MATEMATIK DALAM KEJAYAAN PENAKLUKAN KONSTANTINOPEL

Pada 29 Mei 1453, dunia menyaksikan peristiwa besar yang mengubah peta sejarah iaitu kejatuhan Kota Konstantinopel ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kejayaan yang menamatkan era Empayar Byzantium ini sering dikenang kerana strategi ketenteraan, keberanian tentera Uthmaniyyah, dan hadis Nabi Muhammad SAW tentang penaklukan kota tersebut. 

Sabda Baginda S.A.W: “Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya sewaktu itu sebaik-baik raja yang ada. Tenteranya juga sebaik-baik tentera.”

(Direkodkan oleh Ahmad)

Hampir 29 kali percubaan telah dibuat oleh bangsa-bangsa besar dunia bagi menawan kota ini, antaranya bangsa Gothic, Avars, Russia, Khazah dan tentera Salib. Akhirnya, kemenangan berpihak kepada Sultan Muhammad Al-Fateh.

Semua sudah tahu, antara faktor utama kemenangan ini adalah disebabkan semangat jihad dan keteguhan iman. Namun, jangan kita lupa pada penguasaan ilmu. 

Sultan Muhammad Al-Fateh bukan calang-calang pemuda. Baginda telah menuntut ilmu seawal usia dan mampu bertutur dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Turki, Greek, Serbia, Arab, Parsi, Hebrew dan Latin. Ketika beliau menawan Kota Konstantinopel, beliau hanya berusia 21 tahun. Subhanallah!

Lukisan masyhur wajah Sultan Muhammad Al-Fateh


Antara ilmu utama yang beliau kuasai untuk menjayakan misi penaklukan ini ialah ilmu matematik!

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH MENGUASAI ILMU MATEMATIK

Sultan Muhammad Al-Fateh menerima pendidikan yang sangat menyeluruh sejak kecil, merangkumi bukan sahaja ilmu agama tetapi juga bidang sains dan matematik. 

Sebagai putera mahkota, baginda diasuh oleh para ulama dan guru terkemuka seperti Sheikh Aaq Shamsuddin, Syeikh Bayram, Mulla Ilyas Effendi, dan Syeikh Al-Kurani. Kurikulum madrasah istana Uthmaniyyah ketika itu menekankan penguasaan pelbagai disiplin termasuk fiqh, tafsir, hisab (aritmetik) dan hendese (geometri).

Ilmu matematik, khususnya aritmetik dan geometri, dipandang penting kerana ia menjadi asas kepada pengiraan jarak, pembinaan kubu pertahanan, perancangan logistik ketenteraan, dan kejuruteraan senjata. Menurut catatan, dua individu yang mengajar ilmu matematik kepada baginda ialah Syeikh Khairudin dan Syeikh Sirajuddin al-Halbi.

Pendidikan matematik yang diterima sejak kecil memberi baginda keupayaan untuk memahami kerja jurutera serta menilai cadangan teknikal yang kompleks. Kesungguhan Sultan Muhammad al-Fateh mempelajari matematik bukanlah sekadar minat peribadi, tetapi menjadi bekalan intelektual yang penting dalam kepemimpinannya. Bahkan dikatakan penguasaan matematik baginda dan tenaga pakarnya melangkaui zaman itu. 

Mari kita lihat secara jelas bagaimana matematik diaplikasikan dalam strategi penaklukan Kota Konstantinopel.

APLIKASI MATEMATIK DALAM STRATEGI PENAKLUKAN

1. Perancangan Ketenteraan yang Tepat

Sebelum mengepung kota, Sultan Muhammad al-Fateh memastikan segala perancangan dibuat secara teliti. Matematik menjadi asas dalam pengiraan keperluan logistik: jumlah tentera, bekalan makanan, dan masa perjalanan. Pengiraan ini bukan sekadar nombor, tetapi melibatkan aritmetik dan statistik asas untuk memastikan lebih 80,000 tenteranya mampu bertahan dalam pengepungan berbulan-bulan.

2. Kejuruteraan dan Geometri dalam Pembinaan Meriam

Meriam Usmaniah adalah antara bukti kekuatan ketenteraan mereka. Dikhabarkan bahawa, penggunaan meriam adalah teknologi terbaru ketika zaman itu.

Sultan Muhammad Al-Fateh memanfaatkan kepakaran dari Hungary untuk mencipta meriam gergasi yang berat bom ditembak seberat 300 kilogram dan daya lemparannya mencecah sejauh satu batu. Reka bentuk meriam memerlukan kefahaman geometri, khususnya dalam pengiraan diameter laras, sudut lontaran, dan jarak tembakan optimum. Matematik membantu menentukan parabola peluru meriam, memastikan peluru batu dapat memecahkan tembok tebal Kota Konstantinopel yang selama berabad-abad dianggap kebal.

