10 Fakta tentang Bumi yang Kita Patut Tahu

Bumi kita ini adalah satu-satunya planet yang didiami oleh manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan sejak ribuan tahun lalu. Ratusan juta tahun lalu, dinosaur-dinosaur mendiami planet ini dan kemudian selepas era dinosaur berakhir, kita pula yang hidup di sini. Planet ini ialah tempat kehidupan kita. Rumah kita. Segala urusan kehidupan kita, dilakukan di Bumi. Semakin kita melata di Bumi, semakin kita kagum dengan segala yang ada di Bumi. Namun, sebanyak mana yang kita ketahui tentang Bumi kita ini? Dalam artikel ini, kita akan lihat 10 fakta yang menarik tentang Bumi kita ini.

10. Bumi ialah planet ketiga dari Matahari

Bumi kita ini terletak dalam sebuah sistem bintang yang dikenali sebagai sistem suria. Di dalam sistem suria ini, Matahari berada di pusatnya, dan terdapat 8 planet yang mengelilingi Matahari pada jarak masing-masing. Bumi merupakan salah satu planet ini dan ia merupakan planet ketiga daripada susunan jarak planet ke Matahari dengan purata jarak 150 juta kilometer dari Matahari.

9. Bumi bukan berbentuk sfera unggul

Bumi sebenarnya bukanlah sebuah sfera yang betul-betul sfera tetapi Bumi ini terbonjol sedikit disebabkan oleh putaran Bumi. Bagi sfera yang unggul, ia akan mempunyai jejari yang sama di semua lokasi. Jarak dari permukaan ke pusat sfera adalah sama panjang. Bumi berbentuk sfera oblat iaitu sfera yang ‘dipenyekkan’ pada kawasan kutub utara dan selatan. Oleh itu, jarak dari kutub utara dan selatan ke pusat Bumi adalah lebih hampir berbanding jarak dari khatulistiwa ke pusat Bumi.

8. Satu putaran Bumi pada paksinya bukan 24 jam

Kita tahu bahawa 1 hari adalah bersamaan dengan 24 jam dan kita juga tahu bahawa Bumi ini berputar pada paksinya. Namun, satu putaran 360° Bumi adalah lebih kecil daripada 24 jam iaitu hanya sekitar 23 jam 56 minit dan 4 saat. Perbezaan ini adalah disebabkan oleh kesan gerakan Bumi pada orbitnya. Bumi bukan sahaja berputar, tetapi ia juga mengorbit Matahari. Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh membuat carian perbezaan hari sidereus dan hari suria.

7. Benua dan Lautan Gergasi di Bumi

Bumi kita pada hari ini terdiri daripada 7 benua dan 4 lautan. Namun, keadaan Bumi jutaan tahun lalu berbeza dengan keadaan pada hari ini. Sekitar 300 juta tahun lalu, Bumi hanya terdiri daripada 1 benua gergasi yang diberi nama Pangea serta 1 lautan gergasi yang diberi nama Panthalessa. Dinosaur yang ada pada ketika ini dapat melata ke seluruh kawasan daratan di Bumi. Benua Pangea ini tidak kekal lama. Benua ini melalui beberapa proses pemisahan sepanjang ratusan juta tahun sehinggalah kepada keadaan pada hari ini.

6. Umur Bumi ialah 4.5 bilion tahun

Segala makhluk yang ada di alam semesta ini mempunyai tarikh lahir masing-masing. Begitu juga dengan Bumi. Bumi kita berumur sekitar 4.5 bilion tahun (atau 4500 juta tahun). Umur ini dapat ditentukan berdasarkan kajian mengenai Matahari, Bulan dan juga batu-batuan yang wujud di Bumi. Kelahiran Bumi ini berlaku serentak dengan kelahiran sistem suria. Oleh sebab itu, Matahari dan planet-planet di dalam sistem suria mempunyai umur yang hampir sama iaitu sekitar 4.5 bilion tahun.

5. Peparit Mariana ialah dasar laut paling dalam di Bumi

Bumi kita ini dipenuhi oleh lautan. Jika kita pergi ke lautan, berapa dalam kita boleh pergi sebelum mencapai dasarnya? Kalau di tepi pantai, sudah pasti dasarnya tidaklah begitu dalam. Tak sampai 10 meter pun. Namun apabila kita pergi ke tengah-tengah laut, dasar laut tersebut akan menjadi sangat dalam. Dasar laut yang paling dalam di muka Bumi ini adalah di suatu kawasan peparit yang dinamakan sebagai peparit Mariana. Kawasan ini terletak di barat Lautan Pasifik dan 200 kilometer timur dari pulau Mariana.

4. Lebih ¾ udara Bumi ialah nitrogen

Antara sebab Bumi kita ini dapat didiami oleh manusia adalah sebab atmosferanya yang selamat untuk manusia. Seperti yang kita sedia maklum, manusia memerlukan oksigen untuk bernafas. Namun, sebenarnya udara atau atmosfera di Bumi kita ini bukanlah oksigen sepenuhnya. Udara yang kita hirup ini mengandungi 78% nitrogen, 20% oksigen dan 2% gas-gas lain. Pecahan udara ini yang membolehkan kita bernafas. Jika peratus oksigen terlalu tinggi, kita boleh mengalami keracunan oksigen dalam darah kita.

3. Oksigen merupakan unsur paling banyak di Bumi

Eh, bukankah nitrogen yang paling banyak seperti pada nombor 4? Ya, nitrogen merupakan unsur paling banyak dalam atmosfera, namun dalam kerak Bumi, unsur yang paling banyak ialah oksigen yang merangkumi 46.4% daripada jisim Bumi diikuti oleh silikon (28.2%) dan aluminium (8.3%).

2. Planet dengan hanya 1 bulan

Sistem suria kita terdiri daripada 8 buah planet. 2 daripadanya tidak mempunyai bulan iaitu planet Utarid dan Zuhrah. Manakala 6 planet lain mempunyai bulan masing-masing yang mengelilingi planet tersebut termasuklah Bumi. Bumi ialah satu-satunya planet dengan hanya 1 bulan yang mengelilinginya.

1. Paksi Bumi condong 23.5° dari orbitnya

Bumi kita berputar pada paksinya dan juga mengelilingi Matahari. Putaran Matahari menyebabkan perubahan siang dan malam. Manakala pusingan orbit Bumi mengelilingi Matahari pula menyebabkan berlakunya 4 musim. Kejadian 4 musim ini adalah disebabkan kecondongan Bumi pada paksinya iaitu sebanyak 23.5° daripada satah orbitnya. Disebabkan kecondongan ini, pada bulan tertentu, sebahagian Bumi akan menerima cahaya Matahari dengan lebih lama berbanding bahagian Bumi yang lainnya.

Total
71
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts