10 Fakta Astronomi yang anda perlu tahu

Astronomi adalah satu bidang sains yang paling tua bagi peradaban manusia. Sejak awal peradaban manusia, kita telah mula melihat ke angkasa bagi mempelajari tentang khazanah-khazanah alam semesta yang ada. Di malam hari, kita dapat lihat pergerakan planet, bintang dan galaksi merentasi langit malam. Di siang hari pula, kita dapat lihat Matahari yang banyak memberi manfaat kepada kita. Apabila kita mendongak ke langit, banyak persoalan yang bermain di fikiran kita. Kita ingin tahu di manakah kedudukan sebenar kita di alam semesta? Bintang apa yang paling besar? Dan banyak lagi persoalan-persoalan lain di fikiran. Jika anda ada soalan yang berkaitan, bolehlah tulis di ruangan komen.

Pengetahuan manusia semakin berkembang selari dengan perkembangan teknologi. Semakin besar teleskop yang dibina, semakin banyak bintang dan galaksi dapat dicerap, semakin banyak persoalan yang timbul. Khazanah ilmu di alam semesta ini luas. Tak dapat kita kuasai dalam umur kita yang singkat ini. Namun, jangan kita tinggalkan kesemuanya. Oleh itu, artikel ini akan berkongsi kepada anda tentang 10 fakta astronomi yang kita patut tahu.

Fakta #1 Kita berada dalam sistem suria

Bumi yang didiami oleh manusia adalah satu-satunya planet yang pernah didiami oleh manusia. Planet kita ini pula terletak dalam satu sistem yang dikenali sebagai sistem suria. Sistem suria ini boleh kita anggap sebagai satu keluarga yang terdiri daripada Matahari sebagai bintang di tengah-tengah, dikelilingi oleh 8 planet, planet-planet kerdil, komet, asteroid dan batuan-batuan lain yang mengelilingi Matahari.

Fakta #2 Hanya 6 planet yang dapat dilihat dengan mata kasar

Sistem suria kita mempunyai 8 jasad yang dikategorikan sebagai planet. Planet mengikut urutan jarak terdekat dari Matahari ialah Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun. Namun daripada 8 planet ini, hanya 6 yang dapat dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan teleskop iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari dan Zuhal. Planet Uranus dan Neptun pula memerlukan bantuan teropong atau teleskop untuk dicerap.

Fakta #3 Gerhana berlaku setiap tahun

Anda pasti pernah dengar fenomena gerhana matahari dan gerhana bulan kan? Gerhana Matahari berlaku apabila bulan melintasi antara Bumi dan Matahari dalam satu garis lurus. Gerhana Matahari hanya dapat disaksikan pada waktu siang. Gerhana bulan pula berlaku apabila Bumi melintasi antara Bulan dan Matahari dalam satu garis lurus, dan hanya dapat disaksikan pada waktu malam. Gerhana ini mungkin dianggap jarang berlaku. Namun pada hakikatnya, gerhana berlaku setiap tahun. Cuma hanya sebahagian tempat yang dapat saksikan gerhana untuk satu-satu tahun.

Fakta #4 Matahari adalah bintang

Apabila kita lihat langit yang tak berawan pada waktu malam, kita dapat saksikan banyak bintang yang bertaburan di angkasa. Bintang-bintang ini bercahaya disebabkan berlakunya pelakuran hidrogen yang membentuk helium dan melepaskan tenaga cahaya dan haba. Bintang-bintang ini hanya dapat dilihat pada waktu malam. Namun, kita sebenarnya dapat lihat bintang pada waktu siang. Ya, bintang itu adalah matahari kita! Matahari juga bercahaya dan panas disebabkan proses pelakuran hidrogen. Jika kita berada jauh dari Matahari, Matahari akan kelihatan seperti sebutir bintang sahaja seperti bintang-bintang yang kita lihat pada waktu malam.

Fakta #5 Galaksi kita ialah Bima Sakti (Milky Way)

Anda pasti pernah lihat gambar-gambar galaksi yang indah di internet. Tahukah anda, kita juga berada dalam sebuah galaksi yang dikenali sebagai galaksi Bima Sakti atau Milky Way. Kita dapat lihat galaksi kita pada waktu malam di bahagian selatan langit. Galaksi kita ini berbentuk pilin berpalang (barred spiral galaxy), dan sistem suria berada pada satu bahagian lengan galaksi kita.


Fakta #6 Terdapat ratusan bilion bintang dalam galaksi

Dalam sistem suria, ada ahli-ahlinya yang terdiri daripada Matahari, planet, planet kerdil, asteroid, komet dan batuan-batuan lain. Begitu juga dengan galaksi. Galaksi terdiri daripada kumpulan bintang-bintang yang diikat antara satu sama lain disebabkan graviti. Dalam sesebuah galaksi, terdapat ratusan bilion bintang di dalamnya! Galaksi kita ini mengandungi lebih 250 bilion bintang yang membentuknya.

Fakta #7 Terdapat ratusan bilion galaksi di alam semesta

Galaksi kita mempunyai 250 bilion bintang. Sebahagian galaksi lain mempunyai lebih 1 trilion bintang, manakala sebahagian lain mempunyai bilangan yang kurang dari itu. Namun yang lebih menakjubkan, alam semesta kita ini mengandungi ratusan bilion galaksi di dalam nya. Bahkan mungkin lebih dari itu! Dalam setiap galaksi ini mempunyai berbilion bintang. Dan kebanyakan bintang mempunyai sistem planet tersendiri seperti sistem suria. Banyaknya khazanah ilmu di alam semesta ini!

Fakta #8 Sistem Suria berumur 4.6 bilion tahun

Setiap yang hidup, pasti ada permulaannya. Manusia biasanya hidup sekitar 60 hingga 80 tahun. Namun bagi jasad-jasad samawi, nilai ini hanyalah sekelip mata. Jika diperhatikan, umur sistem suria kita adalah sekitar 4.6 bilion tahun! Kalau nak faham dengan lebih jelas, 4 bilion tahun adalah 4 000 000 000 tahun! Fuh lama tu! Ini juga bermaksud matahari dan planet-planet di sistem suria ini terbentuk kira-kira 4.6 bilion tahun lalu.

Fakta #9 Alam semesta berumur 14 bilion tahun

Jika sistem suria berumur 4.6 bilion tahun, bagaimana pula dengan alam semesta? Sudah tentu alam semesta lebih tua. Berdasarkan ilmu sains hari ini, dan cerapan-cerapan oleh teleskop, umur alam semesta adalah sekitar 14 bilion tahun! Sistem suria kita ini hanyalah lebih kurang 1/3 daripada umur alam semesta. Tua kan? Setiap yang hidup, pasti akan mati.

Fakta #10 Hanya 4 peratus kandungan alam semesta yang kita dapat lihat

Walaupun teknologi hari ini berkembang pesat, khazanah-khazanah alam semesta dikorek hari-hari, namun rahsia yang terkandung di alam semesta ini sangatlah sedikit yang kita ketahui. Daripada keseluruhan isi kandungan alam semesta, kita hanya dapat lihat dan cerap 4 peratus sahaja daripada kandungan alam semesta. Baki 96 peratus alam semesta ini terdiri daripada jirim-jirim dan tenaga-tenaga yang tak dapat kita lihat dan cerap. 70 peratus terdiri daripada tenaga gelap (dark energy) manakala 26 peratus terdiri daripada jirim gelap (dark matter). Yang kita dapat cerap, hanya 4 peratus yang dikenali sebagai jirim nampak (visible matter). 4 peratus ini pun kita tak dapat faham sepenuhnya.

Sesungguhnya alam semesta ini penuh dengan rahsia-rahsia tentang kehebatan Penciptanya. Kita ditugaskan untuk menggunakan khazanah alam semesta ini untuk beribadah kepada-Nya. Marilah sama-sama kita mengkaji alam semesta ini dan merungkai ilmu-ilmu yang ada. Namun kita harus ingat, ilmu kita ini sangatlah terbatas. Semakin banyak kita kaji, semakin banyak persoalan yang timbul. 1 soalan terjawab, timbul lagi 100 soalan lain. Begitulah hakikat manusia yang lemah ini.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts