15 Fobia Pelik yang Kita Tak Sangka Wujud

Rasanya hampir setiap orang alami pengalaman yang mereka takut lain macam dan cuba sedaya upaya untuk jauhi. Ketakutan yang melampau dan kadang kala tidak rasional ini dipanggil fobia.

Penulis sendiri alami fobia terhadap ketinggian – yang dipanggil akrofobia. Maka pengalaman paling menakutkan penulis di sekolah adalah apabila kelas ditempatkan di tingkat 3 dan terpaksa melalui tebing yang entah kenapa, rasa begitu rendah sekali. Ketar kaki jugalah setiap hari, tapi tak beritahu orang.

Fobia pula dibahagikan kepada beberapa jenis, menurut American Psychiatric Association (APA) iaitu:

  • Fobia spesifik: Iaitu ketakutan melampau yang tidak rasional terhadap suatu pencetus yang spesifik.
  • Fobia sosial atau ‘anxiety disorder’: Ketakutan melampau dimalukan di depan khalayak atau dihakimi oleh orang lain. Ini tidak sama dengan rasa segan.
  • Agorafobia: Ketakutan berada dalam situasi yang sangat sukar untuk melepaskan diri lantas mencetuskan panik yang melampau , seperti berada dalam lif atau luar rumah.

Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis fobia pelik yang kita tak sangka wujud, dan entah bagaimana, terdapat nama yang dikhaskan untuk setiap fobia tersebut (siapa yang cipta semua nama tu?)

Berikut adalah 15 fobia – fobia pelik tersebut:

Mortuusequusphobia : Takutkan Sos

Walaupun ini sangat jarang ditemui, terdapat beberapa kes orang yang begitu tidak menyenangi cecair pencecah berwarna merah ini. Terdapat seorang penghidap fobia ini yang mengatakan dia lebih takutkan sos Heinz berbanding kematian.

Koumpounophobia : Takutkan Butang.

Orang yang mengalami fobia ini tidak boleh menyentuh butang. Tengok pun tak boleh. Mungkin kalau beraya dia membeli baju Melayu jenis zip.

Pogonophobia : Takut Janggut.

Entah kenapa, ada orang dalam dunia ini yang bencikan janggut. Mungkin sebab dia tak dapat tumbuh janggut kot.

Didaskaleinophobia : Takut Pergi Sekolah

Tekanan sosial menjadi antara punca utama mengapa kanak – kanak bencikan sekolah. Terdapat antara mereka yang dibuli dan menghadapi tekanan ekstrim sehingga tidak dapat meneruskan persekolahan.

Allodoxaphobia : Takutkan Pendapat Orang Lain

Lebih khusus, takutkan pandangan orang lain terhadap dirinya. Hari ini media sosial boleh menyebabkan orang takut dengan pandangan pengguna lain, apatah lagi apabila dihujani dengan pelbagai kata – kata nista.

Lepidopterophobia : Takutkan Rama – rama

Sesetengah orang mengatakan corak pergerakan rama – rama yang tidak menentu menjadikan mereka tidak senang.

Nomophobia : Takut tak Dapat Pegang Telefon

Perkataan ini datang daripada ‘no – mobile – phone phobia’ dan ini merupakan phobia yang kian menyerang orang zaman moden. Biasanya penghidap phobia ini tidak mahu berenggang dengan telefon dan rasa susah hati apabila terpaksa meninggalkannya walaupun hanya beberapa jam.

Robophobia : Takutkan Robot dan Kepintaran Buatan

Melangkah ke alam Revolusi Industri 4.0, ketakutan terhadap robot semakin meningkat. Adakah mereka akan membantu menyenangkan hidup manusia atau bakal memusnahkan manusia ala filem sci – fi?

Phagophobia : Takut Menelan

Individu yang mengalami fobia ini kadang kala dapat menelan cecair dan makanan separa pepejal dalam beberapa percubaan – ini yang membolehkan mereka terus hidup. Bagaimanapun, golongan ini biasanya kurus kering dan kemurungan akibat fobia mereka.

Cemophobia: Takutkan Bahan Kimia Sintetik Moden

Bagi sesetengah orang, mereka begitu takutkan apa saja yang miliki nama saintifik kimia. Yang pasti golongan ini pasti alami masalah dalam kelas kimia sekolah dan kolej.

Triskaidekaphobia : Takut Nombor 13

Nombor ini mula dikaitkan dengan nasib malang seawal tahun 1890 apabila Kristian mengaitkan santapan terakhir Jesus, di mana Judas yang mengkhianati Jesus didapati duduk di tempat yang ketiga belas.

Tetraphobia : Takut Nombor Empat

Fobia ini banyak didapati di negara Asia seperti China, Korea, Jepun dan Taiwan di mana nombor empat dianggap nombor yang bernasib malang. Nombor empat dalam budaya – budaya tersebut miliki bunyi yang sama seperti ‘mati’.

Cherophobia : Takut Gembira

Ada sesetengah orang yang takut berasa gembira. Ini bukanlah bermakna mereka sentiasa bersedih, tetapi mereka risau kegembiraan mereka akhirnya sia – sia dan tidak bermakna. Maka mereka menghindari aktiviti – aktiviti yang boleh membawa kegembiraan.

Chiclephobia : Takut Gula – gula Getah

Oprah Winfrey mungkin merupakan orang yang terkenal yang miliki fobia ini.

Melophobia : Takut Muzik

Orang yang mengalami melophobia begitu sensitif dengan perubahan nada yang drastik – iaitu sifat utama muzik. Mereka biasanya tidak mendengar muzik atau mendengar dengan jumlah yang begitu sedikit.

Total
19
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts