Einstein pernah mengatakan:
Jika anda tak mampu menerangkan dengan mudah, itu bermakna anda belum cukup faham
Kebiasaannya, masalah dalam pembelajaran adalah apabila kita merasa kabur (lost) terhadap apa yang diajar dalam silibus. Terutama sekali fizik. Kenapa selepas bab optik diajar selepas elektrik? Kenapa kosmologi lain sangat dengan ‘mekanik klasik’? Apa kaitan hukum pergerakan Newton dengan teori atom?
Kadangkala, terasa seolah – olah kesemua bab – bab tersebut tercerai antara satu sama lain, tiada kaitan. Kalau mata pelajaran sejarah sekurang – kurangnya kita diajar menurut kronologi peristiwa, tapi untuk subjek seperti fizik, apa susunannya?
Untuk menjawab soalan ini, seorang pengguna Youtube yang juga merupakan seorang ahli fizik, Dominic Walliman, melukis satu ‘Peta Fizik’ yang mengaitkan topik – topik fizik dalam satu diagram yang cantik.

Nampak menakutkan jangan risau, beliau turut menyertakan satu video penerangan yang hanya sepanjang 8 minit.
Keseluruhan dunia fizik diterangkan hanya dalam 8 minit!
Dalam peta dan video tersebut, fizik dibahagikan kepada beberapa pecahan utama:
- Fizik Klasik – Topik – topik fizik yang biasa diajarkan di sekolah – sekolah seperti hukum gerakan newton, optik, elektromagnet. Sewaktu fizik klasik dikembangkan sekitar tahun 1900, ahli sains menganggap alam ini bersifat mekanistik – iaitu macam pergerakan jam. Mereka anggap dengan mengguna pakai formula – formula fizik, segala pergerakan alam dapat diramal. Namun kemudian muncul dua cabang baru dalam fizik moden.
- Relativiti – Einstein merupakan antara nama terbesar yang mengembangkan cabang ini. Ringkasnya, pada kelajuan cahaya serta untuk objek – objek sangat besar seperti planet, bintang dan cakerawala, hukum gerakan Newton dan mekanik klasik tidak lagi terpakai dan digantikan dengan relativiti.
- Fizik Kuantum – Fizik kuantum pula berkait rapat dengan keadaan objek – objek yang sangat kecil seperti atom, elektron dan partikel – partikel lain. Situasi dunia – dunia elemen yang kecil ini sangat pelik seperti satu partikel boleh berada di beberapa tempat pada satu masa, terdapat tahapan tingkatan tenaga – tenaga tetap dan banyak lagi ciri – ciri aneh yang tak dapat diterangkan dengan fizik klasik.
- ‘Jurang kejahilan‘ – Kedua – dua cabang fizik kuantum dan relativiti bagaimanapun masih belum dapat dicantumkan , dan ia menjadi satu impian besar ahli fizik untuk ‘mengahwinkan’ kedua – duanya. Tapi sebelum ia berjaya dicapai, kita masih dalam kejahilan. Bukan itu saja, banyak lagi yang kita belum tahu mengenai tenaga gelap dan jisim gelap, sedangkan 95% alam kita terdiri daripada keduanya! Bermakna pengetahuan fizik kita sekarang hanyalah 5% daripada keseluruhan alam!
- Falsafah – falsafah sains adalah ‘awan’ yang menaungi fizik. Ia sebenarnya sangat penting, dan membentuk cara pandang dan cara fikir ahli sains terhadap alam serta data – data baru yang diperoleh. Kadang kala, apabila paradigma sains sekarang tidak lagi mampu untuk menjawab soalan – soalan penting dapatan sains, paradigma yang baru diperlukan yang mungkin mentunggangterbalikkan keseluruhan sains.
Kesimpulannya, lebih banyak kita belajar, lebih banyak kita sedari bahawa kita amat jahil. Ini sudah pasti menimbulkan kerendahan hati dalam diri kita.