Terdapat beberapa percubaan orang untuk mencabar teori Einstein yang mengatakan bahawa “tiada apa yang boleh bergerak lebih laju dari cahaya”. Antaranya adalah teori gunting superluminal yang boleh mengatasi kelajuan cahaya.
Andaikan kita mencipta gunting yang sangat panjang. Rakan anda bernama Izzat, duduk di sebelah pangkal pertemuan dua bilah gunting, manakala Peah duduk di sebelah hujung gunting tersebut. Panjang bilah gunting tersebut ialah 1 tahun cahaya. Kemudian anda menutup gunting tersebut dalam masa sesaat. Haa! titik pertemuan dua bilah gunting telah bergerak ke hujung gunting dalam masa 1 saat! Ini bermakna, Izzat telah bergerak menemui Peah dengan kelajuan 1 tahun cahaya per saat!
Ehh. Tapi bukankah had laju maksimum ialah had laju cahaya? Izzat dan Peah hanya mampu bergerak dengan halaju 1 tahun cahaya per tahun. Jadi, apa yang berlaku? Adakah Izzat dan Peah bergerak mengatasi kelajuan cahaya?
Jawapan ringkasnya ialah tidak. Mengapa tidak?
Teori Kerelatifan Khas telah menyatakan bahawa halaju cahaya merupakan had laju paling tinggi di alam semesta. Ini bermaksud, segala interaksi di alam semesta ini dihadkan pada halaju cahaya.
Gunting tersebut adalah satu objek fizikal yang terdiri daripada atom-atom. Maka atom-atom ini juga mematuhi teori kerelatifan khas; atom-atom pada gunting tersebut berinteraksi pada had laju maksimum cahaya. Interaksi antara atom-atom ini adalah melalui daya elektromagnet. Atom-atom ini ‘melekat’ antara satu sama lain disebabkan oleh daya coulomb (sebahagian daya elektromagnet). Anda mungkin pernah tahu mengenai daya ini, iaitu daya antara dua cas positif akan menolak, manakala cas positif dan cas negatif akan menarik. Daya antara atom ini menarik antara satu sama lain dengan had laju maksimum bersamaan dengan had laju cahaya.
Apabila anda menutup bilah gunting tersebut, atom-atom pada gunting di tangan anda akan berinteraksi dengan atom-atom di sebelahnya, dan atom tersebut juga akan menghantar maklumat kepada atom yang seterusnya untuk bergerak dan bercantum dengan bilah gunting pasangannya. Penghantaran maklumat ini terhad kepada halaju cahaya.
Secara mudahnya, jika anda menutup gunting tersebut sepantas 1 saat, bahagian muncung bilah gunting masih lagi terbuka. Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun untuk tutup. Ini bermakna, gunting tersebut akan melentur sepanjang bilahnya. Malah, lenturan ini mungkin membentuk seakan-akan sebuah ‘gelombang’ yang merambat ke muncung gunting tersebut.
Adakah Izzat dan Peah berjaya memecah halaju cahaya? Nampaknya tidak. Cuba lagi ya!