Lima isu sains paling hangat dan kritikal dalam negara yang mesti diselesaikan oleh bidang sains komunikasi telah dikenal pasti seperti berikut:
- Anti – vaksin
- Pendidikan seks
- Kesihatan Mental
- Pseudosains
- Sains Pemakanan
Senarai tersebut diperoleh melalui undian saintis, pengamal media, dan pempengaruh sains dalam bengkel Malaysian Science Communication Module anjuran Akademi Sains Malaysia, hari ini.
Lima isu tersebut mengatasi puluhan isu – isu sains komunikasi lain yang turut disenaraikan seperti pendidikan STEM, pengambilan pil suplemen kesihatan, keselamatan air, isu nuklear, pemanasan global dan lain – lain.
Isu Bumi Rata yang baru – baru ini tular di tanah air bagaimanapun tidak dianggap begitu penting dengan hanya menerima satu undian.
Turut dibincangkan dalam bengkel tersebut adalah punca dan cara – cara menyelesaikan isu – isu tersebut dalam rangka sains komunikasi.
Rata – rata peserta bersetuju bahawa timbulnya isu – isu berkenaan adalah lantaran kurangnya capaian sains kepada masyarakat, kerana perbincangan sains hanya berlegar dalam kalangan ahli akademik.
Turut diluahkan adalah kegusaran bahawa bahasa sains terlalu berat dan membosankan sehingga liputannya tidak disukai oleh wartawan, kerana dianggap tiada nilai berita.
Bagi isu anti vaksin dan pseudosains pula, punca – punca yang dikenal pasti menyebabkan naiknya isu – isu kritikal ini adalah ketidakpercayaan masyarakat terhadap sains dan pengamalnya, serta tumpasnya suara saintis dibandingkan suara pengamal pseudosains yang sangat lantang di media sosial.
Begitu juga, isu antivaksin menjadi isu yang besar di Malaysia akibat masyarakat kurang jelas terhadap status halal kandungan vaksin – vaksin yang dihasilkan.
Isu pendidikan seks yang dianggap paling kontroversi pula ditegaskan kepentingannya kerana perkembangan semasa yang sangat menggusarkan, di mana anak – anak kini bebas berinteraksi dengan topik seks pada usia yang sangat awal.
Seorang guru pendidikan sains tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa mengatakan bahawa ketika mana ibu bapa mengelak daripada berbicara tentang topik ini, anak – anak akan mencari maklumat daripada sumber – sumber yang salah.
Kesemua isu ini akan dianalisis, dirangka dan disertakan dalam pembinaan modul sains komunikasi di bawah Young Scientists Network- Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) dan Malaysian Science Communication Network (MSCN).
Modul tersebut kemudian akan diimplementasikan untuk melatih dan melahirkan lebih banyak ahli komunikasi sains yang efektif di samping menjadi rujukan asas untuk matlamat masa panjang mengintegrasikan sains komunikasi ke dalam kurikulum pendidikan.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Dr Siti Khayriyyah, yang pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa sebelum ini dengan memenangi tempat pertama pertandingan Famelab 2018.