Kanak-kanak dan remaja merupakan aset berharga dalam pembentukan masa depan sesebuah negara. Mereka adalah generasi yang bakal menerajui dan memajukan negara dengan pelbagai potensi serta bakat yang perlu dibangunkan sejak usia muda. Setiap sokongan dan perhatian yang diberikan kepada mereka akan membuahkan hasil, menjadikan mereka individu yang berilmu, berakhlak, dan berdaya saing.
Meskipun secara umumnya apabila disebut kanak-kanak mungkin yang terlintas adalah susuk tubuh yang belum matang, suka bermain, suka dan mungkin membuat kekacauan. Manakala remaja adalah era di mana mereka bergelut dengan identiti, nakal bahkan suka memberontak. Jarang sekali di benak otak seseorang bahawa kanak-kanak dan remaja adalah seorang yang bijak, berfikiran kreatif, berpandangan jauh ataupun mampu menghasilkan ciptaan atau rekaan yang dapat membantu manusia secara umumnya.
Namun sangkaan ini sebenarnya kurang tepat. Telah muncul ramai kanak-kanak dan remaja dari dulu hingga ke sekarang bahkan mungkin di masa depan yang mencipta ciptaan yang hebat dan sangat berguna. Di sini penulis akan menyebutkan beberapa ciptaan yang mungkin tanpa disedari dicipta oleh seorang kanak-kanak dan remaja.
Tulisan Braille
Bagi orang buta, tulisan Braille merupakan satu cara mereka berkomunikasi. Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa tulisan Braille sebenarnya dicipta oleh seorang kanak-kanak dari Perancis bernama Louis Braille. Beliau buta seawal usia tiga tahun. Beliau belajar kaedah komunikasi yang diperkenalkan oleh Charles Barbier pada tahun 1821. Tiga tahun kemudian beliau membuat beberapa ubah suai kepada sistem Charles Barbier agar menjadi sebuah sistem yang lebih mudah dan efisien. Ketika ini beliau berusia 15 tahun. Beberapa siri tambah baik turut di lakukan oleh beliau selepas itu. Perlu di perhatikan juga tulisan Braille pada waktu itu adalah transliterasi kepada bahasa Perancis. Hingga kini tulisan Braille mempunyai sehingga 133 bahasa dan merupakan antara medium komunikasi terpenting bagi orang buta. Bahkan terdapat juga Braille untuk membaca al-Quran.
Kekuping (earmuffs)
Bagi sesiapa yang pernah merasai musim sejuk pasti dapat merasakan kesejukan lebih dirasai di bahagian telinga. Disebabkan ini kekuping atau earmuffs seringkali digunakan bagi mengelakkan rasa dingin yang mengganggu keselesaan telinga. Sistem fabrik ini sebenarnya dicipta oleh seorang kanak-kanak berbangsa Amerika Syarikat, Chester Greenwood pada tahun 1873 pada usia 15 tahun.
Dia mencipta kekuping ini semasa beliau sedang meluncur ais dan beliau merasakan kesejukan di telinga sehingga mengganggu keseronokan beliau ketika aktiviti meluncur ais. Beliau kemudian mereka bentuk kekuping dan memohon bantuan neneknya untuk menjahit kekuping dengan menggunakan kulit. Bahkan beliau telah menghantar permohonan agar reka bentuk kekupingnya dipatenkan. Pada tahun 1877 reka bentuk kekupingnya telah dipatenkan secara sah.
Menariknya Chester Greenwood setelah itu telah membina kilang untuk menghasilkan kekuping dan kilang ini telah memberi peluang pekerjaan kepada para wanita di West Farmington, Maine sehingga ke tahun 1937. Perlu diketahui juga beliau turut menghasilkan beberapa ciptaan lain yang turut dipatenkan, namun ciptaan kekupingnya adalah ciptaan yang paling menonjol dan terkenal. Atas jasa beliau ini, pada tahun 1977, negeri Maine telah mengisytiharkan Hari Chester Greenwood pada 21 Disember setiap tahun bagi mengenang jasanya.
Trak Mainan
Mungkin sahaja anda tidak teruja dengan ciptaan ini. Namun perlu diingatkan pada tahun 1962, seorang kanak-kanak Amerika Syarikat, Robert Patch telah menghantar permohonan paten bagi mainan trak. Permohonan ini memakan masa setahun untuk kemudiannya diterima. Dokumen paten setebal enam helai dengan penjelasan terperinci bagi setiap lukisan adalah satu perkara yang mengagumkan bagi seorang kanak-kanak berusia 6 tahun. Reka bentuk beliau adalah dengan menggunakan kotak kasut, penutup botol dan beberapa batang paku. Menariknya trak ini boleh bertukar kepada tiga jenis trak yang berbeza iaitu , trak sampah, trak flatbed dan trak kotak.
Aiskrim Batang
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di awal-awal kewujudan aiskrim, ianya di jual dalam bekas, mangkuk dan sebagainya. Namun setelah Francis William Epperson yang mencipta aiskrim batang pada tahun 1905 yang dikenali dengan nama popsicle , aiskrim batang mula menjadi terkenal. Beliau yang berumur 11 tahun ketika itu menghantar permohonan untuk paten 18 tahun kemudian pada tahun 1923 di usia 29 tahun. Permohonan beliau di terima pada 1924.
Sirip Renang
Ramai yang mengenali Benjamin Franklin sebagai seorang yang banyak membuat uji kaji serta sumbangannya dalam bidang elektrik. Namun ramai tidak tahu bahawa ketika di usia 11 tahun dia telah mencipta sirip renang yang dapat membantu untuk berang dengan lebih efisien. Namun pada ketika itu sirip renang itu di reka bentuk untuk diletakkan di tangan. Beliau mengatakan bahawa sirip ini dapat membuat renangan beliau menjadi lebih cepat namun dalam masa yang sama tangan akan merasa penat.
Hanya pada tahun 1914, Louis de Corlieu mengadaptasi reka bentuk sirip renang oleh Benjamin Franklin dan diletakkan di kaki seperti mana yang diguna sekarang. Atas sumbangan beliau ini dan beberapa sumbangan beliau yang lain, beliau di masukkan ke dalam International Swimming Hall of Fame pada tahun 1968 meskipun beliau telah meninggal dunia pada 1790.
Trampolin
Seorang ahli gimnas Amerika syarikat, George Nissen telah mencipta trampolin pada usia 16 tahun. Dia mendapat ilham ketika melihat atlet silap mata yang membuat pertunjukan trapezium yang melompat di atas jaring pada hujung persembahan. Dia merasakan bahawa melompat ke atas sesuatu yang berayun akan menjadikan ianya lebih menarik. Dia kemudian menggunakan garaj milik ayahnya dan menghasilkan trampolin yang pada waktu itu dipanggil alat ayunan (tumbling device). Pada ketika ini alat ini di buat dari kanvas dan bingkai dari logam.
Pada tahun 1942, George Nissen dan rakannya Larry Griswold menubuhkan syarikat untuk menjual trampolin secara komersial. Permohonan paten beliau pada tahun 1941 mengambil sedikit masa dan lulus pada tahun 1945.
Kereta Salji
Untuk berjalan ketika salji menebal adalah sedikit sukar. Kenderaan yang biasa digunakan semasa musim selain salji tidak dapat berfungsi dengan baik di sebabkan jalan yang menjadi licin. Perkara ini telah menjadi perhatian Joseph-Armand Bombardier, seorang pereka dari Kanada.
Pada tahun 1922 pada usia 15 tahun dia telah mencipta kereta salji dengan menggunakan injin Ford dan kipas kayu. Hasil rekaan ini boleh dianggap berjaya kereta ianya boleh bergerak beberapa kilometer. Namun kerana reka bentuknya yang agak ringkas sehingga kipas pada kereta itu terdedah dan agak membahayakan. Oleh itu ayahnya menyuruh dia untuk merombak kembali kereta tersebut.
Namun ini tidak mematahkan hasrat beliau. Apatah lagi pada 1934 satu peristiwa penting melanda di dalam hidupnya iaitu beliau menghadapi kesukaran menghantar anaknya ke hospital di sebabkan ribut salji memangkin semangat beliau untuk meneruskan hasrat beliau yang tertangguh. Pada tahun 1935, beliau telah mencipta sebuah kereta salji yang sangat praktikal. Pada tahun 1937 kereta salji dengan kapasiti 7 orang dan pada tahun 1942 dengan kapasiti 12 orang dijual secara komersial.
Di Malaysia pernah muncul Maryam Muzamir yang mencipta makanan haiwan hasil dari kulit udang dan siput sedut di usia 11 tahun, S Karthikgesan pula mencipta mesin kompos berteknologi solar di usia 15 di mana mereka telah memenangi pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa. Bahkan penyertaan pelajar-pelajar di sekolah menengah mahupun rendah yang memenangi pingat di peringkat antarabangsa tidaklah sedikit dengan hasil inovasi yang cukup mengagumkan.
Hebat bukan? Oleh itu sewajarnya para ibu bapa tidak memandang serong terhadap kebolehan anak-anak mereka yang mungkin tanpa kita sedari merupakan seorang yang sangat kreatif. Seperti mana yang berlaku di Gaza sekarang yang pada ketika ini dihimpit dengan serba kekurangan dan dengan keadaan yang tidak menentu, Hussam Al-Attar yang berusia 15 tahun telah mencipta sistem turbin angin agar dapat mengurangkan masalah elektrik di sana. Mana tahu ciptaan para anak muda kita mampu mengubah landskap dunia dan mengangkat Malaysia di mata dunia.
Artikel ditulis oleh Tuan Nurudin Abdul Settar, Pensyarah Bidang Kejuruteraan.
Rujukan
[1] J. Jiménez, J. Olea, J. Torres, I. Alonso, D. Harder, and K. Fischer, “Biography of Louis Braille and Invention of the Braille Alphabet,” Surv. Ophthalmol., vol. 54, no. 1, pp. 142–149, Jan. 2009, doi: 10.1016/j.survophthal.2008.10.006. [2] Chester Greenwood, “Improvement In Ear-Mufflers,” 188,292, 1877 [3] R. W. Patch, “Toy Truck,” 3,091,888, 1963 [4] F. W. Epperson, “Frozen Confectionery,” 1505,592, 1924 [5] “Farmington: Franklin County’s Shiretown – Chester Greenwood.” Accessed: Apr. 26, 2024. [Online]. Available: http://farmington.mainememory.net/page/1103/display.html [6] G. P. Nissen, “Tumbling Device,” 396,603, 1945 [7] “From a wood garage to the Canadian backcountry.” Accessed: Apr. 27, 2024. [Online]. Available: https://www.theglobeandmail.com/news/national/canada-150/great-canadian-innovations-how-the-snowmobile-opened-much-of-canadasnorth/article34590806/Kredit gambar: https://www.aboutmybrain.com/blog/how-can-human-innovation-thrive-in-the-era-of-ai