Hari wanita sedunia di sambut pada 8 Mac pada setiap tahun. Sambutan ini biasanya mengiktiraf sumbangan wanita-wanita yang hebat di seluruh dunia. Namun sebenarnya jasa para wanita kepada peradaban dunia adalah cukup banyak untuk hanya di sentuh pada hari itu sahaja. Sumbangan-sumbangan mereka kepada peradaban dunia dari dulu hingga ke sekarang kepada sistem merentas masa dan sempadan. Berikut hanyalah sekelumit senarai para wanita yang telah memberikan perubahan besar kepada kehidupan dunia melalui rekaan-rekaan mereka.
Josephine Cochrane – Peneroka Kemudahan Dapur
Membasuh pinggan, gelas dan mangkuk adalah salah satu dari kerja yang melecehkan tidak mengira zaman. Apatah lagi pada abad ke 19 tiada sebarang peralatan yang dapat mempercepatkan atau memudahkan proses mencucinya. Meskipun telah wujud dua rekaan yang telah dipatenkan namun rekaan itu tidak dapat menyelesaikan masalah mencuci pinggang mangkuk tersebut dengan baik. Rekaan pertama oleh Joel Houghton pada tahun 1850, namun rekaan ini perlahan dan tidak boleh diharap. L.A. Alexander juga membuat satu reka bentuk yang lain pada tahun 1865, namun ciptaan ini tidak mendapat sambutan.
Sehingga datang seorang wanita dari Amerika Syarikat bernama Josephine Cochrane mengetengahkan satu konsep berbeza iaitu sebuah alat pembersih pinggan mangkuk dengan kuasa pusingan tangan. Rekaan beliau ini dicipta pada tahun 1886 dan ianya diterima ramai dan diiktiraf sebagai mesin pencuci pinggan mangkuk berkuasa tangan yang pertama yang berjaya. Pada tahun yang sama beliau menubuhkan sebuah syarikat bagi memudahkan proses menjual peralatan ini kepada hotel-hotel dan restoran-restoran besar.
Marie Curie – Ahli Fizik dan Kimia Agung
Marie Curie adalah seorang ahli fizik merangkap juga ahli kimia yang terkenal dengan jasanya yang begitu banyak dalam bidang radioaktif. Dialah wanita pertama memenangi hadiah Nobel dan orang pertama memenangi Hadiah Nobel sebanyak dua kali dan merupakan satu-satunya orang yang memenangi Hadiah Nobel dalam dua bidang yang berbeza iaitu dalam bidang Kimia dan Fizik. Unit curie (simbol Ci) adalah unit untuk kadar radioaktif dan unsur Curium dengan simbol Cm dan dengan nombor atom 96 dinamakan atas namanya dan nama suaminya.
Dia meninggal dunia pada 1934 dan menurut pemeriksaan berkemungkinan di sebabkan kepada pendedahan kepada sinaran radioaktif secara berlebihan. Disebabkan ini jugalah kertas jurnal dan buku catatan beliau turut di simpan rapi kerana telah terdedah kepada sinaran radioaktif dan hanya boleh di baca dan dipegang dengan selamat selepas 1,500 tahun lagi.
Mária Telkes – Permaisuri Suria
Tidak sah kalau senarai ini tidak memasukkan seorang yang terkenal dengan gelar Permaisuri Suria (The Sun Queen), Mária Telkes. Beliau yang merupakan ahli biofizik di beri gelaran tersebut di atas sumbangannya yang sangat banyak berkaitan dengan tenaga suria. Beliau merupakan berbangsa Hungary-Amerika Syarikat telah menghasilkan sejumlah ciptaan yang sangat menarik.
Pada tahun 1953 beliau telah mencipta ketuhar suria, iaitu sebuah ketuhar yang menggunakan kuasa suria. Pada tahun 1959 beliau telah membuat perbandingan beberapa jenis ketuhar di dalam kertas jurnal.
Pada tahun 1948, beliau bersama dengan seorang arkitek wanita Eleanor Raymond menyiapkan projek rumah pertama yang menggunakan tenaga suria sebagai sistem pemanasan rumah. Rumah ini terkenal dengan nama Dover Sun House. Projek ini meskipun tidak berjaya sepenuhnya tetapi menjadi tanda aras kepada sistem menggunakan tenaga suria yang lainnya.
Sebenarnya banyak lagi ciptaan menarik dari Mária Telkes yang kebanyakannya tertumpu kepada menggunakan tenaga suria. Beliau juga mempunyai 20 paten berdaftar di atas nama beliau.
Margaret E. Knight – Pereka Wanita Paling Terkenal Pada Abad Ke 19
Penggunaan beg kertas pada abad ke 19 sangat meluas. Ketika ini plastik beg belum wujud. Penghasilan beg kertas ketika itu menggunakan sistem manual semata-mata iaitu melipat beg kertas tersebut dengan menggunakan tenaga manusia.
Di sini datangnya Margaret E. Knight merupakan seorang pereka dari Amerika Syarikat yang menghasilkan sebuah mesin untuk menghasilkan beg kertas. Beliau sebelum ini yang pernah bekerja dengan syarikat pembuat beg kertas mempunyai idea bagaimana proses pembuatan tersebut boleh dimudahkan dengan penggunaan mesin. Beliau kemudian berjaya membuat mesin yang dapat melipat dan memotong dan yang paling penting menjadikan tapak beg tersebut rata.
Beliau berjaya menghasilkan mesin tersebut pada tahun 1868. Rekaan ini cukup mengagumkan, bahkan kerana saking terkenal, dia dinobatkan sebagai pereka wanita paling terkenal pada abad ke 19. Di saat di meninggal dunia pada 1914, dia mempunyai sekitar 25 paten di bawah namanya.
Marian Rogers Croak – Peneraju Telekomunikasi
Marian Rogers Croak ialah seorang wanita yang masih hidup ketika ini. Beliau yang turut merupakan Timbalan Pengarah bahagian Kejuruteraan untuk Google banyak membuat inovasi. Terdapat sekitar 200 paten berdaftar di atas nama beliau. Namun sumbangan beliau yang paling di hargai dan di kagumi adalah teknologi VoIP (Voice over Internet Protocol).
Mungkin tidak ramai yang tahu apa itu VoIP, namun teknologi inilah yang menjadi jalan kepada aplikasi seperti WhatsApp, Zoom, Skype dan lain-lain untuk berkembang. Jasanya di hargai apabila dia terpilih sebagai Women in Technology International Hall of Fame pada 2013 dan juga anugerah National Inventors Hall of Fame pada tahun 2022.
Chieko Asakawa – Buta Yang Celik
Chieko Asakawa merupakan seorang wanita dari Jepun yang lahir pada tahun 1958 dan hilang deria penglihatan pada usia 14 tahun. Namun ini tidak mematahkan semangat beliau untuk belajar dan beliau memperolehi PhD pada 2004.
Sumbangan beliau cukup banyak dan hampir kesemuanya tertumpu kepada alat bantuan kepada orang buta. Beliau bertanggungjawab mencipta Japanese Digital Braille System (JDB) semasa bekerja di IBM pada tahun 1992. Pada tahun 1997 pula beliau telah mencipta IBM Homepage Reader, sebuah sistem untuk membaca kandungan sesebuah laman sesawang bagi membantu orang buta. Terkini beliau dengan projek beg pakaian robot yang bertujuan membantu orang buta untuk bergerak.
Beliau menerima beberapa anugerah seperti Women in Technology International Hall of Fame pada tahun 2003, SWE Achievement Award pada tahun 2010, Women of Vision Award pada 2011 dan beberapa anugerah lagi. Beliau juga mempunyai beberapa paten di bawah nama beliau.
Stephanie Louise Kwolek – Pereka Bahan Tahan Lasak
Stephanie Louise Kwolek adalah seorang ahli kimia berbangsa Poland – Amerika Syarikat adalah orang yang bertanggungjawab menemukan Kevlar pada tahun 1965. Kevlar adalah gentian sintetik yang tahan haba dan sangat kuat yang sering digunakan dalam baju kalis peluru, helmet tempur dan berbagai lagi kegunaan.
Beliau menerima pelbagai anugerah namun anugerah paling terkini yang diperolehinya adalah National Women’s Hall of Fame pada tahun 2003. Beliau meninggal dunia pada tahun 2014 dan beliau mempunyai beberapa paten yang berdaftar di atas nama beliau.
Pakar dari Malaysia
Tidak ketinggalan juga negara kita telah menghasilkan beberapa tokoh hebat seperti Prof Madya Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar yang berjaya menemui lohong hitam supermasif (Supermassive Black Holes ) di galaksi NGC 1448 dan Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim adalah wanita pertama Malaysia terbabit dalam program penghantaran penyelidikan ke angkasa di mana dia ditugaskan untuk mereka bentuk dan membina satelit nano biopenderia.
Wanita Banyak Membantu Bidang Sains Dan Teknologi
Sebenarnya ramai sahaja pereka dari kalangan wanita dari seringkas benda kepada benda yang kompleks yang mana jika untuk disebutkan kesemuanya adalah suatu yang mustahil. Bette Nesmith Graham sebagai contoh telah pereka Liquid Paper yang merupakan ciptaan yang ringkas tetapi ciprekaantaan ini di beri jolokan rekaan kalangan wanita yang paling terkenal di abad ke 20. Melitta Bentz pula seorang suri rumah dari Jerman telah mencipta kertas penapis kopi pada tahun 1908 yang masih digunakan teknologinya sehingga kini.
Marie Van Brittan Brown dengan suaminya telah mencipta sebuah sistem keselamatan CCTV untuk kegunaan di rumah pada tahun 1966 yang kemudian di sahkan patennya pada 1969. Gladys West seorang ahli matematik dari Amerika Syarikat mempunyai peranan besar dalam menghasilkan model matematik untuk bentuk bumi dan turut terlibat dalam pembangunan sistem satellite geodesy yang mana kemudian di aplikasikan dalam sistem GPS.
Keupayaan wanita dalam bidang sains dan teknologi tidak jauh beza dengan lelaki, sewajarnya para pemimpin negara memberi layanan sebaiknya kepada mereka agar ilmu dan rekaan mereka akan terus membantu peradaban dunia.
Artikel ditulis oleh Tuan Nurudin Abdul Settar, Pensyarah Bidang Kejuruteraan.
Rujukan
[1] “‘I’ll do it myself.’” Accessed: Apr. 27, 2024. [Online]. Available: https://www.uspto.gov/learning-and-resources/journeys-innovation/historical-stories/ill-do-it-myself#:~:text=Just after Christmas%2C 1886%2C Josephine,Figure X%2C at right [2] B. Tasch, “Marie Curie’s Belongings Will Be Radioactive For Another 1,500 Years.” Accessed: Apr. 27, 2024. [Online]. Available: https://www.sciencealert.com/these-personal-effects-of-marie-curie-will-be-radioactive-for-another-1-500-years [3] M. Telkes, “Solar cooking ovens,” Sol. Energy, vol. 3, no. 1, pp. 1–11, Jan. 1959, doi: 10.1016/0038-092X(59)90053-2. [4] “Margaret Knight Invents a Machine to Make Flat Bottom Paper Bags – Inventive Kids.” Accessed: Apr. 27, 2024. [Online]. Available: https://inventivekids.com/margaret-knight/ [5] K. Nannichi, “Robot suitcase guides visually impaired travelers with AI.” [6] “Body armor.” Accessed: Apr. 27, 2024. [Online]. Available: https://www.dupont.com/life-protection/body-armor.htmlKredit gambar: https://www.umimarfa.web.id/2023/04/perempuan-dalam-dunia-sains-dan-teknologi.html