Tak minat sambung belajar? Malu Kalau Kita Baca Kisah Ulama Dulu Tuntut Ilmu

Kecoh di media sosial apabila tular berita berkenaan 72.1 peratus anak muda yang memilih untuk tidak sambung belajar selepas SPM. Dapatan ini merupakan hasil kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019.

Sumber foto : The Patriots

Pada sesetengah pihak, keadaan ini dilihat sebagai satu masalah besar kerana keadaan ini akan memberi impak kepada produktiviti negara dan mengurangkan peratusan pakar dalam sesebuah industri. Tetapi, terdapat mereka yang merasakan hal ini bukanlah suatu masalah kerana hakikat dunia sekarang yang menawarkan banyak kaedah untuk menjana pendapatan, dengan syarat anak muda tersebut rajin dan proaktif mempelajari skil-skil baru. 

Biarpun begitu, hal ini masih perlu menjadi satu kerisauan kerana semakin ramai anak muda dilihat menceburkan diri dalam industri perniagaan yang menjanjikan skim cepat kaya dan industri yang lara seperti hiburan dan seumpamanya.

Tidak dinafikan, tekanan keadaan semasa untuk meneruskan kehidupan seperti permasalahan sistem pendidikan, peningkatan kadar pengangguran setelah tamat pengajian dan keperluan wang segera bagi menyara kehidupan, ditambah pula dengan dunia populariti yang menggila semakin mempengaruhi jiwa anak-anak muda.

Dalam hal ini, tidak mudah untuk kita menyalahkan mana-mana pihak. Banyak hal yang perlu diteliti dan dibaiki.

Tidak mahu olah panjang perihal ini, saya nak ajak kita telusuri seketika matlamat budaya ilmu dalam peradaban zaman lalu.

Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Sumber foto : Bumi al-Quran

Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Penurunan wahyu pertama dengan perkataan ‘iqra’’ yakni ‘bacalah’ menguatkan lagi bukti bahawa menuntut ilmu merupakan satu tuntutan Agama kerana ‘bacalah’ merupakan kunci kepada gedung ilmu yang membawa manusia kepada era kemajuan dan peradaban.

Nama-nama besar orang terdahulu yang terkenal sehingga kini semuanya kerana kebijaksanaan mereka dalam kepelbagaian ilmu pengetahuan yang menyumbang kepada kemajuan banyak aspek kehidupan manusia. Bermulanya era kajian dan galian ilmu telah membawa kepada sebuah peradaban dunia yang luar biasa.

Baik di zaman Yunani, Rom, Cina, India, Arab, mahupun Eropah, semuanya meletakkan ilmu sebagai asas kemajuan kehidupan.

Bermula dengan manusia pertama, iaitu Nabi Adam, Allah telah mengajarkan beberapa ilmu kepadanya sehingga berlakunya perkembangan manusia yang kemudiannya beralih ke zaman nabi-nabi seterusnya yang dibekalkan wahyu dan ilmu daripada Allah demi memakmurkan kehidupan dunia dengan kebenaran.

Semakin berkembang populasi manusia, semakin berkembanglah minda dan pemikiran. Maka, terlahirlah kepelbagaian adat dan budaya berdasarkan kepercayaan dan logik akal masing-masing.

Tetapi, ilmu masih terus dicari dan digali demi menjawab persoalan ‘kenapa manusia diwujudkan’ dan ‘siapa yang mencipta manusia’, yang seterusnya mencetuskan lagi ilmu-ilmu pengetahuan baru.

Pengkelasan Ilmu

Menurut Imam al-Ghazali, ilmu dapat dikategorikan kepada dua iaitu ilmu syariah dan bukan syariah.

Ilmu syariah ialah ilmu yang diperoleh menerusi wahyu. Manakala, ilmu bukan syariah ialah ilmu yang terlahir daripada sumber akal, pemerhatian, percubaan, dan pengalaman manusia.

Antara ilmu yang terkandung bawah ilmu bukan syariah ialah matematik, perubatan, bahasa, kimia, fizik, geologi, dan seumpamanya yang terlahir bersumberkan indera dan akal.

Pengelasan-pengelasan ilmu ini telah dibincangkan dan dibahaskan secara meluas oleh para ilmuwan Islam termasuklah al-Khawarizmi, al-Farabi, al-Ikfani dan Ibnu Khaldun. Ilmu-ilmu ini kemudiannya telah disebarkan dengan meluas dalam halakah pengajian di masjid atau di kolej. Dalam masa satu kurun pembukaan balai ilmu Baitul Hikmah, kegiatan ilmu menjadi satu kegiatan yang sangat besar di seluruh wilayah Islam yang membawa kepada pembinaan tamadun agung umat Islam dalam pemikiran ilmiah.

Budaya Ilmu Tamadun Islam

Wahyu pertama iaitu “Bacalah dengan nama Tuhan-mu” menjadi prinsip asas perkembangan ilmu dalam budaya Islam sejak zaman berzaman. Ilmu dituntut dan dikaji dengan ikhlas demi memenuhi perintah Ilahi. Kecintaan terhadap ilmu telah membawa kepada terasasnya perpustakaan yang banyak di seluruh wilayah Islam. 

Antara perpustakaan yang awal terbina ialah perpustakaan Darul Hikmah dan Nizamiyyah Baghdad, perpustakaan Cordova dan perpustakaan Darul Ilmi Kaherah.

Tercatat bahawa lebih daripada 10,000 koleksi pelbagai kitab tersimpan di perpustakaan Nizamiyyah Baghdad yang dibina dalam kurun ke-5 hijrah. Manakala, perpustakaan awam Cordova mengandungi koleksi 400,000 buku yang dikatalog dalam 44 katalog dan setiap katalog mempunyai 50 lembaran, dengan 20 katalog dikhususkan kepada ilmu syariah sahaja. Perpustakaan Darul Ilmi pula yang dibina pada tahun 1005 Masihi dikatakan mempunyai 2,000,000 koleksi pelbagai ilmu pengetahuan.

Aktiviti penterjemahan, penghasilan karya, penyelidikan, penulisan, dan sumbangan kepada kekayaan bahan keperpustakaan terus dipergiat.

Sumber foto : Twitter Awan Wafdan @seketulawan

Baitul Hikmah di kota Baghdad telah menjadi pusat kegiatan ilmu. Dewan kuliah, bilik perbincangan, ruang rehat, masjid, tempat penginapan, ruang penyelidikan dan beberapa kemudahan lain tersedia kepada para pengunjung. 

Khalifah al-Makmun yang memerintah ketika itu sangat mencintai ilmu. Beliau telah mengumpulkan para ilmuan di Baitul Hikmah baik Islam mahupun bukan Islam, baik Arab, mahupun bukan Arab, yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakang untuk terus menggerakkan perbincangan-perbincangan ilmiah termasuklah perihal maslahah umat Islam, ketamadunan manusia, dan kajian falsafah.

Pengumpulan manuskrip-manuskrip dalam pelbagai bidang yang diwarisi dari tamadun silam seperti buku falsafah dan matematik Yunani, buku perubatan Farsi serta astronomi India dibawa ke pusat kajian lalu diterjemah, disalin, dibahas, dan dikembangkan mengikut pengetahuan semasa dan agama.

Maka, terlahirlah tokoh-tokoh ilmu hebat dan terkenal seperti Imam Abu Jaafar al-Tabari yang dikatakan seorang ilmuwan yang meninggalkan paling banyak kitab dan tulisan menjadi bahan kajian utama sepanjang zaman.

Kita juga mengenali Abu Bakar Al-Razi, tokoh saintis kimia silam yang menghasilkan 220 karya dalam pelbagai bidang sehinggakan 30 jilid karyanya menjadi rujukan universiti Eropah selama ratusan tahun.

Al-Jahiz, seorang sasterawan dan ahli zoologi Islam yang menulis 300 judul karya dan terkenal juga kisah kematiannya apabila punca kematiannya disebabkan beliau tertimbus dengan karya-karyanya sendiri.

Al-Biruni, karya agungnya dalam astronomi dan fizik membawa manusia mengenali alam sejagat termasuklah di dalam dan di luar ruang bumi.

Al-Farabi yang mempelajari puluhan bahasa untuk menggali khazanah silam dan ditapis mengikut acuan pemikirannya, kemudian disumbangkan kepada peradaban manusia.

Ibnu Sina, al-Razi,al-Khawarizmi, dan ramai lagi.

Nahdlatul Ulama Memberikan Tips dari Ilmuan Islam Ibnu Sina Ketika  Menghadapi Krisis Kesehatan - Halaman 2 - Serambinews.com
Sumber foto : Serambinews.com

Tokoh-tokoh tamadun lain

Seperti yang diterangkan di atas, manuskrip-manuskrip lama dari tamadun silam menjadi rujukan utama dalam perkembangan dan perbahasan ilmu umat Islam.

Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa tamadun Yunani, Farsi, dan India turut menjadikan ilmu sebagai asas kehidupan. Tidak terkecuali tamadun Cina.

Setiap tamadun ini turut melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan yang hebat dan sumbangannya besar dalam memajukan kehidupan manusia.

Antaranya Aristotle, Socrates, Euklid, Plato, Aryabhata, Varahamira, Brahmagupta, Li Ye, Qin Jiushao, Yang Hui, Zhu Shijie, dan ramai lagi.

Begitu juga dalam ajaran-ajaran lain seperti Konfusius yang merupakan seorang ahli falsafah dan ilmuwan Cina yang mengasaskan ajaran Konfusianisme turut meletakkan ilmu sebagai hal utama.

Tidak terkecuali Taoisme, Buddhisme, dan Kristian.

Universiti dan Perpustakaan

Universiti terawal dibina dalam sejarah Islam ialah Universiti Al-Qarawiyyin di kota Fez, Moroko pada tahun 859 Masihi. Menakjubkan lagi, pengasasnya ialah seorang wanita iaitu Fatima al-Fihri, seorang yang berketurunan bangsawan. Universiti-universiti lain termasuklah Universiti al-Azhar diasaskan pada tahun 975 Masihi, Universiti Muntansiriyyah yang dibina pada tahun 1233 Masihi, Universiti Timbukti Mali yang dibina pada tahun 1327 Masihi, dan Universiti Uthmaniyyah di Istanbul yang dibina pada 1453 Masihi.

Setiap universiti dibina bersama perpustakaan yang besar untuk rujukan para pelajar dan pensyarah.

Transisi era Kegelapan Eropah kepada era Keemasan kerana ilmu

Pada tahun 711, Islam telah sampai di Sepanyol dan menyebarkan kegemilangan ilmunya di Semenanjung Iberia selama lebih 700 tahun. Antara bandar Islam utama di Sepanyol ialah Almeria, Malaga, Cadiz, Huelva, Seville, Cordoba, Jaen, dan Granada. Dalam sejarah Islam, bumi ini dikenali sebagai Andalusia.

Sumber foto : Blog Mari Jadi Baik

Ketika Andalusia menempa nama serata dunia kerana kegemilangan ilmunya, seluruh Eropah masih berada dalam Zaman Kegelapan iaitu pada abad ke-4 hingga abad ke-12 Masihi kerana dikatakan masyarakatnya yang beku minda serta tiada kegiatan ilmu yang tinggi dapat menerangi pemikiran mereka. Mereka hanya dibelenggu dengan tradisi dan kepercayaan tahayul serta khurafat untuk meneruskan kehidupan.

