5 Benda yang Paling Takjub Pernah Ditemui di Angkasa Lepas

Cuba tengok ke atas. Ya, ke langit. Tapi jangan lah tengok waktu matahari tegak, rosak lah mata nanti. Ya, kena la keluar dari bilik tu dulu …

Isyh, ok tak apa. Biasanya kita lihat langit ini sebagai ‘bosan’, tak banyak benda yang menarik. Kalau ada pun yang menarik bila ada jet lalu. Lagi seronok tengok skrin telefon.

Tapi tahu tak bahawa sebenarnya di angkasa lepas nun jauh melangkaui langit ada benda – benda menakjubkan yang lagi meletupkan otak berbanding filem – filem Hollywood?

Antaranya ….

Planet yang diperbuat daripada berlian

Berlian adalah objek dambaan sekalian wanita (penulis tahu sebab penulis tengok drama). Jadi cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya wujud sebuah planet yang diperbuat sepenuhnya daripada berlian, dan kita hidup di dalamnya.

Sudah pasti, berlian tidak lagi akan jadi barang berharga sebab ia dijumpai di merata – merata. Permintaan menurun, dan lelaki tetap akan perlu cari barang lain untuk gembirakan hati pasangan mereka …

Oh, sebenarnya nak beritahu bahawa saintis menemui planet yang diperbuat daripada berlian.

Planet yang mengorbit pulsar PSR J1719-1438, 4000 tahun cahaya jauhnya daripada kita itu dipercayai memiliki tekanan yang sangat tinggi.

Tekanan yang sangat kuat pada planet tersebut berkemungkinan menjadikan karbon – karbon di planet itu sebagai kristal. Apatah lagi, planet itu sendiri terdiri daripada komposisi karbon yang besar. Maka sebilangan besar daripada planet tersebut dijangka diliputi berlian!

Planet bling – bling (bukan nama rasmi) itu mungkin merupakan sisa tinggalan bintang masif yang kelihatan lapisan luarnya akibat mengorbit bintang pulsar.

Mengapa tekanan yang kuat menjadikan karbon sebagai berlian? Sebab itulah asal usul berlian. Berlian bukan tumbuh seperti pokok, tetapi ia terhasil apabila atom karbon dikristalisasi membentuk struktur berlian akibat tekanan yang begitu tinggi.

Itulah sebabnya ada pepatah yang mengatakan bahawa orang yang betul – betul istimewa, apabila hadapi tekanan akan menjadi berlian. Bagus juga artikel ni boleh beri motivasi pada orang ya.

Aliran arus elektrik paling kuat di alam semesta

Elektrik mungkin merupakan benda paling cool di planet bumi, diikuti rapat oleh memes. Dengan elektrik, kehidupan manusia berubah beratus – ratus kali ganda lebih mudah, sehinggakan pengalaman masuk hutan selama dua hari tanpa elektrik saja sudah cukup mengerikan untuk manusia moden.

Tapi dengan kapasiti elektrik yang begitu besar, sekejap saja statusnya boleh berubah daripada ‘best la elektrik’ kepada ‘mati aku’.

Jadi bayangkan kegerunannya apabila saintis menemui aliran arus elektrik yang paling kuat yang pernah dilihat 2 bilion tahun cahaya jauhnya daripada bumi.

Apabila gelombang radio diukur berdekatan dengan galaksi yang dipanggil 3C303, yang didapati terdapat fenomena tembakan jet jirim gergasi, kumpulan pengkaji dapati susunan gelombang tersebut berubah.

Setelah dianggar, didapati bahawa jumlah aliran arus elektrik tersebut adalah sebanyak 1018 amps (sepuluh kuasa lapan belas amps) , atau bahasa mudahnya bersamaan satu trillion sambaran petir, atau bahasa mudahnya YA ALLAH BESAQNYA KAREN TUUU.

Jadi apa yang menyebabkan jumlah aliran arus elektrik yang sangat besar tu? Tiada lain, lohong hitam lah.

Pasukan pengkaji tersebut merasakan bahawa medan magnet lubang hitam yang besar di tengah – tengah galaksi tersebut yang menjana arus elektrik itu.

Harapnya tak sampai bumi.

Kolam air paling besar di alam semesta

Quasar yang diliputi wap air – ilustrasi gambaran

Air mungkin adalah bahan yang kita tak jangka boleh berada di angkasa lepas. Iya lah, mana ada awan di sana kan? Atau ada awan jenis lain yang kita panggil awan nano?

Namun di lokasi sejauh 12 bilion tahun cahaya daripada bumi, ahli astronomi telah menemui takungan air yang paling besar yang pernah dikesan di alam semesta.

Jumlah air tersebut adalah bersamaan dengan 140 trillion jumlah keseluruhan isipadu air di lautan bumi, dengan kata lain ia mampu memberi minum setiap seorang di bumi jumlah air sebesar planet bumi kali 20 000, dengan kata lain YA ALLAH BESAQNYA AIR TUUU.

Takungan air yang tersangat besar itu ditemui di quasar APM 08279+5255 ( tak, ini bukan nombor telefon admin).

Quasar adalah objek angkasa yang sangat terang yang ditemui di pusat beberapa galaksi dan dikuasai oleh … apa lagi, lohong hitam yang supermasif. Lohong hitam tersebut lebih besar daripada 20 billion matahari.

Wap air tersebar di sekeliling lohong hitam tersebut dalam satu kawasan yang berjarak ratusan tahun cahaya jaraknya.

Bintang yang sangat sejuk sehingga nak jilat pun boleh

Satu perkara yang kita tahu tentang bintang adalah ia sangat panas.

Matahari kita (sebuah bintang), miliki suhu permukaan setinggi 6000 °C dan suhu teras sekitar 15 juta °C . Kalau nak melawat matahari waktu malam pun tak boleh, panas sangat. Eh.

Tapi saintis sebenarnya telah menemui bintang yang lebih sejuk daripada air yang anda buat untuk jerang maggi.

75 tahun cahaya jauhnya daripada kita adalah bintang yang dipanggil CFBDSIR 1458 10b, suhu permukaan bintang tersebut hanyalah sekitar 97 °C . Iaitu lebih kurang suhu secawan kopi.

Bintang yang ganjil tersebut dipanggil bintang yang gagal (hey tak baik tau, dia dah cuba sebaik mungkin) kerana ia memiliki ciri – ciri suhu dan kimia seakan bintang, tetapi tidak miliki jisim yang cukup untuk membolehkan daya graviti menyalakan proses lakuran nuklear (nuclear fusion) di terasnya.

Tapi selang beberapa bulan selepas itu saintis temui satu bintang yang lebih sejuk, yang dipanggil WISE 1828+2650 . Suhunya cumalah sekitar 25 °C , iaitu lebih rendah daripada suhu bilik. Ia juga dianggap bitang yang gagal.

Tak tahu kenapa, sedih pula.

Objek blob paling besar di alam semesta

Gambar (pelik) di atas yang kelihatan seperti amoeba sebenarnya adalah struktur objek yang paling besar di alam semesta.

Besar macam mana tu? Emm … panjangnya adalah sejauh 300 juta tahun cahaya. Maksudnya cahaya memerlukan masa 300 juta tahun untuk mengembara dari satu hujung ke satu hujung. Maksudnya YA ALLAH … ok dah la tu.

Sebagai perbandingan, galaksi bima sakti kita adalah berukuran 100 juta tahun cahaya. Bermakna blob tersebut adalah 3 kali ganda lebih besar daripada galaksi kita, menjadikannya antara objek tunggal yang paling besar di alam semesta

Blob yang dipanggil Lyman alpha blob itu terdiri daripada galaksi – galaksi dan buih – buih gas yang besar.

Oh, dan usia blob tersebut juga sangat tua, iaitu ia telah pun wujud ketika mana alam semesta kita cumalah berusia 800 juta tahun, iaitu 6 peratus daripada umur sekarang.

Ada banyak teori yang cuba menjelaskan asal usul blob tersebut, tetapi ia kekal sebagai antara misteri terbesar alam semesta.

Total
34
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts