Laman web NASA telah menerbitkan artikel yang merupakan hasil kajian bersama (co – author, co – researcher) Dr Adlyka Annuar dari UKM yang pernah terlibat dalam penemuan menggemparkan lohong hitam supermasif.
Artikel NASA yang bertajuk ‘In Colliding Galaxies, a Pipsqueak Shines Bright‘ itu mempersembahkan dapatan terbaru analisis X – ray bertenaga tinggi menggunakan teleskop NuSTAR.
Kajian tersebut memerhatikan fenomena ‘penggabungan’ (merging) dua galaksi yang dinamakan M51, dengan lohong hitam supermasif di tengah – tengah kedua – dua galaksi yang bersinar dengan sangat terang dan menyedut material di sekeliling.
Secara teorinya, tarikan graviti oleh lohong – lohong hitam yang berjuta – juta kali lebih besar daripada matahari itu sepatutnya memanaskan material di sekeliling, lantas menghasilkan cakera bersinar terang yang lebih cerah daripada semua bintang di galaksi – galaksi mereka.

Namun dalam kajian yang disumbang bersama oleh Dr Adlyka itu, didapati bukan itu yang berlaku. Sebaliknya kedua – kedua lohong hitam itu lebih malap daripada yang dijangka.

Belum dipastikan apakah sebabnya lohong hitam tersebut tidak seterang seperti yang dijangkakan, namun antara hipotesis baru yang diketengahkan adalah lohong hitam tersebut ‘berkelip’ ketika proses penggabungan galaksi, dan bukan beradiasi dengan kecerahan yang sama sepanjang proses tersebut.