Ada Aurora dekat Malaysia?!

Tular di laman sosial Twitter mengenai fenomena Aurora atau cahaya indah di langit yang dikatakan bakal berlaku pada malam semalam (14 Mac). Ciapan daripada pengguna twitter tersebut memetik sumber daripada akhbar Kosmo bahawa ribut matahari bakal melanda Bumi pada hari yang sama, yang bakal mengakibatkan berlakunya fenomena Aurora.

Benarkah dakwaan tersebut?

Apa itu Aurora?

Aurora Borealis di Alaska.

Aurora merupakan fenomena cahaya terang yang dapat dilihat di langit malam, dan selalunya berlaku di kawasan berhampiran kutub Bumi (samada Kutub Utara atau Kutub Selatan). Aurora selalunya menjadi tarikan pelancongan, kerana fenomena Aurora pada waktu malam memancarkan keindahan yang tersendiri, lebih-lebih lagi apabila langit malam yang gelap dihiasi dengan cahaya berwarna warni.

Aurora boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu Aurora Borealis atau Cahaya Utara (Teja Utara), dan juga Aurora Australis atau Cahaya Selatan (Teja Selatan). Nama bagi aurora ini diberi berdasarkan kutub yang berhampiran dengan tempat fenomena itu terjadi.

Macam mana Aurora boleh terjadi?

Fenomena Aurora terhasil apabila terdapat dua benda, iaitu cas yang bergerak di angkasa, serta medan magnet bagi sesuatu planet.

Mengambil contoh mudah (iaitu planet Bumi), fenomena Aurora boleh terjadi apabila Matahari mengeluarkan zarah bercas. Zarah bercas ini akan memiliki tenaga yang tinggi, dan akan bergerak ke Bumi (contoh).

Apabila zarah bercas ini menghampiri Bumi, lapisan perlindungan Bumi yang pertama akan berfungsi. Zarah-zarah bercas dengan tenaga tinggi ini akan bertembung dengan Medan Magnet Bumi, dan zarah bercas tadi akan kehilangan tenaga mereka dan kemudiannya bergerak mengikut medan magnet Bumi, menuju ke bahagian Kutub Bumi (sama ada Kutub Utara atau Kutub Selatan).

Kenapa Aurora Berwarna Warni?

Setelah bergerak masuk ke lapisan atmosfera Bumi, zarah tercas akan mula berinteraksi dengan molekul yang berada di lapisan atmosfera Bumi.

Justeru, warna yang terhasil adalah bersandarkan komposisi atmosfera Bumi serta interaksi kimia di kawasan tersebut pada waktu itu. Sebagai contoh, ada sesetengah Aurora berwarna merah yang terhasil kerana interaksi antara molekul nitrogen, manakala warna hijau terjadi kerana interaksi antara molekul oksigen di udara.

Mereka bercahaya kerana mereka masih mempunyai tenaga yang tinggi, meskipun ketika sudah memasuki atmosfera Bumi. Cahaya yang terlihat adalah manifestasi saki-baki tenaga yang dimiliki oleh cas-cas yang bergerak dari Matahari tadi.

Boleh ke Aurora kelihatan di Malaysia?

Jawapan mudah: Harapnya tak boleh.

Meskipun Aurora merupakan fenomena alam yang cantik. namun kita kena ingat yang Aurora merupakan hasil daripada “Ribut Suria”. Bagi membentuk Aurora di Malaysia, Aurora perlu bergerak jauh – dari Kutub Utara, melangkaui hampir separuh Bumi, sebelum sampai ke Malaysia.

Sekarang bayangkan, kalau Ribut Suria tersebut mampu menghasilkan Aurora yang mampu sampai ke Malaysia, bukankah itu maknanya Ribut Suria itu teramat kuat tenaganya?

Sekiranya Aurora mampu sampai ke Malaysia dan garisan khatulistiwa, secara amnya, demikian merupakan petanda yang buruk.

Ribut Suria yang amat besar perlu menghentam Bumi untuk membolehkan Aurora sampai ke Malaysia, dan sekiranya Ribut Suria yang amat besar tenaganya menghentam Bumi, sebenarnya akan memberi kesan kepada sistem satelit di Bumi. Satu lagi kesan ketara daripada Ribut Suria yang kuat adalah akan terhasilnya arus teraruh (induced current) akibat daripada fluks magnet yang dibawa oleh Ribut Suria tersebut. Arus teraruh ini akan mengganggu sistem grid kuasa (macam yang dikawal oleh TNB).

Oleh itu, bersyukurlah kalau kita di Malaysia tak nampak Aurora!

Rujukan

https://twitter.com/kuhaf/status/1503256599648907265

“Ribut Matahari diramal landa Bumi esok”, KOSMO! (Mac 2022). https://www.kosmo.com.my/2022/03/13/ribut-matahari-diramal-landa-bumi-esok/

“Northern lights (aurora borealis): What they are & how to see them”, Space.com (Mac 2022). https://www.space.com/15139-northern-lights-auroras-earth-facts-sdcmp.html

“Space Weather Prediction Center, National Oceanic and Atmospheric Administration”, (Mac 2022). https://www.swpc.noaa.gov/products/alerts-watches-and-warnings

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts