Universiti Berkuasa Solar di Malaysia?

Adakah anda tahu, pada tahun 2020, lebih 80% sumber tenaga bagi penjanaan tenaga elektrik di Malaysia adalah daripada sumber bukan diperbaharui (non-renewable resources)?

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga, penjanaan tenaga elektrik daripada sumber tenaga bukan diperbaharui Malaysia pada tahun 2020 berada pada tahap 42% bagi arang batu dan 40% sumber gas asli, manakala daripada sumber tenaga diperbaharui (renewable resources) hanyalah 9% selain penjanaan tenaga daripada sumber hidroelektrik sebanyak 8%.

Rajah 1: Kapasiti Penjanaan Tenaga Malaysia (2020 – 2030) (Sumber: Suruhanjaya Tenaga)

Melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Tenaga (2020 – 2030) seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Tenaga, pada tahun 2030, penjanaan tenaga elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia akan meningkat kepada 23% manakala sumber arang batu menurun kepada 29%.

Ini akan mengurangkan kebergantungan penjanaan tenaga elektrik daripada sumber bukan diperbaharui seperti arang batu seterusnya dapat mengurangkan perlepasan gas rumah hijau ke atmosfera di bumi Malaysia.

Kerajaan Malaysia amat komited untuk meningkatkan penghasilan tenaga elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui daripada 2% pada tahun 2019 kepada 20% pada tahun 2025. Ini adalah suatu komitmen besar kerajaan untuk mencapai lonjakan hampir 10 kali ganda (1000%) daripada status sumber tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2019.

Salah satu cara untuk menjana sumber tenaga boleh diperbaharui adalah melalui penghasilan tenaga elektrik menggunakan fotovoltaik solar. Dengan perkembangan teknologi terkini, kos pemasangan bagi kegunaan domestik sistem fotovoltaik solar telah dapat diturunkan dengan banyak kepada hanya RM 4,000 – 5,000 bagi setiap 1 kWp sistem yang dipasang.

Selaras dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan penghasilan tenaga elektrik boleh diperbaharui daripada solar, kerajaan telah memperkenalkan empat (4) fasa Stesen Fotovoltaik Solar Berskala Besar (LSSPV) yang dibuka untuk bidaan bermula daripada tahun 2016. Inisiatif ini adalah langkah penawaran kompetitif bagi menurunkan kos tenaga boleh diperbaharui daripada tenaga solar.

Jumlah sasaran tenaga elektrik boleh diperbaharui yang telah ditetapkan adalah sebanyak 1,000 MW atau pun 1 GW dengan beberapa syarikat yang telah memenangi bidaan dan berjaya mendapatkan kelulusan kerajaan bagi pembinaan LSSPV sehingga berkapasiti 50 MW bagi setiap stesen.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana telah berjaya mengoperasikan dua (2) stesen janakuasa fotovoltik solar berskala besar di Gambang, Pahang dan Pasir Gudang, Johor.

Stesen Fotovoltaik Solar 50 MW UiTM Solar Park I di Gambang, Pahang

Stesen ini mula beroperasi pada bulan April 2019 dengan dimiliki dan dioperasikan oleh UEFSB melalui Special Purpose Vehicle (SPV), UiTM Power Sdn. Bhd. Kos pembangunan UiTM Solar Park I ini sebanyak RM 278 juta dengan 80% pembiayaan melalui terbitan sukuk. Melalui projek ini, UiTM telah diiktiraf sebagai universiti pertama di dunia yang membiayai projek hijau melalui penerbitan ASEAN Green SRI Sukuk.

Rajah 2: 50MW LSSPV UiTM Solar Park I di Gambang, Pahang

Stesen Fotovoltaik Solar 25 MW UiTM Solar Park II di Pasir Gudang, Johor

Mula beroperasi pada November 2020, stesen janakuasa fotovoltaik solar Solar ini mempunyai kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 25 MW dan merupakan stesen kedua terbesar selepas UiTM Solar Park I (50 MW). Stesen janakuasa solar ini dijangkakan akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,000 ton setiap tahun.

Rajah 3: 25 MW LSSPV UiTM Solar Park II di Pasir Gudang, Johor

Dengan adanya UiTM Solar Park I 50 MW and UiTM Solar Park II 25 MW, UiTM berupaya menjana tenaga hijau (green energy) daripada sumber tenaga boleh diperbaharui sebanyak 75 MW. Ini belum lagi mengambil kira kapasiti penjanaan tenaga melalui projek “Solar Rooftop” yang telah atau dirancang untuk dipasang di lokasi lain di kampus cawangan UiTM di seluruh negara.

Pengiktirafan dan Perjanjian Tenaga

Dengan kapasiti penjanaan tenaga elektrik melalui fotovoltik solar sebanyak 75 MW melalui UiTM Solar Park I dan II, secara rasminya, UiTM telah diiktiraf sebagai universiti awam pertama di Malaysia dengan kemudahan penjanaan tenaga solar terbesar serta universiti awam pertama di Malaysia yang mengoperasikan stesen janakuasa fotovoltaik solar secara komersil. Kedua-dua LSSPV milik UiTM ini telah mendapat kelulusan bagi konsesi pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 30 tahun.

Projek Fotovoltaik Solar sekitar Kampus Cawangan UiTM dan Semenanjung Malaysia

Sebanyak tujuh (7) perjanjian pembelian tenaga (PPA) telah ditandatangani bagi tujuan pemasangan fasiliti fotovoltaik solar bagi projek “On-Campus Energy Optimization and Solar Rooftop” untuk kampus UiTM di Dungun, Permatang Pauh, Jengka, Kuala Pilah, Alor Gajah, Segamat dan Bertam.

Rajah 4: Projek “Solar Rooftop” di beberapa kampus cawangan UiTM

Projek fotovoltaik solar yang lain seperti LSS TNB 50 MW di Sepang (2018), Quantum Solar Park Malaysia, 50 MW di Pendang, Kedah serta beberapa lagi stesen LSS berkapasiti 50 MW bertempat di Gurun, Kuala Ketil di Kedah, Merchang di Terangganu, Jasin di Melaka dan Rembau di Negeri Sembilan.

Rajah 5: Lokasi Stesen Janakuasa di Semenanjung Malaysia

Semoga perancangan dan pelaksanaan LSSPV di Malaysia dapat berjalan dengan lancar bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui. Dengan itu, import arang batu dapat dikurangkan secara langsung manakala kesan jejak karbon (carbon footprint) dapat diminimumkan secara tidak langsung, seterusnya diharapkan langkah ini dapat membantu dalam mitigasi perubahan iklim secara global.

Disediakan oleh:

Mohd Fadhzir Ahmad Kamaroddin (P. Tech, AMIChemE)

Pegawai Penyelidik Kanan, Institute of Future Energy, Universiti Teknologi Malaysia

Pelajar Tahun Akhir Doktor Falsafah (PhD) – Hydrogen Production

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia

Rujukan

  1. Malaysia needs US$8 billion investment to achieve 20% renewable energy target by 2025, https://cutt.ly/BvDKBBG
  2. Laman web Suruhanjaya Tenaga Malaysia, www.st.gov.my
  3. Laman web UiTM Energy, https://uitmenergy.com/
  4. Report on Peninsular Malaysia Generation Development Plan 2019 (2020 – 2030), https://cutt.ly/UvDZViL
  5. Solar Pendang terbesar di Utara Malaysia, https://www.sinarharian.com.my/article/12411/EDISI/Utara/Solar-Pendang-terbesar-di-Utara-Malaysia
  6. Suruhanjaya Tenaga – Lokasi Stesen Janakuasa di Semenanjung Malaysia, https://www.st.gov.my/ms/web/general/details/273\
  7. Laman Facebook UiTM Energy, https://www.facebook.com/UiTMEnergy
Total
47
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts