KENAPA ALIGATOR BERADA DI PADANG GOLF?

Satu berita mengejutkan semalam (5/7/2023), seorang wanita berumur 69 tahun maut dibunuh oleh seekor aligator di Florida ketika sedang mengambil angin petang bersama anjingnya berhampiran sebuah lagun yang bersempadan dengan sebuah taman golf.

Jasad wanita tersebut ditemui terbaring di pinggir lagun sambil diawasi reptilia itu menyebabkan usaha menyelamat sukar dijalankan.

Kejadian ini merupakan kes kedua di daerah tersebut yang melibatkan serangan maut oleh aligator.

Sebelum itu, seorang wanita tua berumur 85 tahun turut maut kerana cuba menyelamatkan anjingnya yang diterkam seekor aligator sepanjang tiga meter yang secara tiba-tiba muncul daripada air berhampiran. Enam pegawai hidupan liar telah berjaya menangkap reptilia tersebut daripada terus mengancam penduduk setempat.

Tetapi, tahukah anda, kemunculan-kemunculan reptilia ini di Florida adalah perkara biasa? Dan antaranya adalah di kawasan padang golf.
Mengapa begitu?

ALIGATOR DI PADANG GOLF

Bayangkan anda sedang berdiri, menikmati kehijauan padang golf yang luas terbentang sambil disinari cahaya matahari. Ataupun sambil bersedia untuk menghirup kopi di tangan. Tiba-tiba, anda terlihat seekor aligator sedang bergerak-gerak di dalam air berhampiran. Haa, seram ke, teruja? Mesti seram kan? Tu tak ambil kira saiz badannya yang sama saiz dengan badan kita, atau mungkin lebih besar.

Situasi inilah yang sering dihadapi oleh para pemain golf di sana. Sehinggakan ada warga di sana memuatnaik status di Facebook dengan mengucapkan selamat datang ke Florida, rumah bagi Jurassic Park. Fuh!

Status ini dimuat naik berikutan satu kes viral yang pernah berlaku pada bulan Februari tahun ini.

Terdapat seekor aligator raksasa berjalan-jalan di padang golf dengan ukuran yang tidak jelas, tetapi aligator yang terpanjang pernah tercatat di Florida adalah berukuran 4.3 meter dengan 470 kilogram berat. Menurut seorang warga yang berada di tempat kejadian menyatakan bahawa aligator yang dilihat itu adalah aligator terbesar yang pernah dilihatnya sepanjang hidup di sana.

Aligator raksasa yang viral
(Sumber : Viral Aligator Raksasa Santai di Padang Golf (detik.com)

Percaya atau tidak, padang golf adalah antara destinasi utama bagi aligator ‘melepak’ di Florida. 

Menurut Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, terdapat kira-kira 1.3 juta aligator di Florida, dan kebanyakannya boleh didapati di padang golf.

Ini kisah terbaru. Kita cuba amati kisah tahun-tahun sebelumnya.

Pada hujung tahun 2020, situasi yang sama juga mengejutkan warga Florida apabila aligator gergasi sepanjang 10 kaki dilihat berjalan di sepanjang padang golf Naples, Florida.

Aligator gergasi berkeliaran di padang golf Florida. 
(Sumber : Buaya Buaya Gergasi Berkeliaran Padang Golf : Okezone techno)

Pada bulan Mei 2020, sekumpulan pemain golf di Hilton Head, South Carolina merakamkan pergaduhan antara dua aligator besar yang berlangsung kira-kira selama dua jam.

Pada bulan Ogos 2019, aligator setinggi 7 kaki dilihat bersama pemain golf di Florida. Kemudian pada April 2019, seekor aligator diduga terpisah daripada kumpulannya apabila terlihat di lapangan lain di Hilton Head yang berlari laju, menimbulkan kekecohan antara pemain golf.

Persoalannya, kenapa reptilia ini boleh melepak di sini?

Hal ini kerana reptilia adalah berdarah sejuk, yang bermaksud mereka bergantung kepada matahari untuk mengawal suhu badan. Padang golf menyediakan persekitaran yang sempurna untuk reptilia ini dengan adanya kolam dan tasik dengan air cetek, yang membolehkan mereka berjemur di bawah sinar matahari dan mengawal suhu badan mengikut keperluan.

