Menelusuri sejarah panjang sehingga berlakunya pengiktirafan 8 Mac sebagai sambutan Hari Wanita Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1977, akan menampakkan kepada kita betapa wanita itu kuat dan menjadi luar biasa apabila dirinya mempunyai kesedaran dalam mentafsirkan erti kehidupan yang sebenar. Sehinggakan Mahatma Gandhi menyebut bahawa,
“Woman is the companion of man, gifted with equal mental capacity…If by strength is meant moral power, then woman is immeasurably man’s superior…If non-violence is the law of our being, the future is with women…” – Mahatma Gandhi
Kedatangan Islam kepada umat manusia melalui Nabi Muhammad S.A.W telah mengangkat martabat wanita sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran. Melangkaui beberapa generasi selepas kewafatan Baginda S.A.W, dunia kembali merendahkan martabat wanita serta mengetepikan hak-hak yang telah digariskan. Maka, telah berlaku gerakan-gerakan radikal yang dipimpin oleh wanita yang semakin sedar dek tekanan yang diberikan, khususnya di kalangan wanita kelas pekerja. Semangat memperjuangkan kesamarataan gender dan menentang kapitalisme ketika itu telah melahirkan satu sejarah yang panjang.

BERMULANYA GERAKAN RADIKAL
Permulaan gerakan atas dasar kesedaran ini telah bermula dengan watak seorang tokoh kiri Jerman yang bernama Clara Zetkin. Beliau telah memimpin satu biro wanita dalam Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) di Eropah bagi menggerakkan tuntutan hak wanita akibat tekanan dan pemerasan tenaga kerja terhadap pekerja-pekerja wanita untuk keuntungan pemodal besar dengan perluasan sistem ekonomi kapitalis yang semakin pesat pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ketika itu juga, wanita dilarang menghadiri mesyuarat politik atau menyertai mana-mana parti politik.
Dengan pimpinan Clara Zetkin, gerakan wanita pekerja di Jerman telah berkembang dengan pertambahan keanggotaan wanita daripada 10,500 orang pada tahun 1907 kepada 150,000 orang pada tahun 1913. Clara Zetkin juga telah menentang penglibatan negara Jerman dalam perang imperialis dan menganjurkan persidangan antarabangsa wanita sosialis anti-perang pada tahun 1915 di Berlin sehingga beliau pernah ditangkap beberapa kali ketika Perang Dunia pertama disebabkan pendiriannya itu.
Pada tahun 1908, 30,000 orang pekerja kilang baju di New York telah bermogok dan berarak dengan tujuan untuk menuntut pengurangan jam bekerja, gaji yang setimpal dan hak mengundi untuk wanita. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Nasional Wanita yang ditubuhkan oleh Parti Sosialis Amerika (SPA) menetapkan satu hari kempen untuk bergerak secara massa dalam menuntut hak mengundi wanita sehinggalah mereka berjaya menganjurkan aksi “Hari Wanita Kebangsaan” pada 28 Februari 1909. Aksi massa inilah yang telah mengilhamkan pemimpin sosialis di Eropah untuk menganjurkan Hari Wanita Antarabangsa selepas itu.
Pada 26 – 27 Ogos 1910, Luise Zietz yang merupakan seorang tokoh sosialis Jerman telah mencadangkan usul sambutan “Hari Wanita Antarabangsa” setiap tahun. Usul ini telah dibuat dalam satu Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa di Copenhagen, Denmark. Usul ini disokong oleh Clara Zetkin dan 100 orang aktivis wanita kiri dari 17 buah negara yang hadir dalam persidangan itu. Usul tersebut dilihat sebagai satu strategi untuk memperjuangkan kesamarataan dan hak mengundi untuk semua termasuk wanita. Slogan yang diangkat ketika itu ialah “Undi untuk wanita akan menyatukan kekuatan kita dalam perjuangan untuk sosialisme.”
Setahun selepas itu, Hari Wanita Antarabangsa telah disambut kali pertama pada 19 Mac 1911 kerana, tarikh tersebut pada tahun 1948 merupakan peristiwa raja Prusia menghadapi pemberontakan bersenjata rakyat Jerman dan telah menjanjikan banyak perubahan dalam aspek sosial, termasuklah hak mengundi wanita. Sambutan ini telah diraikan oleh lebih sejuta orang di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland dengan perarakan mengemukakan tuntutan wanita.
Pada tahun 1917, Hari Wanita Antarabangsa di Rusia telah disambut dengan mengadakan mogok kerja dan demonstrasi besar-besaran sebagai bantahan terhadap penglibatan Empayar Tsar Rusia dalam Perang Dunia pertama dan dek masalah ekonomi yang telah dilakukan oleh pemerintahan Tsar ketika itu. Protes besar-besaran ini telah mencetuskan satu revolusi yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan Tsar sebagai satu pemerintahan Empayar Rusia. Peristiwa ini telah menampakkan kepada dunia tentang kehebatan perjuangan kaum wanita dalam menentang sistem Negara.
Revolusi yang tercetus telah menjatuhkan kekuasaan golongan oligarki dan merangsang kebangkitan pekerja. Dengan bermatlamatkan perjuangan menuntut hak mengundi wanita di kebanyakan negara, sambutan Hari Wanita Sedunia telah diteruskan sebagai satu hari solidariti antarabangsa bagi wanita dalam perjuangan untuk kesamarataan ekonomi, sosial dan politik.
8 Mac disambut secara rasminya oleh Rusia selepas Revolusi Oktober 1917 dengan pengisytiharan Hari Wanita Antarabangsa sebagai hari cuti oleh pemimpin Revolusi Rusia pada tahun 1922. Begitu juga di Sepanyol dan China yang turut mengisytihar 8 Mac sebagai hari cuti rasmi.
Pada tahun 1960-an, telah tercetus gelombang kedua gerakan feminism di Barat kerana golongan wanita giat memperjuangkan isu diskriminasi seks dan mencabar susunan seksis dalam masyarakat patriarki. Gerakan-gerakan ini sehingga mewajahkan bahawa usaha menegakkan hak wanita telah menjadi sebahagian daripada politik arus perdana di peringkat antarabangsa.
PENGIKTIRAFAN PBB

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengumumkan bahawa tahun 1975 merupakan Tahun Wanita Antarabangsa. Manakala, pada tahun 1977, PBB mengiktiraf secara rasmi tanggal 8 Mac sebagai Hari Wanita Antarabangsa.
Pada tahun 1979, Perhimpunan Agung PBB telah menerima Konvensyen tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) yang merupakan satu dokumen antarabangsa menggariskan hak-hak wanita. CEDAW telah diangkat sebagai batu penanda sejarah yang penting untuk perlindungan hak wanita.
Setelah itu, Persidangan Wanita Sedunia telah dilaksanakan secara berkala bagi memperincikan lagi hak-hak wanita yang perlu digariskan dan diberi perhatian sehinggalah diluluskan Deklarasi Beijing pada tahun 1995 dalam persidangan keempat. Deklarasi tersebut merupakan satu resolusi PBB yang menggariskan prinsip-prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita. Satu pelan tindakan telah dipersetujui oleh 189 buah kerajaan di dunia, termasuklah Malaysia.
KONVENSYEN PENGHAPUSAN SEGALA BENTUK DISKRIMINASI TERHADAP WANITA (CEDAW) DI MALAYSIA
CEDAW mempunyai tiga prinsip utama yang harus dipatuhi untuk mewujudkan kebebasan yang ingin dicapai. Tiga prinsip tersebut ialah prinsip kesetaraan substantif, prinsip tidak mendiskriminasi dan prinsip kewajipan negara yang meratifikasikannya.
Dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam, kesamarataan yang dibawa adalah berbeza dalam konteks tertentu. Oleh yang demikian, pengamal undang-undang Negara memberi tafsiran yang luas pada perkataan “diskriminasi” sehingga tiada suatu penetapan yang mengikat kita mengikuti keputusan Konvensyen CEDAW. Islam tidak mendiskriminasi manusia melalui gender, tetapi, Islam itu adil dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perbezaan fungsi antara gender tidak bermakna peninggian kepada satu jantina serta pengasingan kepada satu jantina yang lain. Bagi mengetahui lanjut mengenai kajian pengimplementasian CEDAW di Malaysia, kalian boleh buka kajian ini. public_view.php (um.edu.my)
Dalam konteks Malaysia hari ini, tema yang dibawakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2021 sangat bertepatan dengan keadaan semasa. “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran” dan “Wanita Waja Negara” memberikan makna dan nilai yang begitu tinggi kepada diri seorang wanita. Beberapa usaha telah dilaksanakan dan dipersembahkan kepada masyarakat oleh KPWKM seperti yang telah dinyatakan oleh YB. Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff dalam temubual bersama dengan TV Al-Hijrah baru-baru ini. Boleh lihat di pautan ini.
https://www.facebook.com/100050312087009/posts/266008781752856/
Sekarang adalah masa kita sebagai wanita untuk lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran untuk bangkit mendepani pelbagai cabaran sekarang. Sekarang adalah masa kita untuk bangkit menerima huluran daripada pihak kementerian, NGO atau mana-mana individu sebagai kekuatan bersama mengharungi setiap mehnah di hadapan.
Yang paling penting, kekuatan utama untuk melahirkan kekuatan-kekuatan lain adalah melalui keteguhan Iman yang menjadi nilaian utama antara gender di sisi Allah S.W.T.
Sedarilah wanita,
Akalmu senipis bilahan rambut,
Tebalkan ia dengan limpahan ilmu.
Hatimu bak kaca yang rapuh,
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh.
Semoga kita terus diberi kekuatan untuk memaknai frasa “Wanita Waja Negara” dengan terjemahkannya kepada tindakan sebaiknya sebagai seorang wanita remaja, pekerja, ibu, isteri dan warga Malaysia berlandaskan kefahaman dan semangat juang yang benar.
Selamat Hari Wanita Sedunia!
Rujukan
1. Hari Wanita Antarabangsa – satu sejarah ringkas – Sosialis
2. Jurnal Ratifikasi CEDAW di Malaysia, public_view.php (um.edu.my)
3. Women’s Day History – Origin and History of Women’s day (womensdaycelebration.com)