Di zaman serba canggih ini, guru mengajar guna papan hitam dan kapur mungkin nampak “old school”. Sekolah dah ada projektor, skrin sentuh, dan tablet, kenapa masih nak berdebu dengan kapur?
Tapi, tahukah anda?
Menariknya, di Jepun, sebuah negara yang sinonim dengan teknologi, papan hitam dan kapur masih menjadi pilihan utama.
Rahsianya terletak pada satu kaedah yang dipanggil bansho.
Kaedah Bansho di Jepun
Bansho ialah kaedah pengajaran dari Jepun yang menekankan penggunaan dan susunan papan, tidak kira sama ada papan kapur, papan putih, atau papan elektronik. Dalam bilik darjah, papan ini bukan sekadar tulis nota, tetapi seni menyusun maklumat semasa mengajar.
Ia memaparkan tugasan dan matlamat pembelajaran, menerangkan proses pemikiran serta kaedah kerja, dan menghuraikan kandungan pelajaran.
Tetapi, kenapa Jepun gemar guna kapur?
Walaupun Jepun terkenal dengan robot dan AI, kebanyakan sekolah mereka masih menggunakan papan hitam tradisional. Sebabnya jelas iaitu kapur tidak perlukan elektrik, tulisan kapur kontras dan mudah dibaca, dan yang paling penting, bansho hanya benar-benar “hidup” apabila guru menulis secara perlahan sambil berinteraksi dengan pelajar.
Dalam beberapa kajian lain, warna hijau di papan dan sentuhan kapur di papan lebih meningkatkan rasa tenang dan daya fokus pelajar.
Proses menulis itu sendiri penting. Bila guru menulis satu persatu, pelajar ada masa untuk berfikir dan bertanya. Ia menjadi sesi “brainstorm” besar-besaran yang semua orang boleh ikuti.
Bayangkan papan hitam sebagai kanvas besar, guru mulakan dengan soalan, kemudian tambah idea pelajar, contoh jawapan, gambar rajah dan akhirnya kesimpulan. Semuanya teratur mengikut aliran pemikiran kelas.
Hasilnya? Pelajar nampak keseluruhan proses berfikir dari awal sampai akhir. Ia bukan hanya “salin nota”, tapi mereka memahami perjalanan logik. Setiap coretan menjadi sebahagian daripada cerita pembelajaran.
Hatta (1971) pernah menulis, “Papan hitam tidak lebih daripada sehelai papan legap, namun ia boleh menjadi jendela yang jelas ke arah dunia. Bansho bukan sekadar berfungsi sebagai alat komunikasi visual; ia berpotensi terzahir sebagai satu ‘dunia’ pada permukaannya, mewakili ruang simbolik untuk hidup dan belajar, serta menjadi medium yang menghubungkan guru dan murid dalam meneroka dunia objektif.”
Petikan ini tepat menggambarkan bagaimana setiap coretan kapur dalam bansho menjadikan papan hitam seolah-olah “hidup”, memaparkan perjalanan idea secara nyata di hadapan pelajar.
Enam Strategi Bansho yang Berkesan
B-Balance (Keseimbangan)
Susun atur papan sangat penting supaya maklumat mudah diikuti. Rancang awal bahagian mana untuk soalan, jawapan pelajar dan rumusan.
Nak pelajar fokus? Gunakan elemen yang mencuri mata seperti gambar berwarna, foto, atau bahan manipulatif. Tapi ingat, semua itu mesti bantu pemahaman, bukan hiasan kosong.
A – Attention-Grabbing (Tarik Perhatian)
Nak pelajar fokus? Gunakan elemen yang mencuri mata seperti gambar berwarna, foto, atau bahan manipulatif. Tapi ingat, semua itu mesti bantu pemahaman, bukan hiasan kosong.
(Sumber: https://www.teachermagazine.com/au_en/articles/enhancing-your-teaching-with-traditional-bansho-board-writing)
N – Nameplate (Kad Nama Pelajar)
Kad nama nampak simple, tapi kesannya besar. Bila pelajar beri pendapat, letak kad nama mereka di tepi jawapan. Mereka rasa dihargai dan nampak bagaimana idea masing-masing bersambung atau berbeza. Kad nama boleh digerakkan atau dikelompokkan semasa perbincangan untuk tunjuk perkembangan idea.
S – Space (Ruang Kosong)
Tak perlu penuhkan setiap inci papan. Ruang kosong beri peluang tambah idea baharu dan tunjuk bagaimana bansho berkembang sepanjang perbincangan. Pelajar boleh lihat proses “membina papan” bersama guru dan rakan.
H – Highlighter (Penegasan Warna)
Gunakan garisan, anak panah atau warna berbeza untuk sambungkan idea penting. Contohnya: putih untuk nota biasa, kuning untuk isi utama, biru untuk “pro”, merah untuk “kontra”. Pelajar jadi lebih mudah nampak kaitan dan fokus pada maklumat penting.
O – Order (Susunan)
Rancang apa yang perlu ditulis dahulu dan seterusnya. Mulakan dengan soalan utama dan objektif, kemudian bina jalan cerita pelajaran berdasarkan idea pelajar. Akhir sekali, buat ringkasan atau refleksi bersama mereka. Tip: semak buku latihan atau tugasan pelajar awal-awal untuk jangka respon mereka dan susun bansho dengan lebih teratur.
Enam langkah ini boleh membantu guru jadikan bansho bukan sekadar papan cantik, tetapi papan yang bercerita memandu pelajar dari mula hingga akhir dengan jelas dan menyeronokkan.
Kesimpulan
Kapur bukan sekadar nostalgia. Dengan pendekatan bansho, papan hitam boleh menjadi ruang “berfikir bersama” yang sukar diganti teknologi. Maka, sebelum kita menganggap kapur sudah ketinggalan zaman, mungkin kita boleh belajar sesuatu daripada guru-guru di Jepun bahawa kadang-kadang, cara lama itulah yang paling maju.
RUJUKAN
- https://web.facebook.com/mazlan.syafie.2025/posts/pfbid02ySvzbLYWYGi2ccsBpP2GLijyTRikymob5vLi86NtYt3F4Bq5tmmNvytAChCERpSjl?rdid=LSyRTuI28fcLkFUw#
- https://bansho.educa.nagoya-u.ac.jp/bansho/index.php/what-is-bansho/
- https://www.teachermagazine.com/au_en/articles/enhancing-your-teaching-with-traditional-bansho-board-writing
- https://jurnalrj.blogspot.com/2021/05/mengapa-jepun-masih-menggunakan-papan.html?utm_source=chatgpt.com
- https://sinarbestari.sinarharian.com.my/komuniti/jepun-masih-guna-papan-hitam-dan-kapur-dalam-pembelajaran-rupa-rupanya-kerana-sebab-ini
- https://www.researchgate.net/publication/385138718_GET_ON_BOARD_WITH_VISUALISING_STUDENTS’_THINKING_THROUGH_BANSHO_IN_LESSON_STUDY_SABAKTY_ZERTTEUDE_BANSHO_KMEGIMEN_OKUSY_OJLAUYN_VIZUALIZACIALAU