Aligator suka tinggal di habitat air tawar dengan banyak tumbuhan dan terbuka kepada matahari. Malangnya, pembandaran telah memusnahkan banyak habitat semula jadi mereka dan meninggalkan pilihan yang terhad kepada mereka. Biarpun wujudnya usaha pemuliharaan untuk melindungi reptilia ini dan habitat mereka, namun masih tidak mencukupi untuk memerangi kesan negatif kegiatan pembandaran.

Oleh itu, tindakan manusia yang sering mengganggu habitat semulajadi mereka mengakibatkan mereka mencari padang golf sebagai alternatif mudah untuk teruskan kehidupan. Dengan banyak air, kawasan berumput, dan mangsa yang berpotensi. Ditambah pula, ruangan yang luas terbentang amat diperlukan oleh reptilia ini untuk berkembang maju.

FAKTA TENTANG ALIGATOR

Harus diingatkan bahawa aligator merupakan sejenis makhluk reptilia yang agresif, lebih-lebih lagi dalam mempertahan ruang mereka. Di Florida, aligator merupakan haiwan pemangsa utama. 

Aligator merupakan crocodilians dalam genus Alligator keluarga Alligatoridae. Terdapat dua spesies aligator iaitu Amerika dan Cina.

Aligator dan buaya (crocodile) adalah daripada keluarga berbeza. Bentuknya juga adalah berbeza. Aligator mempunyai muncung lebih lebar dan bulat. Manakala, buaya (crocodile) mempunyai muncung berbentuk V yang lebih runcing.

Bagi kawasan habitat, buaya (crocodile) lebih menggemari air masin, manakala aligator lebih menyukai air tawar. Hanya di Florida Selatan, kedua-dua jenis reptilia ini wujud bersama.

Aligator Amerika mendiami di sebahagian besar tenggara Amerika Syarikat, terutamanya di Louisiana, Florida, dan Georgia. Mereka tinggal di kawasan air tawar, tasik, dan paya. Satu perempat daripada populasi mereka terdapat di Florida.

Secara puratanya, reptilia ini boleh membesar sehingga 800 paun dengan 13 kaki panjang. Aligator betina mempunyai kecenderungan untuk menjadi lebih kecil daripada aligator jantan. Manakala, purata jangka hayat hidup mereka adalah 35-50 tahun di alam liar, dan 60-80 tahun sekiranya dalam jagaan manusia.

ALIGATOR MAKAN MANUSIA KE???

Tetapi, aligator ni makan manusia tak?

Tak. Manusia bukan makanan mereka. Manusia diserang hanya kerana reptilia ini berasa diancam dan menimbulkan ketakutan semulajadi mereka kepada manusia.

Makanan reptilia ini ialah ikan, burung, penyu, pelbagai mamalia, dan haiwan reptilia lain. Sekiranya saiznya cukup besar, maka mereka akan memakan mangsa yang lebih besar seperti rusa atau beruang. 

Apabila aligator menangkap sesuatu yang terlalu besar untuk dimakan, maka setelah mengenakan satu gigitan, aligator akan menenggelamkan mangsanya dengan ganas dan memutarnya di dalam air. Tindakan ini disebut sebagai ‘pusingan kematian’. Kemudian, mangsa yang mati akan disimpan beberapa hari untuk membolehkan berlakunya proses penguraian dan mudah dimakan setelah itu.

RUJUKAN DAN BACAAN LANJUT
  1. Ultimate Guide To Florida Alligators | Facts About Gators In Florida (keywestaquarium.com)
  2. Living with Alligators and Crocodiles | FWC (myfwc.com)
  3. US woman killed by alligator that guarded body (thesundaily.my)
  4. Why Are There Alligators In Golf Courses? (allgolfreviews.com)
  5. Viral Aligator Raksasa Santai di Padang Golf (detik.com)
  6. Heboh Buaya Aligator Raksasa Berkeliaran di Lapangan Golf : Okezone techno
  7. Wanita 85 tahun diserang aligator ketika selamatkan anjing (hmetro.com.my)
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts