebas pandemik, penggunaan teknologi terus dikekalkan dan diperkasakan. Keadaan teknologi yang semakin pantas berubah semakin meningkatkan lagi tekanan dalam diri. 

Baik pelajar di bangku sekolah, sehinggalah mahasiswa di universiti, penguasaan teknologi telah menjadi satu keperluan bagi memenuhi tuntutan dunia pendidikan yang telah disatupadukan dengan teknologi baharu.

Sumber : https://www.forskning.no/arbeid-norges-handelshoyskole-partner/ledere-ma-hjelpe-ansatte-med-teknostress/519708

Teknostres dalam konteks pendidikan

Di Malaysia, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam sistem pendidikan adalah bertunjangkan teknologi. Hal ini telah merangsang fenomena teknostres dalam kalangan murid, mahasiswa, guru, termasuklah individu-individu sekitar yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Manakala, proses pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta pengurusan pentadbiran sekolah telah menjadi norma semasa. Hal ini telah membawa kepada cabaran tersendiri.

Beberapa cabaran dihadapi yang membawa kepada teknostres.

  1. Ketidakseimbangan penggunaan teknologi : Keupayaan mengakses tanpa sempadan menggunakan teknologi sebagai sumber pendidikan akan membawa kepada penggunaan yang berlebihan atau tidak seimbang, sehingga mengganggu pemfokusan pelajar. Hal ini turut mencipta kesenjangan digital dalam kalangan murid yang tidak mampu mengakses teknologi dengan mudah.
  2. Pelatihan dan pemahaman yang kurang : Kebanyakan guru dan pengurus sekolah mungkin tidak mempunyai latihan yang mencukupi dalam menguasai penggunaan teknologi. Hal ini menyebabkan timbulnya rasa tidak selesa dan kebingungan ketika perlu mengintegrasikan teknologi dalam pengamalan pengajaran dan pengurusan sekolah.
  3. Gangguan terhadap keseimbangan hidup : Penggunaan teknologi yang berlebihan akan mengganggu keseimbangan antara kehidupan profesional dan peribadi seseorang. Terlalu banyak waktu yang dihabiskan di hadapan skrin komputer atau telefon akan mengganggu masa tidur, aktiviti luar dan interaksi sosial.
  4. Ketidaksempurnaan infrastruktur : Masih wujud kawasan-kawasan yang mempunyai akses yang terbatas atau tidak stabil bagi sambungan infrastruktur teknologi. Hal ini menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi menjadi semakin sukar.

Baru-baru ini, Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya menyatakan bahawa kesukaran pelajar untuk mengikuti rentak perubahan teknologi, lebih-lebih lagi dalam keadaan kurang kemahiran asas, memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik dan kesejahteraan kehidupan pelajar secara keseluruhan. Tekanan teknologi secara berterusan boleh menyumbang kepada isu kesihatan mental, seperti kebimbangan dan kemurungan, seterusnya menjejaskan keupayaan pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seharian.

Kesimpulan

Kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan tingkah anak-anak muda yang semakin tidak gemar dengan pendidikan. Manakala, prestasi PISA 2022 juga mencatatkan rekod yang kurang memuaskan. Teknostres mungkin menjadi satu faktor yang menyumbang kepada perkara-perkara ini, yang mana minat pelajar semakin direncatkan dan mereka mula hilang kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Oleh itu, teknostres antara dilema dalam institusi pendidikan yang perlu diberi perhatian dan dirawat dengan kadar segera. Pihak kerajaan perlu menitikberatkan aspek ini dalam pembentukan dasar dan polisi pendidikan yang lebih efektif dan ‘mesra pelajar’.

Rujukan

  1. https://www.sinarharian.com.my/article/22027/teknofobia-cetuskan-teknostres
  2. https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/01/teknostres-ganggu-kecemerlangan-mahasiswa/
  3. https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolumnis/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/keperluan-pengurusan-teknostres-dalam-pendidikan
  4. https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2023/12/1188921/perhebat-literasi-digital-bantu-pelajar-tangani-teknostres
  5. https://journalarticle.ukm.my/21844/1/61324%20210137%201%20PB%20Teknostres%20dalam%20kalangan%20Warga%20Pendidik.pdf
  6. https://ozgurhabergazetesi.com/saglik/stresle-basa-cikmanin-yollari/
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts