5 Peristiwa Kepupusan Terbesar Di Planet Bumi

Kepupusan adalah apabila suatu spesis itu hilang dan lenyap secara keseluruhan dari muka Bumi ini. Kita sedia tahu bahawa banyak spesis telah pupus sepanjang zaman semenjak dahulu lagi. Antara kepupusan yang diketahui umum ialah kepupusan dinosaur jutaan tahun lalu. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa dinosaur ini sebenarnya hidup dalam beberapa era dan setiap era ini, mempunyai peristiwa kepupusan atau ‘kiamat kecil’nya yang tersendiri yang menghapuskan hampir keseluruhan hidupan yang hidup pada era tersebut. Keseluruhannya, terdapat sebanyak lima peristiwa kepupusan besar yang telah melenyapkan lebih 3 per 4 spesis yang hidup pada sesuatu era tersebut. Jom kita lihat 5 peristiwa kepupusan yang telah berlaku dan juga 1 tambahan yang menarik untuk dihayati.

Kepupusan Ordocivian

Pengakhiran era Ordovician ini berlaku kira-kira 444 juta tahun lalu dan telah mengorbankan sekitar 85 peratus spesis laut yang wujud ketika itu. Peristiwa kepupusan Ordovician atau Ordovician-Silurian ini diteorikan berlaku dalam dua kali ‘pukulan’. Kedua-dua pukulan ini dikaitkan dengan pengglasieran atau penghasilan glasier di Gondwana (benua utama di Bumi ketika itu). Pukulan pertama yang membunuh hidupan ketika itu dikaitkan dengan penurunan suhu Bumi disebabkan glasier dan penurunan paras laut. Selepas pukulan pertama berakhir, hidupan yang masih ada terus beradaptasi dengan norma baharu. Namun tidak lama kemudian, paras laut semakin meningkat dan perubahan iklim berlaku sekali lagi, kehidupan-kehidupan mula mati dan tidak sempat beradaptasi dengan perubahan yang ketara ini.

Kepupusan Devonian

Kepupusan terbesar yang kedua ialah pada penghujung era Devonian iaitu sekitar 370 juta tahun lalu. Pengakhiran era ini telah membunuh 50 peratus genus ketika itu dan sekitar 70 hingga 82 peratus spesis telah pupus. Namun, tidak seperti kepupusan lain, kepupusan Devonian ini tidak disepakati akan sebab ia berlaku. Malah, tempoh peristiwa kepupusan ini juga agak panjang berbanding kepupusan lain iaitu selama tiga juta tahun. Oleh itu, banyak teori yang diusulkan tentang akibat berlakunya kepupusan Devonian ini. Antaranya ialah sinaran daripada letupan supernova yang berdekatan, letusan gunung berapi dan pelepasan magma yang berterusan.

Kepupusan Permian-Triassic

Kepupusan Permian-Triassic ini berlaku pada penghujung era Permian dan awal era Triassic iaitu kira-kira 250 juta tahun lalu. Peristiwa ini merupakan peristiwa kepupusan yang paling buruk pernah berlaku berbanding 4 peristiwa yang lain kerana ia telah mengorbankan 95 peratus daripada spesis yang melata di daratan dan yang berenang di lautan. Terdapat dua sebab yang diusulkan oleh para ahli paleontologi iaitu hentaman oleh asteroid dan letusan gunung-gunung berapi secara besar-besaran. Hasilnya ialah peningkatan suhu global sebanyak 6 darjah Celcius dan pengeluaran gas rumah hijau yang ketara dan seterusnya membunuh kebanyakan hidupan yang hidup.

Kepupusan Triassic-Jurassic

Era Triassic telah menyaksikan dinosaur pertama muncul dan melata di Bumi setelah peristiwa Kepupusan Permian-Triassic sebelum itu. Dalam era Triassic, Bumi ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Pangea dan Panthalessa. Pangea ialah sebuah benua super gergasi dan satu-satunya benua yang wujud pada ketika itu yang merupakan gabungan benua-benua yang ada hari ini. Manakala lautan pada waktu tersebut pula ialah Panthalessa dan merangkumi seluruh Bumi kecuali benua Pangea. Hidupan ketika ini merupakan saki baki spesis yang terselamat daripada kepupusan sebelum itu. Namun mereka tidak hidup lama. Selepas 50 juta tahun daripada peristiwa Kepupusan Permian-Triassic, benua Pangea mula merekah dan terpisah. Kemudian aktiviti letusan gunung berapi semakin meningkat di seluruh benua Pangea. Pelepasan gas karbon dioksida telah menyebabkan pemanasan global dan juga telah menyebabkan air laut menjadi berasid. Akibatnya, banyak hidupan daratan dan lautan telah terkorban. Namun, tidak semua pupus dan ada yang berjaya mengharungi malapetaka ini.

Kepupusan Cretaceous

Selepas peristiwa kepupusan Triassic-Jurassic, kebanyakan hidupan yang melata di muka Bumi ialah dinosaur manakala hidupan di lautan didominasi oleh Mosasaur. Era Jurassic dan Cretaceous ini adalah era dinosaur yang biasa kita kenal melalui filem seperti Jurassic Park dan Jurassic World. Tyrannosaurus Rex atau lebih dikenali sebagai T-Rex, Titanosaurus dan Brachiosaurus yang berleher panjang, Stegosaurus yang mempunyai plat tajam di belakang, kesemua dinosaur ini hidup pada era Jurassic dan Cretaceous. Pada era ini juga, benua-benua mula bergerak dan membentuk 7 benua yang ada pada hari ini. Pengakhiran dinosaur ini berlaku sekitar 66 juta tahun lalu iaitu apabila sebuah asteroid sebesar 11 hingga 81 kilometer menghentam Bumi dan mengakibatkan malapetaka yang berganda-ganda seperti tsunami yang besar, peningkatan suhu yang ketara, kemusnahan hutan dan debu asap yang melitupi langit. Keadaan ini telah mengorbankan majoriti dinosaur di daratan, hidupan di lautan serta tanam-tanaman.

Demikianlah 5 peristiwa kepupusan terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah Bumi kita. Namun, ia masih belum berakhir. Para saintis berpendapat bahawa kita sedang melalui fasa kepupusan ke 6 dan peristiwa ini bukanlah disebabkan oleh asteroid, letusan gunung berapi atau gempa Bumi, tetapi disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri yang melenyapkan banyak spesis yang ada di Bumi ini. Jadi, marilah kita berusaha memelihara flora dan fauna yang ada daripada berlakunya kepupusan. Kurangkan penggunaan kereta atau motosikal dan banyakkan menggunakan basikal atau bas untuk bergerak bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, elakkan pembakaran terbuka, kurangkan penggunaan plastik dan cuba berusaha semampu mungkin untuk memelihara khazanah yang ada hari ini.

Rujukan

  1. https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1342937X13000154
  2. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0012825218305099
  3. https://www.annualreviews.org/doi/abs/10.1146/annurev.earth.29.1.331
  4. https://www.pnas.org/content/117/35/21008
  5. https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0169534703000934
  6. https://www.livescience.com/43295-triassic-period.html
  7. https://www.livescience.com/28739-jurassic-period.html
  8. https://advances.sciencemag.org/content/1/5/e1400253
Total
146
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts