Genius – genius Yang Melihat Ciptaan Mereka Digunakan Untuk Kejahatan

Antara impian terbesar ramai orang adalah untuk mencipta sesuatu yang hebat, berguna, dan akan diingati selama – lamanya.

Biasanya pencipta – pencipta ciptaan yang hebat dalam sejarah ini dipanggil genius, dan mereka akan disanjungi dalam buku – buku sejarah.

Masalahnya, tidak semua genius ini akhirnya akan berbangga dengan ciptaan mereka. Malah ada yang menyesal apabila melihat manusia menggunakan buah fikiran mereka untuk kejahatan dan kejengkelan.

Antaranya ….

Promosi kopi luwak eksotik Tony Wild yang akhirnya menzalimi binatang.

Bagi penggemar kopi, pasti anda pernah mendengar tentang kopi Luwak dari Indonesia. Ia dikatakan sebagai kopi yang paling mahal dalam dunia dengan harga yang boleh mencecah RM 300 – RM 400 ringgit secawan.

Oh, dan anda mungkin juga pernah mendengar tentang bagaimana kopi luwak dihasilkan. Ia diperoleh daripada najis musang luwak, ya, betul. Biji kopi yang keluar bersama najis musang tersebut akan dicuci dan diproses untuk dijadikan kopi.

Oh, tapi hukum meminumnya adalah harus, sebab setelah dibasuh, hilanglah kenajisannya menurut Mufti Wilayah. Kot anda berminat nak cuba minum.

Selama ini, kopi luwak tidak pernah memiliki pasaran yang baik, sebab ia cuma dihasilkan secara persendirian, teknik pembuatan yang sukar dan ialah, ia … datang dari najis haiwan.

Tapi pada tahun 1991, seorang pengimport teh dan kopi British, Tony Wild membawa pulang 2 pound kopi tersebut ke U.K. Asalnya ia hanyalah bertujuan untuk mendatangkan publisiti kepada syarikatnya, tetapi, amat mengejutkan, keseluruhan negara menjadi tergilakan kopi luwak.

Maka pasaran kopi luwak mula meletup dan permintaan meroket naik. Maka bersepahlah kopi luwak yang palsu (hampir 80% tidak tulen) di pasaran. Bukan saja biji tersebut tidak pernah dimakan oleh musang luwak, ia tidak pernah hampiri pun binatang tersebut.

Masalah yang lebih menyedihkan adalah nasib yang menimpa musang Luwak. Disebabkan industri tidak mahu mengejar musang tersebut siang malam, mereka buat keputusan untuk menangkap ratusan musang luwak, mengurung dalam sangkar, dan memaksa mereka menelan hampir 7 pound biji kopi setiap hari untuk ditinjakan.

Musang luwak ini adalah hidupan nokturnal yang aktif pada waktu malam. Apabila disangkar, mereka hidup dalam tekanan yang tinggi. Maka mereka bercakaran sesama sendiri, makan kaki mereka dan mula berlaku pendarahan pada najis, sehingga mereka mati.

Tony Wild amat menyesali tindakannya membeli dan mempromosi kopi tersebut sehingga melahirkan kanser dalam masyarakat dunia ini.

Ujian IQ Alfred Binet yang digunakan untuk agenda rasis perkauman

Rasanya hampir semua orang pernah mengambil ujian IQ, sama ada di sekolah, atas talian, atau pautan Facebook yang dikongsi oleh mak cik pak cik, yang entah betul atau tidak.

Sebenarnya, ujian yang dihasilkan kononnya untuk menilai daya kecerdasan manusia ini miliki sejarah yang hitam.

Oh, dan Einstein tak miliki IQ sebanyak 160, sebab dia tak pernah ambil ujian IQ!

Lelaki di belakang ujian IQ Binet – Simon yang kita biasa tengok

Konsep menggunakan nombor untuk menentukan daya otak seseorang sebenarnya telah wujud lama sejak 1905 lagi. Ia antara lain dikembangkan oleh ahli psikologis Perancis Alfred Binet, yang melihat bahawa kanak – kanak miliki kemampuan belajar yang berbeza.

Dan sewaktu ujian tersebut dihasilkan pun, Alfred Binnet sendiri memperakui bahawa terdapat banyak limitasi. Ia tak lah dicipta untuk memberi label ‘bodoh’ atau ‘dungu’ kepada manusia ….

Tapi akhirnya itulah yang berlaku.

Kontroversi awal yang mengeksploitasi keputusan ujian IQ adalah apabila ia digunakan oleh ahli psikologi Amerika untuk halang kemasukan imigran.

Imigran dihalang masuk sebab mereka dianggap ‘dungu’, sebab rata – rata mereka skor rendah dalam ujian IQ yang diwajibkan ke atas mereka sebelum boleh masuk ke US.

Tapi iyalah, dah pastilah markah mereka rendah. Ujian IQ tersebut dibuat dalam bahasa Inggeris, jadi mana mereka faham. Maka tersirat pula syarat menguasai bahasa Inggeris sebagai penilai kepandaian seseorang.

Kontroversi konsep IQ yang lebih besar adalah yang dipanggil sebagai Jensenism, iaitu apabila Arthur Jensen, seorang profesor pendidikan di Harvard, menggunakan ujian IQ untuk kata orang kulit gelap lebih dungu daripada orang kulit putih.

Untuk menambah kuah, beliau mengatakan bahawa ketidakbijakan orang kulit hitam adalah sebab faktor bangsa dan genetik. Bermakna, menurut Jensen, orang kulit hitam memang dilahirkan lebih dungu daripada orang kulit putih.ADVERTISEMENT

black.JPG
Macam mana boleh terbitkan berita macam ni? *Tengok surat khabar. Oh Fox News. Patutlah.

Malah beliau pergi lagi jauh apabila beliau menyeru juga kepada eugenics, satu kepercayaan paling kontroversi dalam dunia saintifik, iaitu gerakan untuk membiakkan manusia secara terancang dengan hanya membenarkan manusia yang miliki gene berkualiti saja untuk membiak.

Peter Jensen melihat pembesar suaranya digunakan untuk propaganda Hitler

Peter Laurids Jensen merupakan pereka cipta awal abad ke 20 dari Denmark yang disebut sebagai ‘Edison Danish’. Tapi perangai beliau setakat yang diketahui tidaklah menjengkelkan, jijik dan jahat seperti Thomas Edison.

Pada tahun 1909, Jensen berpindah ke US untuk bekerja. Dia dan rakan bisnesnya Edwin Pridham kemudian mencipta pembesar suara yang mereka panggil Magnavox.

Pada petang Krismas 1915, Jensen dan Pridham mendemonstrasikan ciptaan mereka dengan memainkan karol popular di hadapat 75 000 orang di San Francisco. Dikatakan, pembesar suara mereka mampu mencapai jarak satu batu.

Maka hidup manusia pun bertambah baik, kerana satu alat yang mampu membolehkan anda menyampaikan suatu mesej melangkaui jarak yang jauh kepada ribuan sudah pasti tiada kesan buruk …. kan?

Sudah pasti ciptaan ini akan mahu dieksploitasi oleh pemimpin yang mahukan suara dan arahan mereka didengari ramai. Maka cuba teka siapa orang pertama yang melihat potensi membasuh otak alat tersebut?

Joseph Goebbel

Sebagai menteri propaganda Hitler, Joseph Goebbel diberi tanggungjawab untuk memastikan semua orang mendengar mesej Hitler. Jadi memandangkan Facebook (aplikasi basuh otak terhebat setakat ini) belum dicipta lagi, maka Goebbel memilih untuk menggunakan pembesar suara yang dipancar di setiap sudut jalan.

Pembesar suara kemudian menjadi simbol penting pada imej Hitler, dan ia mula disukai oleh ramai orang German.

