Dalam internet, ada banyak benda yang mencetuskan pergaduhan dan pertelingkahan. Iya lah, nama pun internet. Daripada pergaduhan watak kartun yang mana paling kuat, kepada filem mana paling best, orang sentiasa miliki sebab untuk bertengkar dengan orang yang mereka tak kenali di internet.
Namun jika ada suatu perkara yang mempunyai ‘kuasa’ untuk mencetuskan pergaduhan dahsyat warga netizen di seluruh dunia, ia adalah soalan matematik ini:

Berapa Jawapan 6÷2(1+2) ? 9 Atau 1?
Soalan ini ada beberapa versi lain, seperti 144 ÷ 3(8 + 4), atau 48/2(9+3). Tapi 6÷2(1+2) adalah versi yang paling banyak dikongsi di media sosial.

Apa yang paling membuat kita menarik rambut sekuatnya setiap kali bertemu dengan soalan ini di Facebook, adalah kita begitu yakin dengan jawapan kita. “Tak mungkin ia salah, ini yang kita telah belajar dari dulu”
Tapi kemudian kita buka komen dan ratusan orang memilih jawapan yang ‘salah’. Bukan itu saja, mereka mengatakan kita pula yang salah dan dungu!

Sekali lagi, terdapat dua jawapan yang sering diperdebatkan, iaitu 1 atau 9. Mari kita lihat bagaimana jalan kerja yang menghasilkan kedua – dua jawapan tersebut:
Jawapan Pertama | 1
Berikut adalah jalan kerja yang menghasilkan jawapan 1:
6÷2(1+2)
= 6÷2(3)
= 6÷6
= 1
Jawapan Kedua | 9
Berikut adalah jalan kerja yang menghasilkan jawapan 9:
6÷2(1+2)
= 6÷2(3)
= 3×3
= 9
Jadi Apa Jawapannya!!?
Sabar, sabar. Perkara pertama yang mungkin kita lakukan adalah cuba mengesahkan menggunakan kalkulator.
Apa jawapan yang diberi oleh kalkulator Google?

Ok takpe. Mari cuba Wolfram Alpha pula:

Nampaknya jawapan – jawapan kalkulator internet adalah 9. Tapi tak mungkin kan?? Sebab jawapannya 1 kan??? Google malah pernah dimarahi dalam forum kerana ‘tak faham Bodmas’ dan diminta untuk membetulkan kalkulator mereka.
Namun, video yang mungkin paling popular berkenaan perdebatan ini menjelaskan, bahawa jawapannya ternyata…
Memang sebenarnya …
Hakikatnya, adalah ….
9.
University of Regina juga antara yang mengiakan jawapan tersebut. Memang 9. Kerana ia berpandukan peraturan Bodmas (Bracket Of Division Multiplication Addition Subtraction). Pengiraan dibuat dari kiri ke kanan dan pembahagian sebelum pendaraban.
Tapi sebenarnya ada perbincangan yang lebih berfaedah mengenai isu ini, berbanding perdebatan jawapan mana yang betul.
“Soalan itu Sendiri yang Dibuat Mengelirukan!”
Ini adalah ‘jawapan’ ketiga. Iaitu mempersoalkan soalan itu yang sengaja dibuat mengelirukan, supaya mencetus perbalahan.
Ini adalah komen yang diberikan oleh University of Regina terhadap pelajar yang menanyakan soalan ini:
Anda menanyakan soalan, “apa jawapan yang betul? 9 atau 1?”. Soalan yang lebih wajar ditanya adalah, “siapa yang tulis soalan tersebut sebegitu?” Nampaknya ia ditulis dengan sengaja untuk membuat orang keliru. Ahli matematik begitu berhati – hati untuk memastikan apa yang mereka tulis jelas dan tidak samar – samar.
Soalan tersebut sebenarnya boleh ditulis untuk mendapatkan jawapan yang jelas.
Jika ia ditulis (6/2)(1+2), maka jelas jawapannya adalah 3×3=9. Kerana nombor dalam kurungan itu diselesaikan dahulu.
Jika ia ditulis 6/(2(1+2)), maka jelas jawapannya 6/6=1.
Jadi mengapa ia tak ditulis sedemikian? Sebab tujuan hantaran tersebut di media sosial bukan untuk mendapatkan jawapan yang betul. Tujuannya memang semata – mata menimbulkan perdebatan dan mencetus emosi.
Artikel oleh Slate.com menjelaskan panjang lebar bahawa isu ini turut berkait dengan konvensi dan sejarah matematik.
Dahulu, simbol obelus, atau ÷digunakan untuk membahagi semua di bahagian kirinya dengan bahagian kanannya. Bermakna, jika itu penggunaannya, penyelesaiannya adalah 6 dibahagi dengan (2(1+2)), menghasilkan 1. Buku teks lama mengguna pakai simbol tersebut sedemikian.
Tapi penggunaan tersebut telah ditinggalkan dan tak lagi digunakan. Bila anda masuk ke kolej atau ke universiti pun, anda tak lagi melihat simbol ÷ digunakan.
Begitu juga dengan BODMAS, atau PEMDAS, yang kita anggap merupakan satu peraturan tetap dalam matematik yang tidak boleh diubah. Sebenarnya, ia hanyalah satu konvensi yang diubah dan dikembangkan. Penggunaannya masih diperselisihi waima oleh pengamal matematik.
Ringkasnya, terdapat dua masalah utama bagi soalan tular ini:
- Simbol ÷
- Soalan yang samar – samar.
Jadi, apa nak buat kalau anda bertemu lagi hantaran ini? Anda boleh beri pautan artikel ini (terima kasih, hehe), atau elakkan saja. Ada banyak lagi aktiviti berfaedah untuk dibuat di internet. Seperti tengok video kucing.