Untuk menarik meriam tersebut memerlukan kepada 700 orang. Manakala, bagi memasukkan bom ke dalamnya memerlukan masa selama dua jam. Maka, Sultan Muhammad Al-Fateh mengerahkan hampir 3000 orang tentera untuk mengendalikan meriam tersebut. Meriam-meriam yang diperbuat daripada gangsa itu kemudiannya ditanam di sebelah hujung bagi menyerap tekanan letupannya.

3. Taktik Pemindahan Kapal di Darat

Strategi paling mengagumkan ialah pemindahan kapal melalui daratan, dari Selat Bosphorus ke Tanduk Emas. Kekuatan tentera, tenaga haiwan dan jumlah serta berat kapal dihitung secara matematik dengan tepat oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebanyak 70 buah kapal gergasi Usmaniah diluncurkan dari daratan sejauh lima kilometer di atas batang-batang kayu yang diatur dan diminyakkan tanpa disedari Byzantine. Kapal-kapal ini berjaya muncul di depan Kota Konstantinopel sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang terpasang pada masa yang ditetapkan. 

Menurut sejarawan, sebarang kelewatan dari masa asal akan mendatangkan akibat buruk kepada strategi Sultan Muhammad Al-Fateh. Maka, penguasaan matematik dalam pengiraan setiap perencanaan memainkan peranan penting.

Bayangkan, bagaimana hebatnya strategi ini sehingga tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mampu menembusi tembok setebal empat lapis, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki! Ingat, mereka bukannya melalui jalan rata, sebaliknya permukaan bukit-bukau yang cukup mencabar. Dan mereka berjaya melaksanakannya hanya pada satu malam!

4. Seni Bina Pertahanan dan Serangan

Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengarahkan pembinaan benteng pertahanan menghadap tembok Kota Konstantinopel dalam masa tiga bulan sahaja dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Salah satunya ialah menyempurnakan pembinaan benteng Rumeli Hissari, iaitu tembok laut yang dimulakan pada zaman Sultan Uthman I bagi mengepung musuh.

Benteng besar ini dibina di bahagian paling sempit Selat Bosphorus. Lokasinya sangat strategik kerana dari situ tentera Uthmaniyyah dapat mengawal laluan kapal yang membawa bantuan Eropah ke Konstantinopel. Di seberang selat, sudah wujud benteng lama yang dibina pada zaman Sultan Bayezid, dan kedua-dua benteng ini hanya dipisahkan oleh jarak kira-kira 660 meter.

Pembinaan benteng setinggi 82 meter itu memerlukan perancangan yang rapi dan pengiraan yang tepat. Tentera Uthmaniyyah menggunakan ilmu geometri dan matematik untuk menentukan sudut dinding, ketebalan tembok, serta jarak tembakan meriam supaya peluru dapat menahan mana-mana kapal yang cuba menyeberang. 

Walaupun pihak Byzantium cuba menghalang dengan tawaran hadiah, Sultan Muhammad tetap bertegas kerana memahami kepentingan kedudukan benteng ini secara ketenteraan.

KEJAYAAN PENAKLUKAN

Seorang sejarawan menggambarkan keadaan serangan akhir daripada tentera Sultan Muhammad Al-Fateh:

“Al-Fateh mengebom bandar dengan meriam yang jauh lebih besar daripada yang pernah dilihat sebelum ini. Serangan tepat ke arah tembok kota, benteng terkuat dari Zaman Pertengahan adalah kemenangan bagi senjata moden ini. Usmaniah dan sumber-sumber Barat bersetuju Turki memasuki bandar ini melalui tembok yang dimusnahkan serangan besar-besaran secara serentak oleh meriam-meriam gergasi.”

Akhirnya, Kota Konstantinopel berjaya ditakluk oleh tangan sebaik-baik raja dan tentera seperti sabda Baginda S.A.W. 

KESIMPULAN

Lihatlah bagaimana Matematik yang sering dianggap kering dan abstrak, sebenarnya antara senjata senyap yang membuka pintu kepada keagungan Uthmaniyyah. Sejarah ini wajar menjadi inspirasi untuk generasi kini dalam menguasai ilmu, termasuk matematik, sebagai kunci membina kembali kekuatan dan kegemilangan ummah.

Paling utama, gabungan ilmu dan iman kerana peristiwa ini turut mengingatkan kita bahawa kejayaan umat Islam di masa lalu lahir daripada kesepaduan spiritual dan intelektual. Bukanlah intelektual semata-mata.

RUJUKAN

  1. Jurnal “Strategi Sultan Muhammad II Al Fatih dalam Penaklukan Konstantinopel Tahun 1451-1481 M”,
    https://ejurnal.iainpare.ac.id/index.php/carita/article/view/3408/1188
  2. Buku “Kuasa Kepimpinan Al-Fateh” (2017), karangan Muhammad Syaari Abdul Rahman.
  3. “Tokoh Tamadun Islam Sultan Muhammad Al-Fatih Dipandang Dari Sudut Personaliti”, https://www.tatiuc.edu.my/assets/files/ICTM19-Papers/ICTM-82.pdf
Exit mobile version