Dan sudah pasti, Jensen kemudian menyesal sepenuhnya mencipta pembesar suara setelah mendapat tahu Hitler dan diktator menggunakannya untuk kejahatan.

 

Alfred Nobel melihat dinamitnya meletupkan orang.

Alfred Nobel, yang namanya kita selalu dengar pada anugerah Nobel, amat dikenali dengan aktiviti yang kita tahu selalu dibuat oleh genius, iaitu meletupkan benda.

Setelah melihat kilang keluarganya meletup pada 1864, sehingga membunuh lima orang pekerja dan adiknya, Nobel kemudian membuat keputusan untuk menghasilkan bahan letupan yang lebih selamat. Maka terciptalah dinamit, sejenis nitroglycerin yang lebih mudah dibawa.

Dinamit, seperti mana ciptaan letupannya yang lain, diciptan untuk tujuan industri seperti meletupkan batu dan ekskavasi. Beliau sebenarnya nampak saja potensi ciptaannya untuk digunakan untuk tujuan yang lebih … kurang murni, tetapi beliau percaya dengan seikhlas hati bahawa manusia cukup baik untuk tidak lakukannya.

“Dinamitku akan lambat laun menghasilkan keamanan berbanding seribu sidang dunia. Sebaik saja manusia dapati bahawa dengan mudah saja tentera boleh diletupkan, mereka sudah pasti akan mahukan keamanan!”

Alfred Nobel

Yepppp … betul la tu encik Nobel.

Inilah lambang keamanan!

Pada tahun 1888, setelah berdekad – dekad tentera menggunakan dinamit dengan cara paling kreatif untuk membunuh pihak lawan (eh, bukan Nobel kata … tak apa lah), abang Nobel meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sebuah akhbar Perancis yang tersilap maklumat menyangka bahawa Alfred Nobel yang meninggal dunia, maka mereka terbitkan muka depa akhbar yang tidak berapa positif, berbunyi:

“Saudagar kematian telah mati! Kekayaannya dikumpul dengan mencari cara – cara baru untuk menceraikan tubuh dan membunuh!”

Maka setelah membaca petikan ini, Alfred Nobel terkesima. “Inikah cara aku mahu diingati setelah aku mati nanti?”. Maka beliau buat keputusan untuk tinggalkan harta kekayaannya untuk mendanai anugerah Nobel sebagai wasiat terakhirnya untuk memajukan sains.

J Robert Oppenheimer Melihat Bom Nuklearnya Dijatuhkan di Jepun

Apa perasaan kalau hasil ciptaan kita, anak yang kita besarkan, curah kasih sayang dan tatang bagai minyak yang penuh akhirnya jadi satu kejahatan besar yang kita kesali dan kita sendiri mahu hentikan?

Itulah apa yang berlaku kepada Oppenheimer, seorang genius yang dipanggil bapa bom atom.

Setelah mencurahkan tenaga intelek yang menakjubkan, Oppenheimer yang mengetuai Manhattan Project berjaya menghasilkan senjata agong bom atom yang kemudian mengubah segala – galanya.

Oppenheimer kemudian melihat ciptaan kesayangannya itu dijatuhkan ke atas negara Jepun yang sudah pun hampir kalah dan lantas menyebabkan kemusnahan yang tidak terbayang.

Beliau mula menjadi ketar, beliau rasakan beliau bakal menjadi punca kemusnahan manusia, dan beliau kata kepada Presiden U.S ketika itu.

Tuan Presiden, tangan saya berdarah

Beliau kemudian dihalau dan dipanggil saintis manja.

Oppenheimer kemudian berjuang supaya masyarakat antarabangsa mengawal penggunaan kuasa nuklear, tapi beliau kemudian dimalukan, dan kuasa politik beliau dilucutkan.

Komen beliau tentang bom atom adalah antara rakaman video yang paling menggerunkan di Internet.

https://www.youtube.com/watch?v=lb13ynu3Iac
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts