Gaia – Adakah Bumi Kita Ni Makhluk yang Hidup?

Baru-baru ini kita digemparkan dengan satu penularan wabak penyakit yang digelar Covid-19 di Wuhan, China. Bukan itu sahaja, malah wabak ini telah mengakibatkan beberapa kesan domino (domino effect) kepada pelbagai industri ekonomi dunia terutamanya di China.

Contohnya, rakyat Wuhan tak boleh keluar kerap menyebabkan kurangnya penggunaan kenderaan di samping teramat kurangnya kilang-kilang di China; sebuah negara pengilang terbesar di dunia; menyebabkan kurangnya pembakaran bahan api fosil dan akhirnya menyebabkan pengurangan yang terlalu teramat sangat sungguh banyak sekali kandungan gas pencemar udara di China. Sampaikan di Beijing dan banyak lagi bandar-bandar yang lain, yang dahulunya diselubungi kabus pencemaran kelabu nan tebal, sekarang ni menikmati langit yang biru nian!

Gambar penginderaan jauh (remote sensing) ketumpatan gas NO2 di Wuhan. Lagi merah lagi tumpat.
Gambar daripada Balai Cerap Bumi NASA, satelit Copernicus Sentinel 5.
Langit Beijing biru tanpa pencemaran

James Lovelock

Pada tahun 1972, Lovelock (dalam BM – Lolok) telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “Gaia as seen through the atmosphere”.

Pakcik Lolok posing

Dalam buku tersebut, Lolok memberikan suatu teori ataupun prinsip yang dipanggil Gaia, di mana Bumi ialah suatu sistem kompleks yang mengawal atur sendiri (self-regulating) merangkumi biosfera (zon di mana organisma hidup), atmosfera (zon gas), hidrosfera (zon air) dan pedosfera (zon tanah; jangan fikir bukan-bukan eh, Ajar ialah family-friendly) di mana semua ini sangat berkait rapat dalam menjadikan sebuah sistem yang berkembang

Nak mudah sikit, organisma hidup (manusia & haiwan) berinteraksi bersama dengan alam inorganik (batu & sungai) dalam Bumi untuk menghasilkan sebuah sinergi dan sistem kompleks yang mengawal atur sendiri untuk memastikan kondisi di Bumi mampu dikekalkan.

Nak mudah lagi Bumi ni mampu untuk mengawal diri sendiri supaya segala apa kandungan di Bumi ni supaya berada dalam keadaan yang seimbang.

Jadi, Bumi ni benda hidup (sentient) ke? Jom kita tengok secara ringkas macam mana Pakcik Lolok ni sampai kepada konklusi bahawa Bumi ni boleh mengatur diri sendiri (dengan izin Allah), lain untuk mengembalikan keseimbangan dunia.

Pengawalan suhu global

            Tahukah anda Bumi pernah mengalami beberapa siri penurunan dan kenaikan suhu yang mendadak? Ini tidak berlaku dalam setahun dua, namun puluhan hingga ratusan ribu tahun lamanya untuk berubah. Namun, Bumi melalui hasil beberapa kajian, diperhatikan melakukan beberapa lingkungan tindak balas (feedback loop) bagi menyeimbangkan semula mana-mana kandungan yang tidak stabil.

Bumi pernah mengalami zaman rumah ais (Icehouse) yakni berbeda dengan rumah hijau, rumah ais ialah apabila Bumi mempunyai ais di kedua-dua kutubnya, seperti zaman yang kita hidup sekarang. Pernah terjadi ketika Bumi bukan sahaja dilitupi ais di kutub utara dan selatan, tetapi hingga ke garisan khatulistiwa! Zaman ini dipanggil zaman Snowball Earth (Bumi Bebola Salji).

Bumi mengalami beberapa tindak balas yang memanaskan permukaan Bumi, mencairkan ais tersebut lantas berlakunya pemanasan global. Gas-gas rumah hijau seperti metana dilepaskan melalui pencairan metana hidrat (methane hydrate) di dalam Lautan Arktik di mana gas ini mengekalkan haba supaya tidak terkeluar daripada atmosfera Bumi. Seperti coklat cair yang melimpah ke ladang gandum, glasier-glasier Bumi pun cair lantas menyebabkan Bumi mempunyai suhu yang sesuai didiami oleh organisma.

Kalau nak dengar teori yang lebih ekstrim, pencairan glasier ini juga berkemungkinan melepaskan pathogen dan virus yang beku di dalam glasier untuk mengawal bilangan organisma yang hidup di muka Bumi sekiranya organisma-organisma tersebut merembeskan terlalu banyak gas rumah hijau. Macam pernah dengar tak? *uhuk Covid uhuk* Tapi tak semestinya Covid ni daripada glasier ye. Datang daripada kelawar, yang datang daripada tuhan saja yang tahu (only God knows where).

Catitan suhu Bumi sepanjang rekod yang ada

Pengawalan kemasinan laut

Laut masinkan? Perasan tak korang peratus kemasinan laut hanyalah dalam lingkungan 3.5% sahaja? Memang korang tak perasan, korang tau mandi je.

Tapi kan, peratusan garam ni sangat-sangatlah penting sebab kebanyakan sel organisma memerlukan kemasinan yang sekata dan tidak boleh melebihi 5% kemasinan.

Benda ni susah sikit nak terangkan sebab ianya memerlukan kefahaman geologi yang agak tinggi dan ramai geosaintis berpendapat agak mustahil kalau nak proses ini berlaku kerana geologi semata-mata. Tapi aku mudahkan, bakteria pun memainkan peranan penting bagi menolong Bumi mengekalkan tahap kemasinan laut pada paras optimum.

Pengawalan kandungan oksigen di atmosfera

                Ahhhh.. Oksigen. Satu benda yang kita selalu pandang enteng, tetapi tanpanya tidak dapat diriku, dirimu bernafas, hidup di atas Gaia yang geoid (bentuk Bumi) ini. Dengan adanya organisma hidup seperti aku dan korang, Bumi akan mampu untuk mengekalkan tahap oksigen yang berpatutan pada atmosfera iaitu dalam lingkungan 20% di atmosfera. Sekiranya lebih, akan menyebabkan kebakaran hutan yang sangat banyak misalnya pada zaman Carboniferous. Pada masa yang sama mengurangkan jumlah oksigen dan menghasilkan lebih banyak karbon dioksida (CO2).

Pemprosesan karbon dioksida

                CO2, molekul yang dinikmati oleh tumbuhan pula untuk hidup. Mungkin selalunya keluar daripada ekzos ereta anda, tapi Bumi juga kekadang mengeluarkan kandungan CO2 yang teramat banyak ketika letusan gunung berapi. Kalau ada banyak sangat CO2 macam mana Bumi nak seimbangkan?

                Bakteria dan pepohon akan cuba menyimpanCO2 sebagai makanan atau di dalam tanah atau mendakan CO2 oleh terumbu karang lantas menghasilkan batuan kapur pada masa yang akan datang. Contohnya, algae cocolithospore menghasilkan tebingan kapur yang putih nan indah di Cliffs of Dover, United Kingdom. Ketika zaman yang mempunyai influks CO2 yang lebih tinggi, kebanyakan organisma yang menjadikan karbonat CO3 sebagai cengkerang mempunyai cengkerang yang lebih tebal.

                Boleh baca tentang kitaran karbon dengan lebih mendalam kalau berminat.

Cliffs of Dover

Bumi ini rumah kita

Jadi, persoalannya sekarang, apakah Bumi itu suatu benda yang hidup? Macam manusia kalau ada virus masuk, badan kita akan cuba sedaya upaya untuk menormalisasikan badan kita kepada kondisi asal sama sahaja seperti Bumi.

 Hidup tak hidup tu wallahua’lam, tapi rasanya kita boleh setuju bahawa Bumi merupakan suatu makhluk Allah, dan satu-satunya rumah kita. Kalau anda nak hidup di Marikh dipersilakan, tapi anda nak beli KFC pun mintak mak ayah (tolong sponsor kami KFC), jadi tak perlu la nak jadi macam Elon Musk dulu ye.

Betapa cantiknya sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani Allah, Ia programkan pada sistem Bumi untuk menyeimbangkan apa yang tidak seimbang dan mencukupkan apa yang tidak cukup bagi keselesaan hamba-hambanya.

Namun begitu, akhirnya manusia yang bijak pandai ni jugaklah yang menjahanamkan muka Bumi ni dengan pelbagai cara sebab tamak dan tak bersyukur atas pemberian Allah. Umat Islam seharusnya terkehadapan dalam menangani isu-isu yang melibatkan penjahanaman Bumi kerana Allah meletakkan kita sebagai Khalifah di muka Bumi. Kita dah buat tak? Tepuk dada tanya diri.

Kalau tanya aku apakah virus Covid merupakan tindak balas Bumi bagi menyeimbangkan kandungannya?

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” Ar-Ruum, 30:41.

Mungkin. Wallahua’lam.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts