ASPEK NEGATIF MEMPENGARUHI KECEMERLANGAN MURID KOREA SELATAN DALAM MATEMATIK?

Matematik merupakan subjek yang sering dilihat sukar oleh hampir semua orang di seluruh dunia. Sehinggakan terdapat segelintir murid yang menganggap subjek ini sebagai satu bebanan. 

Hatta, Maryam Mirzakhani yang merupakan ahli matematik wanita pertama memenangi anugerah pingat penganugerahan tertinggi dalam bidang matematik setaraf dengan Nobel Prize juga melalui satu fasa ketakutan yang dahsyat yang dikenali sebagai keresahan bermatematik (mathematical anxiety).

Keresahan bermatematik inilah yang banyak melanda murid-murid di seluruh dunia.
Persoalannya, adakah ketakutan dan keresahan ini tidak melanda murid-murid di beberapa buah negara yang sering mengungguli carta Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)?

Jawapannya, sudah pasti ada. 

Lebih menariknya apabila satu artikel pada tahun 2021 yang mengkaji kejayaan pencapaian murid-murid dalam subjek matematik di Korea Selatan mendedahkan bahawa aspek negatif inilah yang mempengaruhi kejayaan murid-murid di sana.

Aneh bukan?

Mari kita lihat secara terperinci tentang resipi unik ini.

Resipi Unik Korea Selatan

Tahukah anda, biarpun murid-murid di Korea Selatan kebanyakannya cemerlang dalam matematik sehinggakan berjaya mengungguli kedudukan dalam peperiksaan TIMSS, hakikatnya mereka tidak menyukai matematik. Sama seperti murid-murid di kebanyakan negara.

Dalam keadaan mereka tidak suka juga, mereka masih mampu mengaplikasi konsep dan skil matematik dalam menyelesaikan masalah harian. Hal ini dibuktikan melalui pencapaian cemerlang murid-murid Korea dalam PISA, yang soalan-soalannya adalah untuk menguji kemahiran murid mengaplikasi konsep matematik dalam kehidupan. 

Lalu, bagaimanakah mereka masih mampu melakukan yang terbaik? 

Peranan pihak kerajaan memainkan peranan yang besar untuk menangani isu ini. Kementerian Pendidikan di Korea telah menggubal kurikulum dan prasarana pembelajaran matematik yang menarik bagi menimbulkan keseronokan mereka mempelajari subjek tersebut, sekaligus membajai hati mereka tentang kesedaran terhadap kepentingan matematik dalam kehidupan. Oleh yang demikian, biarpun mereka tidak menyukai subjek ini, tetapi mereka cuba memaksa diri untuk melakukan yang terbaik. Perasaan-perasaan negatif terhadap matematik tidak menjadi alasan untuk mereka mengabaikan dan tidak mahu mempelajari matematik. 

Adakah mereka tertekan?

Ya. Mereka masih tertekan. Tetapi, langkah kerajaan Korea yang senantiasa menyediakan sokongan dan dokongan telah menjadi faktor yang mempositifkan fikiran dan langkah mereka untuk menguasai matematik. Hal ini turut dibuktikan dalam satu kajian di Korea.

Dalam satu kertas kajian yang diterbitkan pada tahun 2021 oleh Jeongsuk Pang dan Wee Tiong Seah, mereka cuba meneroka nilai-nilai yang boleh menerangkan perhubungan kontradik antara tingkah laku negatif murid terhadap matematik dan pencapaian mereka yang memberangsangkan di mata dunia.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan murid-murid di Korea menitikberatkan nilai kefahaman, perhubungan, keseronokan, ketepatan dan keberkesanan dalam sesi pembelajaran matematik. Nilai-nilai ini terhasil setelah berlakunya reformasi kurikulum mengikut tahap murid yang membawa kepada penghayatan nilai intrinsik dalam diri mereka, seterusnya membentuk motivasi dalaman murid untuk terus ‘bertahan’ dengan matematik. 

Kewujudan nilai-nilai ini adalah berbeza mengikut tahap sekolah dan universiti. Walau bagaimanapun, hasil kajian tersebut mendapati nilai kefahaman dan perhubungan mendominasi tingkah murid-murid di Korea. Atas dasar kefahaman tentang kepentingan matematik dalam kehidupan, mereka berusaha mempelajarinya dan berupaya menghubungkan skil dan konsep dalam masalah harian. Dalam hal ini juga, guru-guru memainkan peranan signifikan dengan mengetengahkan teknik pengajaran yang mementingkan kefahaman murid dalam sesuatu soalan dan masalah, bukannya mementingkan markah.

Perkara-perkara yang dibincangkan dalam kertas kajian iini juga pernah dibincangkan oleh seorang penganalisis pendidikan di Korea pada tahun 2020 dalam sebuah artikel akhbar ‘Korea JoongAng Daily’ yang bertajuk, “Pelajar Korea mendekati kedudukan teratas dalam matematik dan sains, tetapi mendekati lantai bawah dalam kepercayaan diri.”

Hal ini sekaligus membuktikan keadaan kontradik ini memang membelenggu murid-murid di Korea Selatan dalam mempelajari matematik.

Kesimpulan

Baru-baru ini, Malaysia telah menerima tamparan hebat tentang kedudukan dalam PISA 2022. Dalam menilai punca kemerosotan pencapaian Malaysia dalam kedudukan ujian antarabangsa ini, pihak kerajaan atau agensi-agensi pendidikan perlu meneliti semula pelaksanaan dasar dan sistem sedia ada, apakah benar-benar efektif untuk diteruskan atau diimplementasikan bagi konteks pendidikan kini. Hal ini kerana, dasar dan polisi yang digubal oleh kerajaan memainkan faktor penting dalam menentukan nilai dan kejayaan murid. Selain itu, semua pihak terlibat termasuklah murid-murid perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya untuk menjayakan agenda pendidikan negara. Sepertimana yang ditunjukkan oleh kajian di atas, reformasi pendidikan di Korea terlaksana dengan baik sekali kerana semua pihak di setiap peringkat memainkan peranan dengan baik dan holistik dalam keadaan mereka turut berhadapan dengan cabaran dan kesukaran seperti kita, di Malaysia.

Rujukan
  1. https://journals.sagepub.com/doi/pdf/10.1177/2096531120930726
  2. https://gpseducation.oecd.org/CountryProfile?primaryCountry=KOR&treshold=10&topic=PI
  3. https://siakapkeli.my/2023/12/07/catat-skor-rendah-kedudukan-malaysia-dalam-pisa-2022-merosot/
  4. https://www.researchgate.net/publication/351103912_Higher_Order_Thinking_Skills_HOTS_in_Lower_Secondary_School_Mathematics_Classroom_in_Malaysia_and_South_Korea
  5. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/12/1190694/usah-melulu-ambil-model-pendidikan-luar
  6. https://www.majalahsains.com/pentaksiran-pisa-di-mana-kedudukan-malaysia-untuk-literasi-matematik-dalam-kalangan-negara-asia-tenggara/
  7. https://koreajoongangdaily.joins.com/2020/12/08/national/socialAffairs/TIMSS-Education-Ministry-mathematics/20201208185200505.html
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts