Orang pandai matematik, biasanya gagal subjek bahasa?

Seringkali kita terdengar bahawa mereka yang bijak dalam ilmu Matematik, pasti lemah dalam seni Bahasa. Mereka yang bijak seni Bahasa, pasti lemah ilmu Matematik. Teori otak kiri otak kanan, katanya.

Persoalannya, apakah kenyataan ini benar dan apakah ada kajian yang membuktikan teori ini?

Teori Otak Kiri Otak Kanan

Menurut teori ini, dua sisi hemisfera otak mempunyai fungsi tertentu dan salah satu akan mendominasi pemikiran manusia.

Punca terlahirnya teori ini adalah apabila seorang profesor Psikobiologi di California, Roger W. Sperry yang merupakan pemegang anugerah Nobel pada era 60-an, melakukan satu uji kaji ke atas pesakit yang mengalami epilepsi ataupun sawan. Dalam uji kaji ini, beliau telah membedah satu bahagian di tengah otak, Corpus Callosum yang menghubungkan kedua-dua bahagian otak. Setelah dibedah, Dr. Sperry menemui bahawa kedua-dua bahagian otak itu bertindak secara bersendiri dan menjalankan proses yang berbeza.

Hasil uji kaji ini telah disalahertikan oleh pihak media dan telah diterbitkan dalam satu artikel bertajuk “We are Left Brained or Right Brained” pada tahun 1973 di New York Times. Di sinilah pencetus penyebaran mitos ini.

Sedangkan, uji kaji itu hanyalah hasil awal pengujian Dr. Sperry ke atas otak yang dibedah dan dipotong bahagian yang menghubungkan dua hemisfera otak.

Realitinya, sebagai seorang manusia yang sihat dan normal, kedua-dua hemisfera otak ini dihubungkan oleh Corpus Callosum dan bertindak sebagai jambatan antara hemisfera untuk kedua-duanya bergerak seiringan dan merentas informasi. Oleh itu, susulan penyebaran teori ini, ramai saintis cuba untuk menjalankan ujikaji untuk membuktikan kebenaran teori ini, tetapi gagal.

Malah, Dr. Sperry sendiri pernah menegaskan bahawa tanggapan pengasingan fungsi otak yang mampu mengawal personaliti adalah karut.

Faktanya ialah, kedua-dua bahagian otak kita bergerak dengan seimbang dan serentak. Adalah mustahil untuk bahagian otak berfungsi dengan sendirian. Apatah lagi kita tiada keupayaan untuk memilih bahagian mana yang akan digerakkan secara dominan. Fakta ini telah dibuktikan menerusi satu kajian pada tahun 2013 oleh University of Utah.

Walaupun begitu, mungkin berlakunya kecenderungan seseorang untuk menguasai satu fungsi tertentu otak yang disebut sebagai lateralization. Tetapi, hujah ini tidak cukup kuat untuk membuktikan kebenaran mitos ini dan hakikatnya penggunaan otak pada kedua-dua hemisfera adalah seimbang.

Ahli Matematik Terdahulu Bijak Seni Bahasa

Tahukah anda, puisi dan Matematik dahulu digabungkan oleh ilmuwan-ilmuwan Islam dan amat ketara dalam penulisan-penulisan mereka pada kurun-kurun yang lepas. Malah, kebanyakan ahli Matematik terdahulu merupakan seorang penyair.

Hal ini kerana, syair dan puisi memerlukan kata-kata yang indah, ringkas, harmoni susunannya, tepat dan penuh erti. Matematik juga memerlukan bahasanya tersendiri untuk mengungkapkan sesuatu pernyataan. Menurut Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Matematik dan puisi mempunyai sifat sepunya iaitu ketetapan ungkapan terhadap maudu’ masing-masing, ringkas dan menarik.

“Suatu ciri puisi yang indah ialah pemilihan perkataan yang tepat, indah dan harmoni dalam bait-baitnya di samping mengandungi makna yang dalam. Demikian juga suatu ciri pembuktian yang baik dalam Matematik memerlukan penggunaan perkataan yang tepat, ringkas dan susunan yang menarik.” – Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail.

Umar Khayyam antara sosok ahli Matematik yang terkenal dengan syairnya yang dibukukan dalam Rubaiyyat, buku syair beliau dan Al-Jabr wa’l-Muqabalah iaitu buku Matematik yang beliau lanjutkan dan kembangkan lagi teori al-jabar al-Khawarizmi.

Ibnu Yasamin, seorang ahli al-jabar dan seorang penyair terkenal. Kedua-dua bidang ini telah digabungkan dan ditulis dalam sebuah buku bertajuk al-Arjuzah al-Yasaminiyyah. Syair-syair beliau ini telah banyak dipetik oleh Ahmad Al-Khatib, seorang ahli Matematik nusantara yang bertaraf ulama’ untuk penulisan-penulisannya di dalam Raudah al-Hussab.

Zurqa Al-Yamamah Al-Nabighah, seorang penyair wanita yang turut banyak menggubah masalah-masalah Matematik dalam karya syairnya.

Manakala, Al-Khawarizmi sering berpuisi dalam mentakrifkan sesuatu konsep al-jabar. Begitu juga ilmuwan-ilmuwan Islam yang lain kerana telah menjadi kelaziman takrifan konsep menggunakan ayat-ayat ringkas berupa puisi.

Secara lebih spesifik, Al-Qahtani pernah menggubah serangkap syair untuk menunjukkan pembahagian pusaka dalam masalah faraidh memerlukan ilmu hisab.

Petikan rangkap syair Al-Qahtani daripada buku Mantik, Matematik dan Budaya Ilmu. Karya asal : Ahmad Khatib (1890) : Alam Hussab fi ‘Ilm Hisab, h. 4.

Abu Hujjaj Al-Turtusi pula merangkapkan dua bait syair untuk menggambarkan peranan ilmu Hisab dalam urusan perniagaan.

Petikan rangkap syair Abu Hujjaj Al-Turtusi daripada buku Mantik, Matematik dan Budaya Ilmu. Karya asal : Husain Muhammad Al-Mahali (1890) : Sharh Al Tahhawiyyah, h. 5.

Daripada definisi perkataan al-Jabr oleh Al-Khawarizmi, Ibnu Yasamin telah mentafsirkan menerusi ungkapan pantunnya.

Petikan rangkap pantun Ibnu Yasamin daripada buku Mantik, Matematik dan Budaya Ilmu. Karya asal : Al-Arjuzah karya al-jabar Ibnu Yasamin.

TANGGAPAN ZAMAN KINI

Tidak banyak contoh penggabungan dua ilmu ini pada masa kini. Bahkan kedua-duanya dilihat amatlah bertentangan antara satu sama lain buat sekelompok besar masyarakat. Amatlah jarang untuk kita temui mereka yang digelar seorang ahli Matematik, juga merupakan seorang penyair atau pakar bahasa dan seumpamanya.

Mungkin ada, tetapi tidak terlalu dikenali ramai.

Mengapa?

Mungkin kerana budaya ilmu ini yang sudah terpisah selepas melalui beberapa fasa dan zaman menyebabkan kita menganggap tiada hubungan dan kaitan antara dua kemahiran ini. Tambahan pula, teori otak kiri dan kanan yang menjadi pegangan sebahagian ahli masyarakat menyumbang lagi kepada pemikiran bahawa adalah mustahil untuk seseorang itu menguasai dua ilmu yang berlainan tempat di hemisfera otaknya. Katanya.

Makanya, penerangan-penerangan di atas telah membuktikan bahawa teori ini hanyalah mitos dan tercetus daripada tindakan pihak media yang melaporkan dalam konteks yang salah. Hebatnya tularan mitos ini sehinggakan pengkaji sendiri menafikan, sudah tidak diendah oleh orang ramai.

Demikianlah kebenaran itu sukar untuk memenangkan kebatilan yang telah tersebar, sehingga memberi kesan kepada beberapa generasi bertahun lamanya.

Bahaya. Sangat bahaya.

Makanya, teori ini sudah boleh disingkirkan daripada pemikiran masing-masing ya. Risau juga bila ada segelintir manusia yang tidak mahir dalam sesuatu ilmu, digunanya teori ini sebagai hujah. Hakikatnya, pegangannya pada teori inilah yang menyebabkan dia percaya yang dirinya tidak boleh melakukan sesuatu perkara yang lain. Sedangkan dia belum mencuba.

RUJUKAN

1. Buku Mantik, Matematik, dan Budaya Ilmu, Mat Rofa Ismail (1994)

2. Mitos – Teori Dominan Otak Kiri atau Otak Kanan Perlulah Dihapuskan (2017), https://iluminasi.com/bm/mitos-teori-dominan-otak-kiri-atau-otak-kanan-perlulah-dihapuskan.html

3. Why the Left-Brain Right-Brain Myth will probably never die (2012), https://www.psychologytoday.com/intl/blog/brain-myths/201206/why-the-left-brain-right-brain-myth-will-probably-never-die

4. There is no left brain/ right brain divide (2013), https://ideas.time.com/2013/11/29/there-is-no-left-brainright-brain-divide/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts