Muntahan Emas Lebah

Lebah terkenal sebagai agen pendebungaan yang mendebungakan hampir 75% buah-buahan, sayur-sayuran dan pokok kekacang. Kita akan sangat bermasalah jika lebah ini tidak ada. Tetapi bila ditanya pada setiap orang yang ada di Malaysia apa yang mereka tahu tentang lebah pasti jawapannya “madu”.

Foto 1 : Lebah Apis mellifera

Peladang yang terlibat dengan perusahaan madu lebah boleh dapat lebih kurang 50 kg madu dari satu sarang lebah setahun. Madu dibuat daripada nektar bunga. Tetapi perlu diingat madu itu sama sekali tidak sama dengan nektar.

Foto 2 : Nektar pada bunga bagi pisang

Lebah akan mencari bunga-bunga yang berhampiran dengan sarangnya. Apabila dijumpai bunga ini, lebah akan meluru ke bunga dan menjunamkan kepalanya terlebih dahulu. Dengan menggunakan lidah yang panjang, lebah akan menyedut nektar bunga dan menelan nektar ini, masuk ke salah satu dari dua perut yang dimiliki lebah. Perut ini dipanggil perut madu. Seekor lebah berkemungkinan perlu menyedut lebih daripada seribu bunga untuk memenuhkan perut madu ini.

Foto 3 : Lidah bagi lebah
Foto 4 : Perut lebah ada dua, iaitu perut madu dan perut

Sesudah menyedut seberapa banyak nektar yang boleh, lebah akan pulang ke sarangnya. Sepanjang perjalanan pulang, enzim pencernaan mulai dirembes perut madu lebah dan mulai menukarkan nektar menjadi bendalir melekit dan manis yang berwarna keemasan ataupun dipanggil madu.

Apabila sampai di sarang, lebah ini akan memuntahkan semula madu ke dalam mulut lebah pekerja yang berada di dalam sarang. Seperti satu rantaian. Madu ini akan dimuntahkan pula oleh lebah pekerja ke lebah pekerja yang lain. Proses memuntah dan menelan dari satu lebah pekerja ke satu lebah pekerja sangat penting dalam menambah lagi enzim pencernaan yang akan menukarkan rantaian panjang gula kompleks kepada gula yang lebih ringkas seperti glukosa dan fruktosa.

Foto 5 : Lebah akan muntah dan lebah pekerja lain akan menelan muntahan tersebut

Selepas sampai di ruang simpanan madu di dalam sarang lebah, lebah pekerja akan memuntahkan madu di tempatnya. Walaupun selepas mengalami proses muntah, telan dan muntah, madu ini masih berair. Untuk memekatkan dan menghilangkan kuantiti air pada madu, lebah akan mengibaskan sayapnya untuk meningkatkan kadar penyejatan air pada madu. Kuantiti air yang kurang dan keasidan yang ada pada madu menyebabkan madu bukanlah tempat yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Ini sekaligus, menyebabkan madu tahan lama.

Untuk menghasilkan 1 kg madu memerlukan lebih 20,000 lebah yang perlu hinggap pada 8 juta bunga. Ini memerlukan dedikasi, kerjasama dan komunikasi yang bagus di antara lebah pekerja.

RUJUKAN

  1. “Western honey bee”, Wikipedia, https://en.wikipedia.org/wiki/Western_honey_bee
  2. “How Do Bees Make Honey?” Youtube , https://www.youtube.com/watch?v=nZlEjDLJCmg&t=70s
Total
14
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts