Kalah Lagi … AI Tumpaskan Manusia 10 – 0 dalam StarCraft II dengan Teknik Sangat Menggerunkan

Kecerdasan Buatan (AI) sebelum ini telah mencipta rekod baru yang cukup menggemparkan apabila berjaya menumpaskan manusia dalam permainan Go, sebuah permainan yang dianggap lebih kompleks daripada catur (yang juga kita manusia telah ditumpaskan).

Itu sudah cukup menyedihkan bagi manusia, tapi kumpulan di belakang kecerdasan buatan AlphaStar nampaknya tidak puas melihat manusia kalah, dan kemudian menghasilkan pula AI yang lebih canggih sehingga mampu memenangi permainan StarCraft II.

StarCraft II – Permainan Strategi yang Sangat Mencabar

StarCraft II adalah antara permainan Real Time Strategy (RTS) yang paling mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan antara permainan yang memerlukan kemampuan strategi, kepantasan berfikir dan kelajuan tindakan per minit (Action per minute) yang seolah – olah hanya mampu dibuat manusia super (superhuman).

Persaingan permainan tersebut tersangat sengit. Itulah sebabnya pemenang StarCraft World Championship tahun lepas membawa pulang wang sebanyak $280,000

Related image
$280,000 mungkin nampak macam banyakk. Tapi percayalah, melainkan anda orang Korea, tak berbaloi cuba. Sebab SC2 dikuasai sepenuhnya Korea. (Kecuali tahun lepas pertama kali orang bukan Korea menang, jadi ada kot harapan)

Ringkasnya, untuk memenangi sebuah permainan StarCraft II, pemain perlu menguasai dua aspek: pengurusan makro dan pengurusan mikro.

Pengurusan makro adalah pemain perlu menguruskan membina markas, menguruskan sumber, membina unit, dan menjaga bekalan.

Image result for starcraft2 base
Pengurusan markas

Pengurusan mikro pula adalah pemain perlu mengawal unit – unit tentera mereka sewaktu bertempur supaya setiap serangan yang dibuat menghasilkan keputusan paling efektif.

Image result for starcraft2 micro
Pertempuran unit.

Maka untuk menang, anda perlu cepat berfikir, bijak merancang, dan mampu menekan papan kekunci dan tetikus dengan sangat laju, menjangkau 390 APM.

Animated GIF
Mak ai, kenapa main game pun boleh nampak macam stress sangat.

AI Sebelum Ini Sangat Susah Kuasai StarCraft II

Walaupun AI sudah ‘khatam’ dalam permainan seperti Atari, Mario, Quake III, dan Dota 2, ia sangat susah menguasai kerumitan permainan StarCraft.

Cabaran – cabaran besar berikut amat sukar dipatahkan oleh AI:

  • Game Theory: StarCraft, seperti permainan gunting batu kain, tiada satu strategi yang betul – betul muktamad. Maka AI perlu sentiasa meneroka sempadan – sempadan baru pengetahuan.
  • Maklumat tidak Lengkap: Tak seperti permainan seperti catur dan Go di mana pemain dapat tengok keseluruhan papan permainan, pandangan pemain terhalang dan hanya boleh dibuka dengan visi unit mereka.
  • Perancangan panjang: Permainan boleh mencapai durasi 1 jam, bermakna tindakan yang dibuat pada awal permainan boleh beri kesan jangka panjang.
  • Real time: Tak seperti permainan papan tradisional, di mana setiap pemain menunggu giliran, pemain Starcraft perlu berterusan membuat tindakan.
  • Medan permainan yang luas: ratusan unit dan bangunan perlu diuruskan dalam satu masa, menghasilkan ruang kemungkinan yang sangat besar.

AI Deepmind bernama AlphaStar kemudian tampil ke hadapan menjawab semua cabaran – cabaran ini, dan membuat manusia ternganga.

AlphaStar, Juara yang Berlatih Selama Ratusan Tahun

Dalam Dragon Ball (atau anime Jepun secara umum), semua watak boleh menjadi kuat dengan berlatih.

Apabila timbul watak jahat yang berkali – kali ganda lebih kuat, mereka kemudian dihantar berlatih di Hyperbolic Time Chamber, di mana 1 tahun di dalam bersamaan 1 hari di luar. Hasilnya, mereka boleh luang bertahun – tahun untuk berlatih untuk menumpaskan lawan selang beberapa hari.

Image result for hyperbolic time chamber
Satu tahun di sini sama dengan 1 hari di luar. Jadi ini tempat terbaik habiskan marathon One Piece.

Itulah yang dilakukan oleh AI AlphaStar yang ternyata sangat menggerunkan. Ia telah dilatih untuk bermain StarCraft, dalam tempoh masa menyamai 200 tahun permainan di dunia sebenar.

Pada mulanya, rangkaian neural itu dilatih dengan belajar daripada pemerhatian terhadap cara permainan manusia. Maka AlphaStar kemudian boleh belajar, dengan cara meniru, strategi – strategi yang digunakan oleh pemain di tangga permainan StarCraft.

Liga AlphaStar. Agen dilatih daripada permainan manusia, kemudian ditempurkan sesama sendiri dalam liga.

Agen yang awal kemudian berjaya menumpaskan AI tahap ‘elit’, iaitu lebih kurang tahap emas bagi pemain manusia.

Agen – agen AI ini kemudian disimulasikan untuk berentap sesama sendiri dan setiap pemenang akan mendaki anak tangga. Maka mesin tersebut mempelajari sendiri strategi – strategi yang berkesan, pematah strategi tersebut, cara permainan mana yang sesuai untuk melawan cara permainan lain, semuanya dalam ‘otak’ mesin tersebut.

Apatah lagi, beribu – ribu permainan StarCraft dimainkan serentak dalam masa 14 hari, dan segala data daripada simulasi tersebut menyamai 200 tahun masa permainan StarCraft dunia sebenar.

Pemain manusia paling lama dalam Esport StarCraft pun hanya belasan tahun.

Maka apabila AlphaStar dihadapkan dengan pemain profesional TLO, manusia tumpas 5 – 0 dengan sebuah permainan mencatat masa yang sangat pendek, hanya 17 minit.

Kemudian manusia tidak berpuas hati, dan menghantar pula MaNa, salah seorang pemain StarCraft paling hebat dalam dunia. Sekali lagi, kita kalah 5 – 0.

Mungkin selepas ini manusia boleh bungkus barang dan tidak perlu lagi terima sebarang cabaran daripada robot.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts