Kalau saya cerita pada anda tentang satu kelibat yang seakan ditutupi kain putih terapung – apung dalam kegelapan, apa anda fikir?
Hantu kan?

Jika selama ini rakaman – rakaman hantu banyak yang palsu, kabur, atau kualiti kentang, jangan risau, kerana kita akhirnya menemui hantu yang sebenar dalam kualiti HD. Kalau anda lemah semangat, jangan tonton!

Ahhhhhh
Obor – obor Deepstaria
Jangan risau, ‘hantu’ itu sebenarnya bukanlah hantu, sebaliknya hanyalah obor – obor Deepstaria.
Ia ditemui oleh sekumpulan saintis yang menaiki kapal pengembaraan Nautilus, dan penemuan obor – obor ini bukanlah disambut dengan jeritan ketakutan, sebaliknya kegembiraan kerana mereka berpeluang mendokumentasikan spesis yang jarang dikenali ini di habitat semula jadi.
Deepstaria yang misteri itu merupakan pengubah badan (shapeshifter) yang boleh menyerupai plastik sampah putih yang besar ataupun lampu jalan.
Dalam video tersebut, obor – obor itu adalah lebih kurang sebesar tong sampah. Ia tiada sesungut dan muncul dalam bentuk loceng membran nipis. Jika anda meneliti dengan lebih dekat, anda dapat melihat urat – urat geometri yang menyokong struktur jeli tersebut dan menyalurkan nutrien kepada badannya.

Oh. Dan anda mungkin nampak ada sesuatu yang berwarna merah pada kepala Deepstaria bukan? Adakah itu otaknya?

Tidak, sebenarnya itu adalah organisme lain yang menumpang obor – obor tersebut, bernama isopod. Ia tidak mati, dan bukan dimakan oleh obor – obor, sebaliknya ia menumpang rumah.
Daripada perhubungan dengan obor – obor tersebut, isopod memperoleh perlindungan dan sisa makanan. Tidak dipastikan obor – obor itu dapat apa.
Masih banyak yang kita tak ketahui tentang spesis Deepstaria ini, apatah lagi jutaan spesis – spesis lain yang masih belum ditemui di lautan dalam.
Sumber: popsci.com