Kemudian, bandar-bandar Islam Andalusia telah dikunjungi oleh para pelajar Eropah dan dikatakan ramai yang berhijrah ke Andalusia untuk mendalami pelbagai bidang ilmu. Tidak terkecuali tokoh-tokoh gereja Eropah yang telah menerima ilmu di universiti Andalusia. Kemudiannya, mereka menterjemah ilmu-ilmu tersebut dan mencetuskan gelombang ilmu di Eropah pula.

Foto : Cordoba

Dalam kurun ke-13, ilmu tamadun Islam terus disebarkan dan dikembangkan dengan pengaruh raja Eropah ketika itu yang turut berminat dengan ilmu-ilmu tersebut. Sehinggalah universiti pertama Eropah terbina iaitu di Paris dan Oxford, yang menggunakan kurikulum universiti Islam Sepanyol sebagai asas rujukan.

Kemudian, semakin ramai tokoh-tokoh ilmuwan dilahirkan dengan setiap daripada mereka mahir berbahasa Arab demi mendapatkan ilmu pengetahuan kerana bahasa Arab merupakan bahasa intelek dan ilmiah ketika itu. Manakala, bahasa Latin merupakan bahasa ilmu yang kedua. 

Kemunculan tokoh-tokoh yang aktif menyebarkan ilmu Arab ke Eropah ini telah membuka dimensi baru kehidupan masyarakat mereka ke arah sinar kehidupan yang lebih gemilang. Sepertimana yang berlaku di kota Baghdad, begitu juga yang berlaku di Eropah. Kegiatan-kegiatan ilmu terus dipergiat, termasuklah penulisan, penyelidikan, dan cetakan.

Penemuan-penemuan ilmu ini telah merubah era kegelapan Eropah kepada era keemasan.

Kesimpulan

Demikianlah sejarah mencatatkan hakikat ilmu menjadi faktor utama kegemilangan sesebuah kehidupan. Tanpa ilmu, manusia buta meraba dalam kegelapan. Tanpa ilmu, mudah-mudahnya seseorang itu akan diperbodohkan oleh manusia lain demi keuntungan manusia tersebut.

Melihat hakikat keadaan sekarang, sudah terlalu banyak kemajuan dan kehebatan ilmu dicapai kerana sumbangan orang-orang terdahulu. Mungkin kerana keadaan inilah, perkara inovasi dan penyelidikan ilmu secara mendalam tidak lagi mendapat tempat di hati manusia kerana semuanya sudah ada. Mungkinlah.

Biar apapun keadaannya, tanggungjawab menuntut ilmu jangan pernah diabaikan. Kita perlu kembali memahami matlamat utama kita menuntut ilmu. Dan kaedah menuntut ilmu ini luas. Baik kaedah formal atau tidak formal, kedua-duanya menjadi medium kita meraih ilmu.

Yang utama kita fahami ialah ilmu yang bagaimana yang dituntut. Iaitu ilmu yang bermanfaat, terutamanya ilmu agama.

Ingatlah sabda Baginda S.A.W mengenai kelebihan orang yang menuntut ilmu.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]

Biar apapun alasan kalian yang tidak mahu sambung belajar, semoga kalian bijak memilih cara hidup yang sesuai dengan tuntutan Islam yang terus mengajarkan kalian ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Walaubagaimanapun, pilihan untuk tidak sambung belajar bukanlah satu tindakan yang tepat kerana sistem pendidikan formal negara ini akan lebih memberi jaminan kepada masa depan adik-adik. Apa-apapun, selamat maju jaya ya! 

RUJUKAN

  1. Buku Bicarawara Sains Islam, Mat Rofa Ismail.
  2. Buku Matematik Merentas Tamadun, Mat Rofa Ismail.
  3. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-109 : Kelebihan Menuntut Ilmu, di pautan https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu
  4. Jurnal Peradaban (2018), “Pembudayaan Ilmu di Andalusia dan Iktibarnya untuk Pembangunan Tamadun di Malaysia” oleh Suhaila Abdullah.
  5. Teks Lengkap Liunyu Konfusius: Huraian Dari Perspektif Islam, Yusuf Liu Baojun
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts