Kopi hari ini menjadi minuman paling popular di dunia, dengan lebih 400 bilion cawan diminum setiap tahun. Namun, di sebalik aroma dan keenakan yang dinikmati ramai, kopi sebenarnya membawa sejarah panjang yang melibatkan tamadun Islam, Eropah Kristian, kolonialisme, dan ekonomi global moden. Dari ladang kecil di Yaman hingga menjadi industri kedua terbesar dunia selepas minyak, kopi adalah cerminan interaksi budaya dan warisan peradaban manusia.

Asal Usul Kopi di Dunia Islam
Kopi dipercayai berasal dari Ethiopia sebelum diperkenalkan ke Yaman pada abad ke-15. Para sufi di Yaman menggunakan minuman ini untuk berjaga malam ketika beribadah. Dari sana, kopi mula tersebar ke Hijaz, Makkah, Kaherah, dan akhirnya ke Turki Uthmaniyyah.Di Istanbul, kedai kopi atau kahvehane muncul sebagai pusat pertemuan masyarakat. Ia bukan sekadar tempat minum, tetapi juga ruang diskusi politik, intelektual, dan seni. Tidak hairanlah, kopi digelar sebagai “wijn Islam hitam” oleh pengembara Eropah kerana peranannya dalam budaya masyarakat Muslim.
Kisah Legenda Masyhur tentang Sejarah Kopi
Terdapat legenda dari tahun 1400 M mengenai seorang penggembala kambing Ethiopia bernama Kaldi (atau Khalid) yang melihat kambingnya makan buah beri kemerahan dari sebatang pokok dan kemudian menjadi gelisah serta bersemangat. Dia mencuba buah tersebut dan merasakan kesan tenaga yang luar biasa. Kaldi kemudian melaporkan kejadian itu kepada seorang rahib Qibti tempatan.
Pada awalnya, para rahib Kristian menolak buah beri itu, malah melabelkannya sebagai “biji syaitan” dan melemparkannya ke dalam api. Namun, bau harum dari biji kopi yang dipanggang menarik perhatian para pertapa lain di biara tersebut. Salah seorang daripada mereka mengutip biji kopi yang sedang terbakar, menyejukkannya dalam air, dan kemudian meminum cecair tersebut. Dia merasakan kejernihan fikiran yang luar biasa dan akhirnya mengisytiharkan bahawa buah beri ini adalah “keajaiban dan anugerah dari syurga.”
Menurut legenda Arab lain, seorang ulama Muslim bernama Sheikh Omar, yang terkenal dengan kesalehan dan ilmu perubatannya, telah diusir oleh musuh-musuhnya ke padang pasir berhampiran pelabuhan Mocha, Yaman. Dalam keadaan keletihan, kelaparan, dan kehausan, beliau menemui sebatang pokok dengan buah beri pahit yang sukar ditelan. Oleh itu, beliau memanggang buah tersebut dalam api tetapi masih mendapati ia terlalu keras untuk dimakan. Kemudian, beliau merebusnya dengan air dan meminumnya. Sheikh Omar segera mendapat kembali kekuatannya dan mampu berjalan selama beberapa hari. Apabila kembali ke Mocha, beliau diisytiharkan sebagai seorang lelaki yang diberkati, dan “ramuan” yang ditemuinya menjadi sangat popular dalam kalangan penduduk Yaman.

Sumber: https://perfectdailygrind.com/2017/09/the-history-of-mocha-coffee-yemeni-coffee-culture/
Penyebaran Kopi ke Eropah
Melalui perdagangan dengan Turki Uthmaniyyah, kopi sampai ke Venice pada abad ke-16. Pada awalnya, kopi ditentang oleh pihak gereja dan dilabel sebagai “minuman syaitan”. Namun Pope Clement VIII setelah merasainya, memutuskan untuk memberkati kopi kerana rasanya yang luar biasa. Sejak itu, kopi diterima luas di Itali dan berkembang ke seluruh Eropah.
Menurut sumber, selepas meneguk kopi untuk pertama kalinya, beliau didakwa berkata:
“Minuman ini begitu lazat sehingga berdosa jika hanya orang kafir yang menikmatinya! Mari kita kalahkan Syaitan dengan memberkati minuman ini, kerana ia tidak mengandungi apa-apa yang bertentangan dengan kepercayaan Kristian!” (Pendergrast, 2000:8)
Kedai kopi mula dibuka di Venice (1640), London (1652), Paris (1672), dan Vienna (selepas Pertempuran Vienna 1683). Ia menjadi ruang sosial yang penting — tempat berkumpulnya ahli falsafah, pedagang, politikus, dan penulis. Tokoh seperti Jonathan Swift menggelar kopi sebagai “minuman intelektual” kerana dikaitkan dengan wacana falsafah dan pemikiran kritis.
Perkembangan Kopi di Dunia Barat
Pada abad ke-18, kopi mula ditanam di kawasan jajahan Eropah. Seorang pegawai Perancis membawa benih kopi ke Martinique, yang kemudiannya menghasilkan lebih 20 juta pokok. Dari situ, kopi berkembang ke Amerika Tengah, Brazil, dan kepulauan Caribbean.
Menariknya, di Amerika Syarikat, kopi dijadikan minuman patriotik selepas peristiwa “Boston Tea Party” (1773), apabila rakyat memboikot teh British yang dikenakan cukai tinggi. Sejak itu, kopi menjadi lambang kebebasan politik dan identiti baharu Amerika.
Evolusi Kopi Moden
Inovasi teknologi turut mempercepatkan perkembangan kopi. Pada tahun 1822, mesin espresso pertama dicipta di Perancis, kemudian diperbaiki oleh orang Itali sehingga menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka. Kedai kopi klasik seperti Caffè Florian di Venice dan Caffè Greco di Rome masih berdiri hingga kini sebagai simbol keagungan budaya kopi.
Dari segi botani, dua spesies kopi utama yang ditanam ialah Arabica (berkualiti tinggi, kurang kafein, dan mewakili 75% pengeluaran dunia) serta Robusta (lebih tahan penyakit, berkafein tinggi, dan digunakan dalam campuran).
Kesimpulan
Sejarah kopi membuktikan ia bukan sekadar minuman, tetapi simbol pertembungan budaya, agama, politik, dan ekonomi global. Dari kedai kopi sufi di Yaman hingga rangkaian kopi moden di seluruh dunia, kopi mencerminkan warisan Islam yang menjadi sebahagian daripada identiti moden Barat. Hari ini, secawan kopi bukan hanya menghubungkan kita dengan rasa, tetapi juga dengan sejarah panjang tamadun manusia.
RUJUKAN
- Artikel “A BRIEF HISTORY OF CAFFEA ARABICA IN THE DAR-UL-ISLAM AND CHRISTIAN EUROPE: A HERITAGE OF ISLAMIC CIVILIZATION AND ITS CONTRIBUTION TO THE MODERN LIFESTYLE” di pautan:
- https://tafhim.ikim.gov.my/index.php/tafhim/article/view/51/32
- https://perfectdailygrind.com/2017/09/the-history-of-mocha-coffee-yemeni-coffee-culture/
- Buku Zaman Keemasan Tamadun Islam, Helmi Effendy
- https://medium.com/kaalam-collective/the-boston-tea-party-how-a-protest-brewed-americas-coffee-culture-and-britain-s-milky-tea-73142954578e
- https://superlive.id/superadventure/artikel/wilderness/sepotong-sejarah-di-balik-mesin-kopi-espresso-100-coffee-lovers-only



