“Sedar tak sedar, iklim dunia kini sangat berbeza dengan dahulu.”
Secara mata kasar, inilah kesimpulan logik yang dibuat berdasarkan perbezaan ketara melalui kesan-kesan yang berlaku pada alam seperti pencairan bongkah ais, fenomena alam tidak menentu, dan skala peristiwa-peristiwa yang semakin besar.
Menariknya, selain melihat, kita juga dapat ‘mendengar’ akan ketaranya perbezaan yang berlaku setelah data perubahan iklim yang kompleks ditukarkan kepada muzik menerusi proses sonifikasi.
Beberapa orang saintis telah berinisiatif untuk menceritakan tentang perubahan iklim planet kita dalam bentuk yang menarik dengan menukarkan sebuah data kering kepada melodi yang hidup.
PROSES SONIFIKASI
Proses sonifikasi adalah kaedah untuk menukar data kepada bunyi, menyediakan alternatif auditori kepada paparan visual. Proses ini melibatkan pertukaran data kepada gelombang bunyi, membolehkan representasi data dalam cara yang baru dan inovatif.
Dalam konteks perubahan iklim, sonifikasi digunakan untuk mewakili data seperti perubahan suhu, kenaikan paras laut, atau penunjuk alam sekitar lain sebagai corak bunyi. Corak bunyi yang dihasilkan boleh mengambil pelbagai bentuk seperti melodi, irama, atau tekstur bergantung kepada jenis data yang diwakili dan kesan yang diinginkan.
Dengan menyediakan representasi auditori data, sonifikasi membantu meningkatkan pemahaman dan penglibatan manusia dengan data yang kompleks.
KISAH DARI JEPUN
Baru-baru ini, Hiroto Nagai, seorang saintis dan komposer dari Universiti Rissho, Jepun, telah mencipta sebuah komposisi muzik instrumental bertajuk “String Quartet No 1: Polar Energy Budget” yang berdasarkan data iklim Artik dan Antartika selama 30 tahun (1982-2022). Komposisi berdurasi 6 minit ini merupakan hasil sonifikasi data iklim kutub. Kisah latar belakang tentang bagaimana komposisi ini disusun telah diterbitkan pada 18 April 2024 dalam jurnal iScience sebagai sebahagian daripada koleksi “Meneroka Hubungan Seni-Sains”.
Nagai berharap karyanya dapat menjadi titik penting dalam peralihan penggunaan data, selain hanya digunakan oleh saintis, tetapi juga dimanfaatkan oleh seniman untuk berkarya. Dia memilih menggunakan muzik kerana keupayaannya dalam membangkitkan respons emosional.
Dalam proses pembuatan komposisi, Nagai menambah intervensi komposer untuk membina ketegangan dan menambah dinamik pada muzik yang dihasilkan daripada data iklim. Tujuannya adalah agar ramai orang tertarik untuk mengenali bagaimana perubahan iklim berlaku berdasarkan masuk-keluar tenaga di kutub, melalui pengalaman mendengar muzik.
Nagai mengumpulkan data tersedia merangkumi pengukuran gelombang radiasi pendek dan panjang, hujan, suhu permukaan, dan ketebalan awan, di empat lokasi kutub antara tahun 1982 dan 2022. Empat lokasi tersebut ialah di lapisan ais Greenland, stesen satelit di Kepulauan Svalbard, Norway, dan dua stesen penyelidikan milik Jepun di Antartika.
Kemudian, dia memain-mainkan nada titik data, menetapkan seksyen kepada instrumen : dua biola, satu viola dan satu cello. Tidak terbatas hanya pada proses sonifikasi data yang menukarkan data kepada audio, Nagai percaya bahawa proses me’muzik’kan data memerlukan campur tangan manusia supaya lebih artistik. Beliau memperkenalkan irama, sengaja mengeluarkan bunyi tertentu, dan memperkenalkan bahagian yang ditulis tangan (bukan berasaskan daripada data) ke dalam komposisi.
Muzik ini telah dipersembahkan di Universiti Waseda, Tokyo pada Mac 2023 dan menarik perhatian seorang pemain biola professional, Haruka Sakuma.
KAJIAN YANG SAMA TELAH DIBUAT SEBELUM INI
Selain Hiroto Nagai, terdapat seorang lagi saintis telah memberi ‘suara’ kepada planet iaitu Daniel Crawford.
Daniel Crawford, seorang pelajar geografi dan pemain cello di University of Minnesota, terinspirasi untuk menulis muzik berdasarkan data perubahan iklim selepas menjalani latihan industri di makmal dendrokronologi. Profesornya, Scott St. George, bertanyakan kepadanya jika dia fikir mungkin untuk mengubah set data menjadi sepotong muzik. Sebagai seorang pemain cello, Crawford menerima cabaran tersebut dan menulis sepotong cello solo yang dipanggil “A Song of Our Warming Planet” pada tahun 2013, yang menggunakan data suhu global selama 132 tahun untuk menggubah muzik.
Dua tahun kemudian pada tahun 2015, Crawford menggubah sebuah karya baru untuk kuartet senar yang dipanggil “Planetary Bands, Warming World”. Karya ini menggunakan data suhu global dari tahun 1880 hingga 2015, dengan setiap instrumen mewakili zon iklim yang berbeza di Hemisfera Utara. Crawford ingin mencipta cara baru untuk menyampaikan data perubahan iklim yang boleh menyentuh orang yang mungkin tidak dapat berhubung dengan graf dan nombor.
Inspirasi untuk mengubah data menjadi muzik datang daripada keinginan Crawford untuk menyampaikan kecemasan dan kepentingan mesej perubahan iklim dengan cara yang menarik. Beliau percaya muzik boleh merentasi jurang antara logik dan emosi, membenarkan orang merasai data itu daripada hanya sekadar melihatnya. Dengan menterjemahkan nombor menjadi melodi, Crawford berharap untuk mencipta hubungan yang lebih intim dan rentan dengan penonton mengenai isu perubahan iklim.
Walau bagaimanapun, Nagai telah mengembangkan peranan interpretasi secara artistik dalam inisiatif terbaru ini menerusi proses yang disebut sebagai “musification”. Hal ini lebih menghasilkan melodi yang berseni.
Dalam pada itu, proses sonifikasi dalam menukarkan data kompleks berkenaan alam kepada muzik telah dilaksanakan dalam satu projek khas “TheClimateMusic” yang membawa bersama saintis, ahli muzik dan pakar teknologi bunyi dalam satu kumpulan bagi menghasilkan simfoni seiring bahasa sains bagi menceritakan tentang perubahan kritikal yang telah berlaku pada bumi sejak beratus tahun lamanya.
KESIMPULAN
Uniknya bagaimana bunyi dapat memainkan peranan penting dalam membantu manusia memahami dunia sekitar dengan lebih mendalam.
Maha Suci Allah yang mengurniakan idea sebegini hebat kepada manusia bagi memperlihat kesan dan akibat daripada tangan manusia. Sesungguhnya perubahan-perubahan ini adalah kesan daripada kerosakan yang dilaksanakan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana telah dinyatakan dalam al-Quran :
Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat ke-41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Maka, teknologi kini sepatutnya dimanfaatkan sebagai alat untuk mendekati diri kita dengan Allah. Sebagai hamba-Nya, kita perlu bermuhasabah akan hakikat bahawa dunia ini dan seluruh isinya hanyalah pinjaman. Maka, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk menjaga segalanya dengan baik sebelum tiba masanya kita perlu pulang kembali kepada-Nya dengan keadaan yang baik.
RUJUKAN
- https://www.sciencedaily.com/releases/2024/04/240418111919.htm
- https://www.cell.com/action/showPdf?pii=S2589-0042%2824%2900844-7
- https://www.smithsonianmag.com/science-nature/this-song-composed-from-133-years-climate-change-data-180956225/
- https://phys.org/news/2023-11-nasa-telescope-music-play.html
- https://chandra.si.edu/sound/
- https://www.nationalgeographic.com/environment/article/climate-change-earth-poles-music-composition-japan
- https://www.wired.com/story/climate-symphony-data-sonification/
- https://www.soundoflife.com/blogs/design/the-sound-of-science-transforming-climate-change-data-into-music
- https://www.forbes.com/sites/lesliekatz/2024/04/18/composer-turns-climate-data-into-music-hear-the-stirring-result/?sh=504e4aa74d22
- https://images.app.goo.gl/pnDnhzC4TEHbHvn4A